Saturday, January 29, 2011

Dihangatkan Sarimah Ibrahim


KOLABORASI Esma dan Elly sebagai Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.


MENERAJUI watak mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu usia remaja dalam Muzikal Tun Mahathir 2, lakonan Ezany Nizarif pada malam awal pementasan teater itu dianggap kurang memperlihatkan penyatuan bersama pasangannya, Misha Omar yang menjadi pembawa karakter Tun Dr. Siti Hasmah pada zaman sama.

Atmosfera itu jelas terpancar saat penterjemahan babak berlatar belakang Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sekitar tahun 40-an. Lenggok badan dan pertuturan Ezany dilihat sukar menampakkan keserasian dengan gandingannya. Ada waktu, dia seperti kekok.

Malah, tidak ketinggalan, gayanya terlihat seperti dibuat-buat.

Tidak lekas melatah atau jauh sekali melenting dengan komen diluahkan buatnya, Ezany mengaku bahawa dia ingin terus memperbaiki diri pada pementasan malam-malam seterusnya.

“Sudah menjadi lumrah apabila pemain seni apatah lagi baru memijakkan kaki di gelanggang teater diberi beragam pandangan baik positif atau negatif.

“Saya sebenarnya ditawarkan melakukan pementasan ini pada saat akhir bagi menggantikan pelakon pada musim pertama.

“Pada mulanya, saya akui bimbang untuk peluang ini. Namun, kalau saya tidak sahut cabaran, maka saya akan menjadi seorang insan mengaku kalah sebelum berjuang. Semangat ini semahunya saya cuba elakkan sebagai pelakon.

“Kalau hendak dibandingkan dengan pementasan terdahulu, sesi latihan untuk saya kali ini agak singkat dengan tempoh dua minggu.

“Saya sepatutnya tidak menghadapi masalah bagi memupuk keserasian bersama Misha kerana kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Ia sebenarnya memudahkan lagi setiap adegan yang kami lakonkan.

“Begitupun, sebagai pelakon, saya ingin terus meningkatkan kualiti persembahan sambil memperbaiki beberapa kelemahan termasuk keserasian bersama Misha di atas pentas selepas ini,” perlahan kata Ezany ketika ditemui pada malam pertama pementasan Muzikal Tun Mahathir 2 di Istana Budaya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak hanya itu, selain Ezany, pelakon dan penyanyi jelita, Elly Mazlein yang kali pertama terbabit dalam teater berskala besar itu juga berdepan kesulitan tertentu semasa menginterpretasi lakonannya sebagai bekas wanita pertama negara.

Paling jelas, awal kehadirannya, Elly masih kurang fasih bertutur dalam loghat Kedah.

Terpaksa mencuri waktu panjang, Elly pada penghujung babak baru dapat menyerapi ‘roh’ Tun Dr. Siti Hasmah. Prestasi Elly dianggap kurang memuaskan berbanding lakonan pernah ditonjolkan Erra Fazira yang sebelum ini memegang karakter sama pada pementasan Muzikal Tun Mahathir sulung. Namun, percubaan berani wanita itu harus dipuji.

Dalam pada itu, Misha yang sebagai Dr. Siti Hasmah pada zaman remaja ditafsir tidak menghampakan.

Biar masih banyak aspek perlu dipelajari dalam asas lakonan, penyanyi berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya memikat hati audiens dengan gaya bersahajanya. Sedikit sebanyak, Misha mampu mencurah impak buat teater muzikal itu.


KEMUNCULAN Misha mampu mencurah impak


Mengulas tentang individu mengepalai Muzikal Tun Mahathir, aktor tinggi lampai, Esma Daniel ternyata masih mengekalkan momentum pernah dipertontonkan sewaktu pementasan pertama tahun lalu.

Sebaik sahaja kelibatnya disaksikan di Panggung Sari, dia pantas sahaja meraih sorakan penonton. Justeru, pemilihan Esma sebagai Dr. Mahathir dirumuskan paling tepat.

Selain Esma, Ezany, Elly dan Misha, teater yang digarap oleh Rosminah Tahir dengan naskhah ditulis oleh Ismail Kasan itu turut diisi dengan penglibatan deretan nama pelakon popular tanah air.

Antaranya ialah Datuk Jalaludin Hassan, Azean Irdawaty, Diana Johor, Mazhar Mahathir, Zaifri Husin, Rosli Rahman Adam dan Nizam Yamim.

Dalam suasana peminat mula dilanda kebosanan beberapa babak disaluti pada teater muzikal itu, Sarimah Ibrahim yang membawa watak pencerita sebaliknya berjaya menghangatkan panggung dengan gelagat mencuit hatinya.

Malah, kemunculan figura itu umpama ditunggu-tunggu selepas muncul pada awalnya dengan persembahan bercorak humor.

Ditawarkan pengarah untuk membuat penampilan dalam 15 babak membuatkan penyanyi terkenal dengan lagu Kini Kau Tiada itu menggunakan kesempatan diberi dengan sebaik mungkin.

Bayangkan, dari awal kemunculan hingga penghabisan, dia membuatkan penonton ketawa dengan hanya dibantu kostum bersesuaian babak.

“Pengarah teater ini memberi sepenuh kebebasan kepada saya bagi menjayakan 15 babak. Semua adalah idea saya sendiri.

“Sekadar ingin berkongsi, setiap babak saya hasilkan skrip agar ia terlihat seperti drama pendek. Malah, saya menukar 15 helai pakaian semata-mata ingin menampilkan kelainan terhadap setiap satunya.

“Antara babak ditonjolkan termasuk pelajar berketurunan Cina yang jatuh cinta dengan Tun Dr. Mahathir sewaktu berada di institusi pengajian tinggi.

“Namun, tidak semua babak berunsur komedi kerana saya turut menampilkan sindiran menerusi perkahwinan campur,”jelas Sarimah yang pada awalnya dihambat gemuruh sebelum naik ke pentas.

Mengambil masa selama sembilan hari melakukan latihan, Sarimah mengaku saat diberitahu produksi CTRA Production untuk melibatkan diri pada Muzikal Tun Mahathir 2, jiwanya meluap-luap menyatakan persetujuan tanpa berfikir panjang.

Itu kerana darah merah mengalir dalam tubuhnya sentiasa dibalut dengan semangat kecintaan kepada Dr. Mahathir.


EZANY dan Misha mampu memberikan mutu lakonan yang lebih baik.


“Saya sebenarnya lebih suka berlakon. Namun, entah kenapa pengarah di negara ini jarang memberi peluang kepada saya dalam produksi mereka. Dengan pembabitan dalam Muzikal Tun Mahathir 2, saya ingin membuktikan kepada orang lain bahawa saya berminat menjadi pelakon. Tidak ramai yang tahu tentang kesukaan saya ini.

“Bercakap semula tentang teater ini, saya sempat melakukan kajian dan pemerhatian mengenai kisah hidup Dr. Mahathir. Paling mengejutkan, saya dapat idea menarik ini menerusi mimpi baru-baru ini. Ia sungguh tidak disangka,” akui Sarimah yang juga menggayakan rambut palsu bagi memenuhi gaya seorang wartawan penyiaran kurang siuman.

Sepanjang dua jam setengah pelayaran teater muzikal itu, kesimpulannya bahawa bukan mudah untuk mengadaptasi pengkisahan tokoh tertentu.

Seantero dunia sedar kehebatan Dr. Mahathir yang punya relung kehidupan personal dan politik penuh warna. Fakta semata-mata ditafsirkan tidak mencukupi kerana ia bukan penyukat utama.

Meskipun ada sedikit sebanyak kehebatan figura berusia 85 tahun itu hilang dalam rantaian kisah hidup beliau yang semuanya hendak di bawa ke pentas serentak, hakikatnya, pujian harus dilayang buat seisi krew produksi Muzikal Tun Mahathir yang sanggup bergolok gadai merealisasikan teater bersejarah itu.

Muzikal Tun Mahathir 2 dipentaskan bermula 21 hingga 30 Januari ini pada pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: