Sunday, January 30, 2011

Moden seperti hotel lima bintang


Gaya dekorasi moden dan klasik.


Dekorasi yang indah mampu menyerikan ruang kediaman seseorang jika kena pada cara susun aturnya. Suasana yang cantik pula dapat melapangkan fikiran setelah seharian berada di luar rumah. Ramai juga yang berminat menghias rumah untuk mengurangkan tekanan dan mengisi masa lapang.

Walau apa pun alasannya, pastikan anda memilih perabot atau barangan perhiasan rumah yang sesuai dengan kediaman.

Trend terkini menyaksikan barangan perhiasan moden yang ringkas dan moden menjadi pilihan.

Sebaik-baiknya, dapatkan nasihat daripada pereka hiasan dalaman andainya tidak pasti hiasan bagaimana yang sesuai dengan rumah dan cita rasa anda.

Tidak semestinya mengikut dan akur dengan pendapat pereka hiasan dalaman tersebut, namun sekurang-kurangnya anda boleh berbincang dengannya.

Menurut Pengarah Urusan Ilham Design Furniture (IDF), Mejar (B) Wan Munadi Wan Mamat, sebahagian penggemar dekorasi pada hari ini memilih konsep moden. Kebanyakan perabot IDF misalnya, berkonsepkan moden dieksport dari Itali dan Argentina.

Antara set perabot ruang tamu yang menjadi pilihan ialah sofa berbentuk L, bahan kulit dan gabungan klasik dan moden.

Selain perabot daripada material kulit, perabot fabrik dan kayu boleh menampilkan gaya moden jika kena dengan susun atur kediaman.

Namun, perabot kayu pejal di ruang tidur dan makan masih menjadi kegemaran.

Bagi memberi variasi kepada setiap set perabot, IDF menyediakan senarai pilihan fabrik atau material untuk mudah disuai padan dengan kediaman.

Putih jadi pilihan

Berkongsi panduan pilihan warna terkini, Wan Munadi memberitahu, putih dan dwiwarna sesuai untuk konsep moden. Ada juga pelanggan yang mula berani menggunakan warna terang seperti merah dan coklat yang masih mendapat sambutan hingga kini.

Putih dilihat bertepatan dengan konsep Inggeris moden dan sesuai dengan apa sahaja latar warna atau perhiasan.

Mungkin ada yang takut membeli perabot putih kerana khuatir aspek penjagaan yang rumit tetapi ramai yang tidak tahu makna warna tersebut.

Putih dikatakan simbol kepada ketenangan dan suci yang boleh dijadikan terapi minda.

Selain ruang menjadi luas, penghuni kediaman mahu ia kelihatan timbul dan ceria berbanding warna gelap yang kelihatan suram.

Mengubah suai rumah

Selain sofa, kabinet televisyen antara perabot utama di ruang tamu. Berbeza dengan sofa, kebanyakan orang kurang mengambil berat tentang pemilihan kabinet yang sesuai.

Bagi memaksimumkan penggunaan ruang, sebaiknya pilih saiz kabinet yang sesuai dengan ruang tamu. Kegilaan perabot moden dan televisyen plasma dan LCD antara faktor orang ramai memilih kabinet yang ringkas dan kecil.

Ruang pula nampak lebih luas dan menarik.

Menurut Wan Munadi, pelanggan gemarkan set ruang tamu yang nampak sedondon. Ada juga pelanggan yang meletakkan bingkai cermin di ruang ini untuk memastikan ia lebih luas.

Di samping itu, hiasan pasu kecil menjadi penyeri ruang tamu di samping penggunaan cahaya lampu yang baik.

Gaya hotel

Bilik tidur juga tidak kurang pentingnya seperti ruang makan dan tamu.

Pilihan tilam dan katil yang berkualiti bakal memberi keselesaan kepada penghuni kediaman. Katil kayu pejal antara yang masih digemari ramai. Almari pakaian yang lebih luas juga semakin dititikberatkan.

Lazimnya bilik bertaraf suit atau sesetengahnya digelar presiden di sesebuah hotel hanya mampu dihuni oleh mereka berjawatan tinggi atau golongan berpengaruh sahaja.

Pastinya bilik tersebut mempunyai keluasan yang luar biasa serta kemudahan yang lebih banyak daripada bilik lain seperti deluxe dan superior.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa mereka juga boleh menghias bilik tidur seperti sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Wan Munadi memberitahu, orang ramai kini beralih ke suasana bilik tidur seperti sebuah hotel.

Dekorasi yang berkonsepkan moden ini sangat selesa dengan paduan penggunaan warna krim dan putih sebagai warna utama.

Hiasan bunga-bungaan pula tidak lepas dari setiap sudut bagi menambahkan lagi elemen hidup dalam suasana bilik presiden tersebut.

Pendek kata, anda juga mampu memiliki bilik tidur yang bertepatan dengan kelasnya. Ia juga amat selesa berehat selepas seharian penat menguruskan kerja rumah atau di pejabat.

Mengakui dekorasi sentiasa mengikut perubahan semasa, orang ramai mula bijak mencari panduan menghias rumah.

Memenuhi hasrat tersebut, IDF membuka tiga cawangan bilik pameran yang terletak di pejabat utama Bangi (Jalan Reko, Kajang, Selangor), Senawang (Seremban, Negeri Sembilan) dan Bandar Pusat Jengka, Pahang.

IDF yang diinspirasi daripada perkataan ilham membawa maksud sesuatu yang menggerakkan hati atau menimbulkan daya cipta untuk menghasilkan atau mencapai sesuatu. Kebanyakan pelanggan mahu merasa atau mencuba perabot yang dibeli seperti sofa sebelum membawa pulang ke rumah. Justeru itu, setiap perabot yang dipamer menjadi panduan kepada orang ramai mengubah suai kediaman. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai IDF, orang ramai boleh menghubungi Wan Munadi di talian 019-2669128.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: