Saturday, January 29, 2011

Tahun Arnab di The Curve


THE CURVE menawarkan pelbagai pengalaman beli-belah menarik termasuk persembahan kebudayaan dan cenderamata.


SAMBUTAN Tahun Baru Cina bakal diraikan dalam beberapa hari sahaja lagi dengan arnab mengambil alih tahun harimau mengikut Kalendar Lunar.

Tahun Arnab dikatakan sebagai tahun yang memberikan kesihatan yang baik, kekayaan dan kemakmuran.

Sempena sambutan tersebut, pelbagai aktiviti menarik berlangsung bermula pada 14 Januari hingga 9 Februari depan tidak terkecuali di The Curve.

Dengan bertemakan The Joys of Spring, kempen sambutan kali ini lebih menjurus kepada simbol musim bunga.

Pengunjung dapat merasai suasana di dalam pusat beli-belah dengan seni guntingan kertas bersama gabungan pelbagai simbol zodiak Cina serta tanglung.

Tarikan utama bertumpu kepada simbol zodiak arnab yang lebih dikenali dalam budaya Cina sebagai binatang cerdik dan pengasih.

Ia diceriakan lagi dengan hiasan pokok bunga sakura yang membangkitkan suasana sambutan perayaan.

Dekorasi tersebut dilengkapkan dengan pelbagai gerai yang menawarkan hadiah dan produk sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.


GULA tarik untuk pengunjung terutama si cilik.


Dalam pada itu, pengunjung juga boleh membeli pelbagai jenis barangan daripada August Eight Collection, Clarity Enterprise, ETC, Fujimori, Juice Work, Little Diva, Sweet Memory dan Yours Truly Floral & Gifts.

Sepanjang kempen, sambil membeli-belah pengunjung yang datang berpeluang menonton persembahan menarik seperti tarian singa yang menampilkan aksi akrobatik daripada Kwong Ngai Acrobatic Lion Dance Troupe yang terkenal di peringkat antarabangsa selain tarian naga, 5 Emperor dan persembahan gendang 24 musim.

Persembahan lain termasuklah persembahan perubahan mimik muka Cina kuno, muzik instrumental yang dimain menggunakan alat muzik klasikal dan tarian tradisional bagi memeriahkan suasana.

Turut diadakan ialah demonstrasi seni halus ukiran patung doh dan gula tarik. Pengunjung berpeluang menikmatinya manisan itu dengan percuma.

Bagi pengunjung yang mahu meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, mereka boleh memilih beberapa restoran di situ.

“Kami menyambut kedatangan para pengunjung dengan memberikan pengalaman membeli-belah istimewa dengan menampilkan budaya dan tradisi bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina.

“Ia bertepatan dengan tujuan kami untuk memberikan pengalaman unik yang diingati sampai bila-bila selain berseronok bersama keluarga dan rakan-rakan,” kata Pengurus Pusat The Curve, Adele D. Flores.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: