Sunday, January 30, 2011

Lagi anugerah untuk Berjaya Hills


S.A. Nathan (tengah) bersama kakitangan BHGCC yang menerima empat anugerah baru-baru ini.


LAPANGAN Berjaya Hills Golf and Country Club (BHGCC) antara kelab golf di kawasan tanah tinggi di negara ini yang menjadi tumpuan umum.

Selain menawarkan persekitaran yang nyaman dan segar, lapangan yang dikelilingi bukit bukau dan hutan dara tropika itu turut memiliki keindahan yang unik.

Sebab itu ia dianugerahkan sebagai lapangan golf tanah tinggi yang terbaik di Asia.

Namun, atas pelbagai usaha penambahbaikan yang dilakukan, BHGCC terus unggul sebagai antara lapangan tanah tinggi di negara ini.

Ia dibuktikan melalui empat lagi anugerah yang diterimanya ekoran kejayaan untuk mengekalkan tarikannya sebagai kawasan destinasi riadah sambil bercuti.

Baru-baru ini BHGCC menerima anugerah 10 Lapangan Golf Paling Menarik di Malaysia melalui undian oleh Star Golf.

Malah ia juga diundi dalam kedudukan 10 Lapangan Golf Terbaik di negara ini oleh Tee Times.

Lubang 18 lapangan itu pula telah disenaraikan sebagai Lubang 18 Terbaik berdasarkan undian yang dilakukan oleh majalah Par Golf.

Ciptaan arkitek golf Amerika Syarikat, J. Micheal Poellot lapangan ini menarik kunjungan pemain golf tempatan dan luar negara kerana cuacanya yang lebih nyaman selain cabaran dan keindahan pemandangan yang ditawarkan.

Yang terbaru ialah penerimaan anugerah antarabangsa daripada Trade Leaders Club dari Sepanyol dalam Industri Pelancongan, Hotel dan Katering bagi tahun 2011.

BHGCC sememangnya sudah menjadi destinasi popular di kalangan kaki golf di negara ini kerana ia hanya terletak 40 minit dengan memandu dari ibu negara.

Disebabkan jaraknya yang dekat dengan Kuala Lumpur juga menjadikannya antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Tarikannya ialah suhu yang sederhana di kawasan tanah tinggi yang membolehkan kaki-kaki golf beraksi 36 lubang pada satu hari.

Lapangan par-72 sejauh 6,312 meter itu terletak di tengah-tengah kawasan pembangunan Berjaya Hill seluas kira-kira 10,000 hektar yang turut merangkumi resort dan hartanah.

Kepada yang tidak bermain golf, pusat peranginan Colmar Tropicale menyediakan kemudahan penginapan 248 bilik.

Kemudahan lain yang terdapat di kawasan itu ialah pusat persidangan dan Perkampungan Jepun yang mana ia merupakan spa berkonsepkan Jepun pertama di Asia di luar negara Matahari Terbit itu.

"Kami memiliki kemudahan penginapan untuk para pemain golf yang datang bersama keluarga. Keluarga mereka boleh melakukan aktiviti lain yang bukan golf seperti boling, menunggang kuda, Taman Arnab, tenis, memanah, merentas hutan, melihat burung, taman botanikal, taman organik dan gelanggang badminton," kata Pengurus Besar BHGCC S.A. Nathan.

Lapangan itu katanya, berada dalam keadaan baik selepas kerja-kerja menaiktaraf dilakukan dan kini ia menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan korporat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: