|
|
ADAKAH anda tahu bahawa penggunaan sabun mandi untuk mencuci muka dan rambut akan meninggalkan kesan buruk kepada kulit wajah dan mahkota kepala? Bahan asas sabun mandi kebiasaannya adalah lemak tumbuhan yang akan dicampur dengan air alkali (sodium hidroksida).
Oleh kerana itu, tahap kealkalian sabuan mandi yang tinggi menyebabkan ia tidak sesuai digunakan pada kulit wajah yang bersifat sensitif, apatah lagi untuk menjadi bahan pencuci dan perapi rambut.
Menurut penata gaya, Zulfazli Suhadi, bahan alkali dalam sabun mandi biasa sangat tinggi.
"Biarpun sudah ramai yang menyedari mengenai kepentingan menggunakan produk yang betul untuk wajah dan rambut, namun hakikatnya masih ramai lelaki yang hanya mencuci rambut dan kulit muka mereka dengan sabun mandi atas faktor mudah serta murah.
"Alkali yang tinggi akan menyebabkan rambut berkelemumur dan kulit muka akan menjadi kering," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jurusolek selebriti itu menasihati, golongan lelaki yang mementingkan penjagaan diri sebaik-baiknya mempunyai dua set penjagaan wajah.
"Satu set boleh digunakan di rumah, manakala satu set lagi untuk dibawa ketika bertugas di luar atau tidur di rumah rakan.
"Ia bagi mengelakkan anda daripada berkongsi set produk dengan orang lain atau mungkin juga membuatkan anda terpaksa membersih wajah dengan sabun mandi," jelasnya.
Bagi pengacara, Mohd. Hairey Azhar Abdul Rahman atau nama glamornya, Zoey, dia hanya mencuci mukanya dengan pencuci muka setiap hari.
"Saya agak beruntung kerana mempunyai kulit wajah yang tidak mendatangkan banyak masalah dah mudah untuk dijaga.
"Pernah juga buat rawatan wajah, tetapi kulit saya jadi macam bermasalah pula. Selepas itu saya mencuci muka seperti biasa sahaja," kata Zoey.
Dalam membantu kaum Adam yang biasanya dambakan proses mencuci wajah yang ringkas dan mudah, jenama penjagaan kulit eksklusif dari Australia, Skinn memperkenalkan enam produk khas untuk golongan jejaka.
Produk yang dicipta oleh pakar kulit Australia, Dr. Nina Wines menggunakan bahan yang berkualiti tinggi yang dipilih secara terperinci. Ia direka khas untuk keperluan spesifik kulit lelaki.
Menurut Pengarah Urusannya, Catherine Biedermann, setiap produk Skinn menekankan tentang ketelitian dengan informasi mini tentang isu-isu berkaitan dengan bercukur dan penuaan.
"Jenama Skinn menghasilkan produk lelaki sahaja. Lelaki kebiasaannya tidak suka jika menggunakan produk yang berminyak. Produk ini juga disasarkan untuk lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 55 tahun," katanya.
Tambah Biedermann, berdasarkan kajian, 60 peratus lelaki tidak suka bercukur.
"Selalunya lelaki tidak suka bercukur sebab rasa kurang selesa selepas bercukur. Lelaki lebih cenderung mendapat kemerahan, pedih, ketidakselesaan wajah dan kulit mengelupas. Atas sebab itulah, Skinn turut menawarkan produk khas untuk digunakan mengiringi proses bercukur," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: