Sunday, January 30, 2011

Pendaki Solo impi rekod dunia




KEGAGALAN cubaan pertama mendaki tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti pada tahun lalu tidak melunturkan semangat pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin untuk terus mencuba.

Misi Pendakian Tangga Berketinggian Menegak Dalam 24 Jam bakal dilakukan sekali lagi pada 16 April ini di menara kelima tertinggi di dunia itu.

Sekiranya berjaya, Mohd Noor akan melakarkan nama di dalam Guinness World of Records.

Beliau yang merupakan jurugambar Utusan Malaysia kini sibuk melakukan latihan intensif sebagai persediaan untuk memecahkan rekod dengan melakukan 70 kali pendakian melalui 2,058 anak tangga sejauh 19,400 meter.

Pada masa ini, rekod Guinness World of Records dipegang oleh pendaki Switzerland, Klurt Hess yang mendaki dan menuruni tangga Menara Esterli, Switzerland setinggi 45 meter sebanyak 413 kali sejauh 18,585 meter pada 2007.

Mohd Noor terus menjalani latihan intensif setiap masa di Bukit Broga, Semenyih, tangga Batu Caves, dan juga di tangga pangsapuri setinggi 10 tingkat di Bandar Baru Bangi.

Sementara itu, Mohd. Noor juga akan melakukan pendakian sebagai latihan di Bukit Besar dan Gunung Tebu di Terengganu awal Februari ini.

Selain itu, beliau bercadang untuk melakukan latihan di Gunung Kinabalu, Sabah, Gunung Raya di Langkawi, Kedah, dan juga tangga menara Alor Setar.

Latihan secara intensif itu bertujuan menguatkan fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi pendakian yang amat mencabar pada bulan April itu nanti.

Di samping itu, bagi menyemarakkan lagi semangat sehingga cabaran itu bermula April ini, program Semarak Misi Rekod Dunia yang membabitkan golongan belia khususnya pelajar universiti dianjurkan.

"Program itu dilakukan serentak ketika saya menjalani latihan bagi memberi perangsang kepada golongan belia untuk turut sama mencipta rekod pada masa akan datang dan seterusnya menyemarakkan lagi cabaran rekod dunia yang saya lakukan April nanti," kata Mohd Noor.

Pada dasarnya, lima buah universiti tempatan, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih untuk menjayakan kempen Semarak Misi Rekod Dunia yang bermula bulan depan.

Sehingga kini, ramai kumpulan belia yang terdiri pelajar universiti telah menyemarakkan Semarak Misi rekod Dunia yang diadakan di Bukit Broga sejak minggu lalu yang membabitkan kumpulan pelajar daripada UITM, UKM, UPM, MSU dan beberapa kumpulan daripada syarikat korporat.

"Walaupun masih kekurangan dana, saya yakin akan memperolehi penajaan dan sumbangan daripada pihak korporat dan agensi kerajaan melalui aktiviti sampingan yang bakal dibuat sepanjang pendakian itu.

"Pada dasarnya, terdapat beberapa agensi dan korporat telah menunjukkan minat untuk menjayakan 'misi rekod dunia' yang dilakukan bertujuan memartabatkan nama Malaysia di persada dunia itu," katanya.

Sebelum ini Mohd. Noor telah berjaya mencipta rekod dengan melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari bermula 31 Disember 2009 dan berakhir 9 Mei lalu.

Rekod pendakian beliau terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: