RAMPAS...Amiruddin menunjukkan dadah yang dirampas.
AMPANG: Satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini dikesan berselindung di sebalik penjualan cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) untuk mengedar dadah kepada penagih, sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, hasil maklumat orang awam, tujuh lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan di sebuah pangsapuri di Pandan Jaya, Rabu lalu.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mereka sejak tiga bulan lalu menggunakan taktik menjual DVD dan VCD bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Difahamkan, nilai rampasan dadah dan barangan berkaitan mencecah lebih RM258,000 termasuk dua kereta.
“Dalam operasi pertama kira-kira jam 2.30 petang, empat lelaki berusia antara 21 hingga 27 tahun diberkas di rumah sewa mereka di Pandan Jaya, di sini.
“Hasil tangkapan itu, polis menemui ketamin seberat 311 gram, 90 pil Ecstacy, 130 pil eramin 5. Turut dirampas sebuah kereta Toyota Caldina,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini semalam.Beliau berkata, empat suspek itu bekerja sebagai buruh dan penjual cakera padat (CD) dan polis tidak menolak kemungkinan menjadikan pekerjaan menjual DVD dan VCD untuk menjalankan urusan pengedaran dadah.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas keempat-empat suspek terbabit, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya menahan seorang lagi suspek berusia 33 tahun ketika dia mahu menaiki lif menuju ke rumah sewa semua suspek.“Ketika penahanan suspek yang bekerja sebagai buruh kira-kira jam 4.30 petang itu, polis merampas ketamin seberat 512 gram bernilai RM25,600 yang disorok dalam bekas makanan dan minuman,” katanya.
Amiruddin berkata, sejurus tangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek berusia 39 dan 24 tahun di kawasan parkir kereta pangsapuri berkenaan dan merampas ketamin seberat 1,003 gram bernilai RM50,150 bersama sebuah Proton Waja.
“Suspek yang berusia 39 tahun bekerja sebagai pemandu teksi dan seorang lagi penarik kereta. Hasil ujian saringan air kencing, enam suspek positif ketamin dan seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. “Semua suspek direman sehingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: