Saturday, January 29, 2011

Cabar diri jadi Kato




JAY CHOU - adi wira, bahasa Inggeris dan seni mempertahankan diri adalah tiga subjek yang begitu asing bagi dirinya.

Namun menerusi penglibatan perdananya sebagai aktor di Hollywood, dia mencabar diri sendiri untuk menjadikan tiga subjek tersebut sinonim dengan dirinya.

Ternyata cabaran yang diambil saat bersetuju untuk membintangi filem bikin semula The Green Hornet itu memberi pulangan yang bernilai buat dirinya.

Cukup teruja mempromosikan filem terbarunya itu, Jay bercakap tentang penglibatannya dalam filem arahan Michel Gondry yang menggandingkannya dengan Seth Rogen dan Cameron Diaz.

Apa yang menyebabkan anda menerima tawaran ini? Apa yang anda tahu mengenai The Green Hornet dan Kato?

JC: Kerana filem ini lahir sewaktu generasi bapa saya. Kato adalah adi wira kegemarannya. Sewaktu saya mendapat tawaran ini, saya menelefon dia dan dia cukup gembira kerana saya bersetuju untuk memainkan karakter Kato. Lagi pun saya sudah lama mahu menjadi adi wira. Jadi apabila ada peluang, saya tak mahu melepaskannya.

Kato sebelum ini cukup popular di tangan Bruce Lee. Kato juga menjadi karakter pertama yang memperkenalkan Bruce Lee kepada Hollywood. Anda melihat persamaan anda dan Bruce Lee?

Saya cuba melarikan Kato daripada Bruce Lee. Lagipun saya tidak layak untuk dibandingkan dengan Bruce Lee. Dia seorang legenda dan tiada siapa boleh menggantikan tempatnya. Ini Kato versi saya. Saya bermain muzik, jadi dalam versi ini, Kato bermain piano. Ya, saya telah membawa Kato dalam versi saya. Saya mahu menjadi Kato, bukan menjadi Bruce Lee.

Sewaktu bersetuju memainkan karakter ini, apa yang anda takutkan? Adakah anda takut tentang kebolehan anda bertutur bahasa Inggeris?


ANTARA babak menarik dalam The Green Hornet. Jay Chou (belakang) dan Seth Rogen.


Ya, pada awalnya saya takut. Takut saya tidak mampu membawa karakter ini, terutama berbahasa Inggeris, bahasa yang cukup asing bagi saya. Tapi saya adalah orang yang suka mencabar diri sendiri. Akhirnya saya berjaya melawan cabaran itu.

Kejayaan sesebuah filem komedi selalunya bergantung kepada intonasi mereka. Untuk anda yang pertama kali berbahasa Inggeris, adakah anda selesa? Sedangkan anda tidak faham 100 peratus apa yang anda tuturkan.

Saya boleh katakan 30 peratus saya selesa. Sebenarnya saya suka bahasa Inggeris dan selalu ingin mempelajarinya. Tapi tak pernah dapat sehingga saya terbabit dalam filem ini. Kini saya mampu berbahasa Inggeris hanya dalam tempoh masa sebulan dan berani saya katakan, saya faham sebanyak 30 peratus apa yang saya tuturkan sekarang.

Maksudnya anda memang tak tahu berbahasa Inggeris langsung sebelum ini?

Ya. Saya hanya tahu bercakap bahasa pasar dalam bahasa Inggeris. Tetapi untuk filem ini, saya menghabiskan masa tiga jam sehari untuk menghafal skrip dan memahami maksud dialog saya. Jika khalayak menonton filem ini, mereka akan menyangka saya fasih berbahasa Inggeris, sedang hakikatnya tidak. Malah Seth dan Cameron selalu mempermainkan saya.

Jadi bagaimana rasanya berganding dengan Seth Rogen. Adakah dia banyak membantu?


SEBAGAI adi wira, mereka dibantu oleh sebuah kenderaan khas.


Saya suka bekerjasama dengan dia. Dia banyak membantu. Dia adalah guru bahasa Inggeris saya. Malah jika ada perkataan yang sukar untuk saya sebut, dia akan tukarkannya kepada yang lebih mudah kerana dia juga adalah penulis skrip filem ini. Ya, dia sangat banyak membantu saya dan dia juga seorang yang cukup kelakar.

Sukar atau tidak memainkan karakter Kato, seorang adi wira yang handal berlawan?

Sebenarnya sukar kerana saya tidak pernah mempunyai latar belakang dalam bidang seni mempertahankan diri. Apa yang saya lakukan hanya berbekalkan minat saya terhadap lakonan Jet Li dan Jackie Chan dan kecintaan saya terhadap seni kung fu. Itu sahaja bekalan buat saya menghidupkan karakter Kato.

Anda rasa kenapa khalayak akan menyukai filem ini?

Kerana hero filem ini bukan mempunyai kuasa luar biasa, tapi mereka adalah manusia biasa yang menjadi luar biasa.

Selepas filem ini, adakah kebarangkalian anda akan terus menjadi aktor di Hollywood jika mempunyai peluang?

Sebenarnya saya lebih cintakan bidang nyanyian berbanding lakonan. Jika The Green Hornet mempunyai sekuel, saya akan kembali ke Hollywood. Dan saya lebih berminat jika boleh terlibat dalam sebuah muzikal.


KATA Jay Chou, dia hanya mahu menjadi Kato, bukan meniru Bruce Lee.


Adakah sukar seorang pendatang dari Asia menerobos pasaran Hollywood?

Pada saya, ya, terutama dalam bidang hiburan.

Tapi aktor seperti Jet Li dan Jackie Chan telah membuktikan mereka mampu?

Mereka mampu masuk pasaran Hollywood kerana kepakaran dalam seni pertahankan diri. Jika saya mahu terkenal di Hollywood, saya mahu terkenal lebih atau berbeza daripada apa yang sudah ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: