BAGI anda yang tergolong sebagai ‘ulat buku’ atau mencari bahan bacaan untuk anak-anak, jangan lepaskan peluang mengunjungi jualan gudang buku dan majalah anjuran syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Melalui anak syarikatnya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) dengan kerjasama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), program itu berlangsung dari 20 Januari lalu hingga 30 Januari ini. Jualan tersebut bertempat di pejabat UP&D, No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, 56100 Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, acara gudang itu merupakan aktiviti tahunan yang telah dianjurkan sejak empat tahun lalu. Kebiasaannya ia akan diadakan pada awal atau akhir tahun.
“Ini merupakan salah satu inisiatif UP&D untuk menawarkan harga istimewa kepada para pelanggan dan komuniti sekitar bagi mengenali produk-produk kami dengan lebih dekat.
“Di samping itu, melalui penganjuran acara jualan gudang, diharap ia mampu meningkatkan budaya membaca di kalangan masyarakat,” kata Hairi ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.
Sepanjang 10 hari acara jualan gudang itu diadakan, terdapat lebih 4,000 judul buku dalam pelbagai siri boleh didapati.
Antaranya merangkumi buku motivasi, keluarga, kewanitaan, masakan, fesyen, novel, kanak-kanak, buku-buku akademik untuk pelajar tadika, sekolah dan universiti.
Sementara itu, produk terbitan UKSB pula terdiri daripada koleksi majalah Al-Islam, Hai, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, Umph, URTV, Wanita dan Remix.
Tambah Hairi, sempena jualan gudang kali ini, pihak penganjur menawarkan diskaun sehingga 70 peratus ke atas buku-buku terpilih.
“Saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, universiti, para guru dan ibu bapa serta masyarakat di luar sana untuk meluangkan masa menghadiri jualan gudang ini,” ujarnya sambil memberitahu selain jualan secara tunai, pembayaran melalui kad kredit turut disediakan bagi pembelian RM50 ke atas.
Bagi memeriahkan acara dan sebagai aspek nilai tambah kepada jualan kali ini, pihak penganjur telah menyediakan beberapa hadiah istimewa untuk dimenangi oleh para pengunjung seperti cabutan bertuah dan hadiah misteri.
Pengunjung yang membuat pembelian RM100 ke atas pula berpeluang mendapatkan cabutan bertuah berupa buku yang bernilai RM1,000. Tidak ketinggalan, pengunjung yang membawa brosur jualan gudang akan menerima hadiah misteri daripada pihak penganjur.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan jualan gudang ini, sila hubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577 atau 03-9285 3860. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: