Monday, January 24, 2011

Kasut bukan sekadar pengalas kaki




KASUT mungkin dianggap sesetengah orang sebagai keperluan mengalas kaki sahaja ketika berjalan-jalan di luar rumah. Namun, bagi yang tahu menghargai nilai sepasang sepatu yang cantik, hakikatnya ia mampu menyerlahkan gaya si pemakai.

Pelbagai reka bentuk kasut yang dijual pada masa kini juga sudah tentu membuatkan peminat-peminat kasut rambang mata. Para wanita tentunya lebih bertuah kerana rangkaian pilihan yang direka untuk mereka lebih meluas.

Ada sesetengah jenis potongan dan warna membolehkan wanita mengenakannya dengan banyak cara penampilan dan penggayaan. Namun, memiliki koleksi kasut yang lebih tentunya memberi kelebihan kepada seseorang bagi disuai padan dengan trend fesyen dan persalinan kegemaran mereka.

Bagi pelakon yang sedang meningkat naik, Diana Amir, dia kini mempunyai lebih 20 pasang kasut sedia ada yang sering dipakai ketika kerja dan pada waktu senggang.

Katanya, secara purata, dia akan membeli sepasang kasut setiap bulan.

“Koleksi kasut saya jadi banyak sebab saya kerap membeli kasut. Setiap kali membeli kasut, saya cuba untuk memadankannya dengan baju yang akan saya pakai.


DIANA AMIR memiliki lebih daripada 20 pasang kasut yang rata-ratanya memberi keselesaan sewaktu bekerja dan bersantai.


“Kasut adalah salah satu aksesori gaya yang penting. Ia bukan sekadar untuk menutup atau melindungi kaki ketika berjalan,” kata pemilik nama sebenar, Nur Diyana Amir Hashim.

Tambahnya yang kini berusia 25 tahun, kasut jenis Charles & Keith sering menjadi pilihannya.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah kasut itu seharusnya selesa untuk dipakai. Saya mengutamakan aspek keselesaan kerana pada kebiasaannya saya akan menggunakan kasut itu untuk jangka masa panjang.

“Jangka ‘hayat’ simpanan dan pemakaian setiap kasut itu adalah kira-kira setahun,” jelasnya.

Tambah Diana, dia memang minat untuk bergaya sejak kecil terutamanya soal memperagakan baju dan kasut.

“Mungkin sudah menjadi lumrah bagi majoriti wanita untuk cenderung meminati soal gaya usia muda. Kini, ketelitian dalam bergaya seolah-olah sudah menjadi hobi,” beritahunya yang kini menunggu masa untuk berambut panjang semula selepas digunting pendek demi menjayakan wataknya dalam filem 321 Cinta.

Melihat dari satu sudut lain, Diana mengakui bahawa dirinya ialah jenis yang percaya pada jenama kerana menurutnya, jenama yang baik akan memberi kualiti, ketahanan dan keselesaan yang diharapkan.

Kata Diana, buat masa ini kasut paling mahal miliknya adalah sepasang bernilai RM499 dari jenama Vincci. Selain itu, kasut yang sering menjadi pilihannya ialah Forever21 dan Nose.


GOLONGAN wanita berpeluang tampil menawan dengan menyarungkan koleksi kasut yang hadir dalam pelbagai bentuk, motif dan rekaan.


Obses sepatu

Sementara itu, Nur Hidayah Abd. Rahim, 27, yang telah mengumpul kasut sejak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi mengakui dia tidak pernah menyangka menjadi wanita yang obses dengan sepatu.

Sehingga kini, koleksi kasutnya sudah hampir mencecah 30 pasang. Ia terdiri daripada kasut tumit tinggi dan kasut baji (wedges) setinggi tiga inci.

“Saya sebenarnya tidak pernah pun terfikir untuk mengumpul kasut tetapi saya mula tertarik dengan rekaan kasut.

“Keinginan untuk membeli bermula apabila saya sering terpandang rekaan kasut menarik ketika bersiar-siar di kompleks beli-belah.

“Sudah jadi macam tabiat pula, tak boleh tengok kasut cantik, mesti saya beli,” ujarnya.


HIDAYAH mengakui dia mula obses mengumpul sepatu sejak menuntut di IPT.


Jelasnya, antara semua kasut miliknya itu, ada sepasang yang paling dia sayang dan kerap gunakan untuk digayakan.

“Kasut jenis wedges jenama Heatwave berwarna hitam itu paling saya suka pakai kerana potongannya memberikan saya keselesaan dan keyakinan.

“Bagi saya, kasut itu membuatkan saya kelihatan lebih tinggi dan elegan. Mungkin juga ada sedikit unsur seksi,” ujarnya seraya tersenyum.

Nur Hidayah menambah, dia memilih kasut sebagai aksesori fesyen untuk dikumpul kerana ia merupakan barangan peribadi yang mempunyai maksud tersendiri.

“Kasut melambangkan gaya hidup si pemakai. Saya tidak pentingkan jenama tetapi saya pentingkan kasut yang selesa dan mengikut cita rasa saya,” jelasnya.

1 comment:

  1. Pereka muda melayu - Zul Mohd dgn rekaan kasut Grammys Awards - www.emmett-boutique.blogspot.com

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: