|
|
CUKUP meriah dengan sambutan yang diterima peminat, Aizat Amdan tidak menyangka sebegitu ramai peminat setianya yang sanggup mengeluarkan duit untuk hadir menyaksikan persembahan solonya semalam.
Konsert Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara yang mencatatkan jumlah penonton mencecah 1,000 cukup hangat dengan rangkaian lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi ini.
Bayangkan di saat anak seni lain tidak berani membuat pelaburan sendiri untuk melabur dalam konsert sendiri, anak muda yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini berjaya merentasi ketakutan itu dengan satu kejayaan.
Semuanya berjalan dengan cukup baik apatah lagi dengan bantuan pasukan yang cukup teguh berdiri di belakang Aizat lagi.
"Memang Aizat bersyukur sebab berjaya menghiburkan penonton yang datang. Ini memang satu impian Aizat sejak dahulu lagi dan nampaknya sudah terkabul.
"Benar, tak ramai orang yang sanggup untuk bikin konsert sendiri kerana ketiadaan penganjur. Kalau nak tunggu orang taja, sampai bila pun tak akan jadi kenyataan.
"Tak perlu nak merintih dan mengenang nasib yang kita tak ditaja. Sebaliknya Aizat lebih suka berusaha sendiri dan tunjukkan pada semua yang kita boleh buat apa sahaja kalau kita mampu.
"Pada mulanya memang Aizat ada sedikit gementar untuk melakukan konsert solo ini. Bimbang kalau tak ada sambutan. Tapi bila melihat ramai yang datang memberikan sokongan Aizat tahu masih ramai yang sayangkan Aizat.
"Ada yang datang dari Singapura semata-mata nak tengok Aizat menyanyi. Memang Aizat sangat berbesar hati," kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini.
Melihatkan jualan tiket yang sudah habis dibeli sebulan lebih awal dari tarikh persembahan, ramai peminat yakin Aizat merupakan antara penyanyi solo lelaki tempatan yang cukup berpengaruh.
Tidak mahu terus termakan dengan pujian-pujian melangit yang diberikan sudah banyak perancangan baru yang mahu dilaksanakan oleh Aizat selepas ini.
Kata Aizat, kalau boleh dia mahu melakukan siri jelajah ke seluruh negara dan berkunjung ke Sabah dan Sarawak sebelum melebarkan sayap ke Singapura dan Indonesia.
"Memang itu sudah ada dalam perancangan Aizat. Nak bertemu dengan peminat di seluruh negara sambil mempromosikan album kedua, Urusan Aizat Amdan.
"Tapi di sebalik itu lagi ada agenda lebih besar yang mahu Aizat lunaskan. Aizat juga mahu menyambung kembali pengajian dalam bidang muzik di sebuah kolej di London.
"Memamg sengaja Aizat pilih kolej tersebut kerana ia tidak terikat dengan sesi pembelajaran. Jadi untuk orang yang sentiasa sibuk macam Aizat itu memang pilihan yang tepat.
"Ini memang azam Aizat sejak dulu lagi. Cuma sampai sekarang Aizat masih tak berkesempatan disebabkan jadual kerja yang cukup padat.
"Aizat juga merancang untuk keluar dengan album baru pada penghujung tahun ini. Bahan-bahan pun sedang dikumpulkan dan banyak kejutan yang akan dibuat melalui album baru nanti.
"Kalau kita sogok dengan lagu biasa, orang akan jemu. Ibarat kita bagi orang baca buku yang sama. Kulit luar sahaja berbeza tapi isi dalam tetap sama.
"Banyak idea yang tengah bermain dalam kepala Aizat. Semuanya masih dalam perancangan dan Aizat harap sangat semua orang akan tunggu," kata Aizat lagi.
Melihatkan keadaan industri muzik masa kini, kedatangan artis-artis dari luar cukup memberangsangkan. Lepas satu-satu nama-nama besar singgah menghiburkan peminat tempatan yang cukup dahagakan hiburan.
Ramai yang merungut kenapa penyanyi luar begitu mudah masuk ke sini sehingga menerima tajaan berjuta-juta ringgit sedangkan anak seni kita langsung tidak dipandang.
Sambil mengakui hakikat itu, Aizat berpendapat itu merupakan rezeki mereka dan membuktikan pihak penaja percaya penyanyi yang masuk itu mampu memberikan pulangan pada mereka.
"Itu rezeki mereka dan sudah pasti ada perkara menarik yang membuatkan mereka sampai ke tahap itu. Sebagai anak seni, kita juga perlu berusaha untuk setanding dengan mereka dan barulah selepas ini orang akan buka mata.
"Kalau asyik merungut tapi tak ada usaha yang dilakukan nak buat apa? Sebab itu kita kena berusaha untuk meletakan diri kita ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: