Sunday, January 30, 2011

Kenapa saya kahwin sorok?


Berharap masyarakat segera berhenti membuat spekulasi tentang pernikahannya.


PENYANYI dan pelakon Haleeda punya sebab tersendiri menyembunyikan identiti sebenar suaminya daripada pengetahuan umum buat sementara waktu. Hal tersebut disifatkan peribadi untuk dikongsi. Tambahan pula masyarakat masa kini mudah melabel wanita yang pernah memegang status ibu tunggal dengan mengaitkannya pelbagai andaian buruk yang dikhuatiri boleh mengeruhkan keadaan.

Prasangka tersebut juga menyebabkan wanita berusia 38 tahun ini berat mulut. Dia bimbang andai apa yang terkeluar dari mulutnya disalah erti.

‘‘Cukuplah saya memberitahu bahawa saya sudah bersuami. Kami bernikah di Thailand pada penghujung tahun lalu. Tapi bukan secara sembunyi atau sorok-sorok seperti mana yang dikatakan orang ramai. Perkara melibatkan munakahat itu juga bukan kerana tidak mendapat restu.

‘‘Semuanya dilakukan mengikut hukum syarak dengan berwalikan abah, Badaruddin Sham. Anak saya Amirah Amani, adik dan sepupu sebelah abah juga turut hadir. Majlis berjalan serba sederhana,’’ cerita pengantin baru ini menyingkap kisah rumah tangga yang baru dibina tidak kurang dalam tempoh sebulan.

Pertemuann bersama Pancaindera pada Khamis lalu di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur itu juga menyaksikan Haleeda atau nama sebenar Halida Mazlin ini bercerita serba sedikit tentang suami yang dinikahi hujung Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Haleeda enggan memberi nama penuh suaminya dan selesa digantikan dengan panggilan ‘Mr. S’ dan berusia awal 40-an.

Haleeda juga menggambarkan ‘Mr. S’ sebagai seorang penyayang dan berkongsi apa sahaja yang dialami sepanjang tempoh perkenalan mereka.

‘‘Alhamdulillah, suami saya sangat bertanggungjawab dan boleh menerima saya seadanya. Dia bijak mengawal keadaan. Kami saling melengkapi antara satu sama lain dan memperbaiki kesilapan andai berlaku pada masa akan datang.

‘‘Saya turut bersyukur kerana mendapat suami yang bukan sekadar pandai bercakap sahaja tetapi tahu bagaimana pelaksanaan sesuatu perkara. Ini melibatkan soal hati dan saya tidak main-main dengan perkahwinan kali ini. Akhirnya Tuhan menemukan saya dengan jodoh sekali lagi,’’ katanya.

Kisah cinta

Ditanya sejak cinta berputik cinta di kalangan mereka, wanita ini tersenyum. Ceritanya, baik Haleeda atau ‘Mr. S’, masing-masing tidak mengambil masa yang lama memutuskan untuk bernikah.

‘‘Saya percaya jika seseorang lelaki itu benar-benar ikhlas serta bersungguh-sungguh dengan kita, tak akan ada banyak alasan untuk menangguhkan perkara yang baik,’’ katanya menyelak kembali cerita lama.

Suaminya itu juga cukup prihatin dengan kesihatan arwah ibunya, Mazidah Saarin ketika hayatnya yang menderita penyakit kanser usus peringkat keempat pada tahun lalu.

‘‘Di situ saya melihat keikhlasan suami saya. Saya jadi begitu tersentuh atas apa juga tindakannya. Bertungkus lumus dia memastikan kesihatan ibu saya. Malangnya, hayat ibu tak panjang. Arwah meninggal tidak lama kemudian.

‘‘Lepas itu, saya minta pandangan abah tentang ‘Mr. S’. Ternyata abah tidak menghalang hubungan kami. Malah, abah menasihati agar saya beristikharah. Iyalah, saya sudah bergelar ibu tunggal sepanjang tempoh 10 tahun.

‘‘Macam-macam dugaan yang saya hadapi. Begitu juga dengan sindiran macam-macam yang singgah ke telinga. Sebab itu, abah tidak mahu tengok saya terus berdukacita.

‘‘Saya juga tak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab itu, saya banyak kali berdoa kepada Tuhan agar pilihan saya kali ini tepat dan direstui semua pihak,’’ katanya tanpa berselindung.

Bila mahu dedahkan

identiti Mr. S?

Pelakon drama bersiri Kecuali Cintamu itu juga kekal dengan keputusan untuk menyembunyikan identiti buah hatinya yang juga ahli perniagaan itu sehinggalah satu masa sesuai.

Pendiriannya mudah, status diri di kalangan mata masyarakat membataskan perbuatannya untuk menguar-uarkan kepada masyarakat.

‘‘Memang betul kalau kita selalu dengar apa kata orang, kita tak boleh jauh ke hadapan. Tapi, saya ada perkara penting yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.

‘‘Seperti pendaftaran perkahwinan kami dan beberapa perkara utama lain. Jadi apabila sudah selesai, barulah saya tampil ke hadapan, bercerita lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar kepada umum.

‘‘Saya tidak mahu mengusutkan keadaan. Cukuplah cerita yang bukan-bukan tentang saya sebelum ini. Begitu juga dengan cerita-cerita negatif tentang saya, semuanya terjadi bersebab,’’ jelasnya.

Kenapa kahwin senyap-senyap?

Menjawab persoalan mengapa dia menyembunyikan perkahwinan keduanya itu, anak ketiga dari lima beradik ini dilihat begitu tenang sekali.

Katanya, rasional pemikiran mengatakan dia tidak perlu bercerita secara terperinci mengenai perkahwinannya bersama ‘Mr. S’ sebab ia milik peribadi dan terlalu kompleks.

‘‘Terus terang, saya katakan bahawa saya belum bersedia ke arah itu. Insya Allah saya akan mendedahkannya satu hari nanti.

‘‘Tapi apa yang menyedihkan saya, makin lama saya berdiam diri, makin naik tocang orang bercakap tentang saya yang bukan-bukan.

‘‘Saya paling kasihankan Amirah yang dah masuk 16 tahun ini. Anak saya yang seorang itu cukup sensitif bila orang mula berkata tentang perkahwinan baru ibunya. Kalau betul tak mengapalah, ini bila sudah ditambah tokok, mengalir air mata jugalah dia.

‘‘Sebab itu, saya ambil keputusan untuk rahsiakan dahulu perkara itu. Bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi yang timbul selepas ini,’’ pintanya berkali-kali.

Pada masa yang sama, penyanyi lagu Setia Kasih menafikan bahawa dia ‘kantoi’ dengan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa di rumahnya. Tak kurang dari itu, ada macam-macam versi negatif yang kedengaran tetapi didiamkan sahaja.

‘‘Sekarang ini, saya perlu bersedia untuk berdepan dengan proses perundangan dengan pihak mahkamah. Biarlah ditumpukan perkara ini terlebih dahulu,’’ katanya ringkas.

Hidup lebih tenang

Menyentuh tentang kehidupan barunya ini, penyanyi lagu Terkilan ini mengatakan dia cukup bahagia dan tenang tatkala ini.

‘‘Kehidupan saya sudah terisi, lebih bermakna dan sempurna. Bila ada orang yang sudi mendengar cerita, berkongsi cerita harian dan sama-sama melayari bahtera perkahwinan.

‘‘Saya akui memang ketenangan ini yang saya cari selama ini. Menumpukan perhatian kepada urusan keluarga yang selama ini semacam kurang lengkap.

‘‘Amirah juga sudah punya teman untuk berbual dan bergurau senda. Bonus ini yang buat saya lebih bertambah tenang,’’ katanya mengakhiri perbualan selama dua jam yang manis itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: