Sunday, January 30, 2011

Menyingkap khazanah Sungai Relau


Wakil media dan kakitangan NRE mengabadikan kenangan di hadapan pintu masuk Taman Negara Sungai Relau, Merapoh.


MUNGKIN ramai di antara kita yang tidak tahu, selain Kuala Tahan, Taman Negara Pahang (TNP) juga boleh dimasuki melalui satu lagi pintu masuk iaitu Sungai Relau yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan kecil Merapoh, Pahang.

Justeru, atas dasar ingin 'memperkenalkan' kawasan berkenaan kepada umum, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengambil inisiatif menganjurkan Kembara Bersama Media bertempat Sungai Relau, Merapoh baru-baru ini.

Kembara yang julung kali diadakan itu ternyata mendapat sambutan baik apabila ia disertai oleh lebih 30 wakil daripada pelbagai agensi media dan kakitangan NRE.

Inspirasi alam semulajadi

Taman Negara Pahang (TNP) mula dibuka kepada umum sejak Ogos tahun 1993 dan dikunjungi ramai terutamanya pada musim puncak iaitu di antara bulan Julai dan Ogos setiap tahun.

Ia mengandungi kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung serta 80 spesies kelawar mengikut rekod yang diterima setakat ini.

Menurut Penguasanya, Abdul Kadir Abu Hashim, TNP juga menjalankan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

Jelas beliau, pada masa yang sama, TNP kini tersenarai sebagai salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Kami turut membina terowong bawah tanah bagi memudahkan hidupan liar seperti gajah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

"Selain itu, terowong itu juga dibina bagi mengelakkan pertembungan dengan laluan manusia yang akhirnya mengakibatkan kematian kepada spesies berkenaan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini dalam perancangan untuk membina laluan hidupan liar dengan menyambungkan TNP dengan Banjaran Titiwangsa bagi membolehkan hidupan-hidupan tersebut membiak.

Bagi wakil media, pengalaman menyertai program kembara anjuran NRE itu sememangnya merupakan satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di perkarangan bangunan NRE di Putrajaya, bersama-sama kakitangan NRE para peserta kemudian memulakan perjalanan ke Merapoh yang dianggarkan hanya memakan masa sekitar empat jam.

Beberapa masalah

Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, perjalanan itu akhirnya menjadi lebih dari lima jam.

Sebaik sahaja sampai, mereka terus mendaftar masuk ke rumah tumpangan yang disediakan untuk berehat seketika dan menikmati makan tengahari sebelum dibawa melawat Santuari Ikan Kelah yang terletak di Sungai Juram.

Perjalanan ke santuari itu agak mencabar dengan laluan berbukit dan berliku. Keadaan itu membuatkan peserta terasa seakan-akan sedang menaiki sebuah roller coaster yang meluncur laju membelah keheningan belantara.

Bagaimanapun, mujurlah pemandu kenderaan pacuan empat roda yang membawa peserta ke sana cekap dan mereka juga tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang tidak diingini walaupun kenderaan tersebut dipandu agak laju.

Selain berpeluang mengabadikan kenangan bersama ikan yang mendapat jolokan 'Raja Sungai' itu ketika berada di sana, kami juga sempat memberi makan kepada ikan itu dengan bantuan beberapa kakitangan yang terlatih.

Menurut kakitangan berkenaan, ikan kelah sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

"Ikan-ikan ini akan datang apabila loceng dibunyikan kerana ia menandakan waktu makan sudah tiba dan keadaan ini biasanya berlaku di antara pukul dua sehingga empat petang setiap hari," katanya.

Sungai Relau dalam kenangan

Sesungguhnya, pengalaman singkat selama tiga hari dua malam di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh sentiasa 'berbekas' di hati setiap daripada para peserta kembara.

Rata-rata mereka juga berpendapat, kembara itu merupakan antara kaedah terbaik bagi mendekatkan manusia kepada elemen biologi persekitaran di samping mengenal tabiat 'penghuninya' yang pelbagai.

Justeru, sekalung tahniah wajar diberikan kepada pihak NRE dan Taman Negara di atas inisiatif yang diambil mereka dalam usaha membangkitkan kesedaran di kalangan orang ramai bagi menghargai keindahan serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: