“DI sebalik kegagahan pahlawan Bugis dan kecantikan anak dara Menado, bertandang anak Melayu ke pulau Sulawesi demi mempereratkan persaudaraan masyarakat serumpun.”
Ketika di bangku sekolah, Makassar cuma saya kenal pada nama. Itupun dalam teks sejarah yang menyorot Makassar sebagai pengeluar rempah ratus tersohor di Nusantara.
Justeru, apabila diberi peluang melawat kota yang pernah dipanggil Ujung Pandang, saya tidak sanggup melepaskan peluang terbaik ini.
Istimewanya, perjalanan ke Makassar-Menado diatur oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, menjadikan kunju�ngan saya bersama jurugambar Ahmad Irham Mohd Noor serta wakil media lain sebagai tetamu negara yang diraikan dengan layanan istimewa.Apa lagi rombongan kami turut disertai Kaunselor Ekonomi kedutaan, Endang Rachmaty dan anak buahnya, Meirani Emre; dua kakitangan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Dita Heriani dan Eni Komiarti; serta pengurus perjalanan, Giovani A Rafano.Selepas transit di Bandar Udara (Bandara) Internasional Soekarno-Hatta, rombongan media Malaysia tiba di Bandara Internasional Sultan Hasanuddin Makassar lewat petang dan terus mendaftar masuk ke Clarion Hotel bertaraf lima bintang yang terletak di dalam kompleks pusat hiburan menempatkan dua disko dan karaoke 24 jam, menjadikan ia begitu eksklusif bagi pengunjung yang gemar berhibur.
‘Percutian’ di Makassar bermula pada pagi keesokan harinya apabila delegasi media Malaysia yang dipimpin oleh pemandu pelancong, Azhar Amrah Mattone atau lebih mesra dipanggil Pak Hans, mengunjungi sebuah makam diraja yang menjadi kebanggaan masyarakat Makassar.
Di sinilah bermulanya salasilah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memiliki darah keturunan ke-11 pahlawan tersohor Bugis, Sultan Gowa ke-16, Sultan Hasanuddin.
Ketika melawat makam Pahlawan Nasional Sultan Hasanuddin di Bukit Kale, Gowa, saya terpegun melihat keunikan tanah perkuburan lama itu.
Kubah batu dibina menangkup kubur sebenar raja Gowa bagi menjaga keutuhan makam, seterusnya menyerlahkan lagi kehebatan pahlawan Bugis yang bersemadi di bawahnya.
Dari makam itu, saya dibawa ke Muzium Balla Lompoa yang menceritakan lagi salasilah dan keagungan kesultanan Gowa serta pencapaian kerajaan itu.
Muzium ini adalah istana asal Raja Gowa ke-35 pada 1936, diperbuat daripada ulin atau kayu besi yang tahan lama dan biasanya digunakan untuk membina kapal.
Istimewanya, rombongan kami disambut selayaknya tetamu negara dengan tarian tradisional dan dijamu dengan juadah tempatan iaitu kuih barongko, cucuru bayao dan seri kaya yang dihidang di atas talam kecil serta bertutup bosara (sejenis tudung seperti saji). Saya dapati kebanyakan makanan orang Makassar berasaskan pisang.
Di situ, saya berpeluang meninjau pelbagai warisan dan peninggalan bersejarah seperti senjata, mahkota dan aksara (tulisan) Makassar yang unik.
Perjalanan diteruskan lagi ke Fort Rotterdam iaitu sebuah kubu berbentuk penyu peninggalan penjajah Belanda. Kubu itu pernah dikenali sebagai benteng Ujung Pandang yang dibina pada 1545 pada era pemerintahan Raja Gowa Kesembilan.
Lawatan seharian itu berakhir dengan sesi minum petang bersama kumpulan media tempatan di sebuah resort di pantai peranginan Lonsari. Kami berkenalan dan bertukar-tukar pendapat sambil menikmati pemandangan indah matahari jatuh.
Mengenali wartawan Makassar bagaikan membuka pintu pengetahuan antara masyarakat dua negara. Perkenalan dengan Hendra Nick Arthur dari agensi berita rasmi, Antara dan rakan media lain meneroka persahabatan serta mencari kefahaman berhubung beberapa isu dua negara yang pernah mencetuskan kontroversi.
Apabila diajukan soal perbuatan ‘tidak manis’ pertubuhan bukan kerajaan dinamakan Bendera di Jakarta yang membakar Jalur Gemilang dan penyebaran sentimen anti Malaysia, semua sepakat bahawa itu adalah tindakan didorong motif dan kepentingan tersendiri oleh hanya sekelumit manusia daripada 230 juta rakyat Indonesia yang mengalu-alukan dan senang dengan kehadiran orang Malaysia.
Keesokan harinya, kumpulan media Malaysia dibawa bertandang ke taman tema ala Universal Studios. Trans Studio, yang bertemakan ‘From TV to Reality’ adalah sebuah taman tema dalam bangunan yang sungguh menarik, terutama buat hiburan sekeluarga.
Awas ketika memasuki taman tema mempunyai 21 jenis permainan dan pertunjukan berkonsepkan hiburan berpendidikan ini kerana anda mungkin ‘tersesat’ dalam keseronokan bermacam-macam permainan seperti roller coaster dan buai pusing.
Pengunjung juga berisiko untuk lupa diri dengan persembahan teater muzikal menghiburkan Jason Mencari Cinta dan wayang 4-D SpongeBob tanpa me�nyedari hari bertukar malam.
Ia dikatakan taman tema berbumbung (indoor) paling besar di dunia dengan bayaran masuk hanya 110,000 Rupiah (Rp) (RM33) pada hari biasa dan Rp160,000 (RM48) pada hari minggu.
Pelbagai cenderamata eksklusif boleh dibawa pulang ke tanah air seperti baju T dan pelekat magnet Trans Studio, rantai kunci SpongeBob atau anak patung BonBinBros dan Jeng Kelin yang menjadi ikon kanak-kanak di Trans Studio.
Wisata alam atau eko-lancong di Makassar turut menjanjikan pengalaman yang pasti tidak terlupakan rombongan kami pada hari seterusnya. Air Terjun Bantimurong di daerah Maros terletak kira-kira sejam perjalanan menaiki bas dari kota Makassar.
Keunikan hutan simpan ini ialah ia menjadi habitat kepada rama-rama, burung dan serangga di mana ada kira-kira 150 spesies rama-rama langka iaitu daripada spesies Papillo Androles yang tidak ditemui di daerah lain.
Pelancong boleh membawa pulang rama-rama yang diawet dan dijadikan rantai kunci yang banyak dijual oleh penjaja jalanan. Namun harus pandai menawarkan harganya kerana satu set 10 rantai kunci yang bersaiz kecil diletakkan harga antara Rp100,000 (RM30) hingga Rp200,000 (RM60) sedangkan di pintu masuk, peniaga lain hanya menjualnya pada harga Rp50,000 (RM15) setiap satu set. Malah, siap boleh diukir nama.
Di Bantimurung juga ada sebuah gua dinamakan Gua Mimpi di mana kononnya mereka yang ingin cepat mendirikan rumah tangga boleh berkunjung dan membasuh muka dengan air bukit yang menitis di satu sudut di dalam gua itu.
Namun, bagi umat Islam, kepercayaan khurafat sebegini boleh menjejaskan akidah. Cukuplah sekadar melawat, bukan mempercayainya.
Dalam perjalanan keluar dari Air Terjun Bantimurung, kami singgah di Gua Leang-leang yang didakwa mempunyai kesan tapak tangan manusia dan gambar babi dikatakan berusia 5,000 tahun.
Gambar tapak tangan berwarna merah keperangan itu terletak di tebing bukit yang sukar didaki. Bagaimanapun, tangga besi yang disediakan pihak berkuasa tempatan memudahkan pelancong.
Destinasi terakhir rombongan media Malaysia di Makassar ialah pusat perniagaan Somba Opu di pusat bandar Makassar.
Di sini, saya mengambil kesempatan membeli cenderamata seperti kain pelikat dan batik Sulawesi buat dihadiahkan kepada ibu bapa di tanah air.
Sebenarnya, masih banyak perkara dan tempat menarik di Makassar yang tidak dapat saya ceritakan di sini seperti kebudayaan, cara hidup dan makanan masyarakat Makassar.
Malah, banyak lagi destinasi menakjubkan yang tidak sempat saya lawati sepanjang tiga hari di kota jolokan Serambi Madinah itu, termasuk Tana Toraja yang terkenal dengan upacara pengebumian unik.
Terima kasih Ibu Endang, semoga nota ringkas perjalanan saya sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke sana sempena Tahun Melawat Makassar 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: