Sunday, January 30, 2011

Hantu takut bunyi bising


MASYARAKAT Cina percaya bunyi mercun dapat menghalau hantu dan semangat jahat. Ia juga satu bentuk hiburan yang disukai oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


MEMANG tidak dapat dinafikan sambutan Tahun Baru Cina mempunyai kepentingan dan makna yang mendalam bagi masyarakat Cina di serata dunia.

Salah satu aktiviti wajib pada perayaan itu ialah membakar mercun.

Mercun merupakan ciptaan terawal orang Cina, sama seperti kompas, kain sutera dan tembikar. Ia dikatakan telah wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Antara tujuan mercun dicipta ialah untuk digunakan di medan perang sebagai bahan letupan.

Setiausaha Agung Kehormat, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Ann Wan Seng berkata, mercun juga digunakan untuk sambutan keramaian dan perkahwinan, bertujuan untuk memeriahkan majlis, menarik perhatian orang ramai dan menimbulkan suasana ceria.

“Ia dibakar untuk menghalau benda-benda yang tidak baik seperti semangat jahat dan hantu serta menghalang perkara buruk datang menghampiri.

Memanjang

“Tujuan orang Cina membakar mercun adalah untuk mendapatkan bunyi yang kuat. Lagi bising lagi bagus.

“Kini, ia juga menjadi satu bentuk hiburan di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Wan Seng, mercun boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama.


GENDANG turut digunakan untuk menghasilkan bunyi bising pada sambutan Tahun Baru Cina.


Pertama ialah mercun yang digunakan untuk upacara tertentu, misalnya pada majlis perkahwinan, pembukaan kedai baru dan hari perayaan.

Mercun itu dililit dengan kertas berwarna merah, diikat dan digantung secara memanjang dan akan menghasilkan letupan berturutan apabila dibakar.

“Warna merah melambangkan semangat, kegembiraan, nadi kehidupan dan paling penting, wang. Ia juga membawa maksud kemakmuran.

“Satu lagi ialah untuk permainan dan dibakar bagi menghasilkan percikan api. Ia hadir dalam pelbagai bentuk seperti mercun roket dan mercun katak,” katanya.

Wan Seng menjelaskan perayaan Tahun Baru Cina akan disambut selama 15 hari dan mempunyai tiga hari utama.

Perkahwinan

“Pertama ialah hari pertama tahun baru mengikut kalendar masyarakat Cina di mana mercun akan dibakar pada pukul 12 tengah malam.

“Masyarakat Cina Hokkien pula akan meraikannya pada hari kesembilan dan pada 15 haribulan, perayaan Capgome diadakan, menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Sungguhpun aktiviti bermain dan menjual mercun telah diharamkan di negara ini, ia masih dibolehkan pada hari-hari perayaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tradisi dan budaya masyarakat sejak dulu lagi.


DI China, negara pertama di dunia yang menghasilkan mercun, kini mengharamkan permainan bahan letupan itu di bandar-bandar utamanya kecuali pada perayaan tertentu.


“Sekiranya pada hari perayaan ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, kebenaran daripada pihak berkuasa adalah perlu jika ia dijalankan pada hari-hari biasa, misalnya untuk majlis perkahwinan.

“Pembakaran mercun juga tidak dibuat sesuka hati, sebaliknya hanya dilakukan di kawasan yang terhad seperti di halaman rumah atau di hadapan kedai,” katanya.

Tambah Wan Seng lagi, aktiviti membakar mercun sebenarnya merupakan satu bentuk komunikasi oleh kaum Cina.

“Apabila orang bakar mercun, kita dapat tahu suatu kejadian yang baik sedang berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: