Monday, January 31, 2011

Soul 3 semangat 1Malaysia


SOUL 3 yang dianggotai oleh (dari kanan) K. Ganesh, Terry Siau dan Helmi Fazli mencari posisi terbaik untuk dikenali. Album Gunung Asmara menjadi pertaruhan dan bakal muncul dengan konsert mini sendiri.


MESKIPUN sudah melahirkan tiga buah album, kumpulan Soul 3 yang berkonsepkan 1Malaysia hasil gabungan tiga anak muda Melayu, Cina dan India masih belum cukup dikenali ramai dalam dunia seni suara.

Sungguhpun begitu, trio yang diwakili oleh K. Ganesh, Terry Siau dan Helmi Fazli Md. Halim itu masih gigih berusaha. Mereka tidak pernah kenal erti jemu untuk terus bertahan dalam industri hiburan kerana minat yang mendalam dalam bidang nyanyian.

Selaku ketua kumpulan, Ganesh tetap menyifatkan kehadiran mereka masih lagi baru dalam industri muzik dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan posisi.

"Saya akui kami memang kurang mendapat liputan daripada media dan mungkin kerana faktor itu, ia membuatkan kami kurang dikenali.

"Pada tahun ini, kami akan bergerak perlahan-lahan membuat promosi album baru kami yang bertajuk Gunung Asmara. kami akan cuba untuk menganjurkan konsert sendiri," katanya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini.

Mengimbas kembali perjalanan Soul 3, Ganesh memberitahu, pada mulanya, kumpulan tersebut merupakan sebuah kumpulan vokal dan mereka melangkah ke bidang seni suara dengan berbekalkan album Hilang pada 2006. Ia terjual sebanyak 3,000 unit.

Setahun selepas itu, Soul 3 menerbitkan sebuah lagi album bertajuk Awan dan Langit, namun mungkin disebabkan dua daripada anggota Soul 3 menarik diri, Ganesh mengambil inisiatif sendiri dengan membuat jualan album secara langsung sehingga mencecah 8,000 unit.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, anggota asal Soul 3 memang terdiri daripada tiga etnik utama di Malaysia, namun selepas menerbitkan album pertama, kumpulan ini berpecah. Saya kemudian bangkit dengan mencari ahli baru pada tahun 2007.

"Sekali lagi kami berpecah, namun kehadiran Terry dan Helmi memberikan saya idea agar kami muncul dengan konsep band. Pada masa yang sama, saya amat berharap agar mereka berdua akan kekal dan bersama-sama menaikkan Soul 3 agar berdiri sebaris dengan artis tanah air yang lain," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: