Monday, January 17, 2011

Rias anak ibu glamor


KEANGGUNAN Demi (kiri) kini turut diwarisi anaknya, Rumer.


BENARLAH kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ruangan Rentak Fesyen minggu ini memaparkan gelagat anak-anak selebriti antarabangsa yang sama hebat saat bergaya seperti ibu mereka.

Bukan saja bijak berpenampilan dari segi dandanan dan solekan, malah mereka tahu menata gaya busana yang sesuai dengan imej mereka.

Buktinya, lihat saja penampilan Jaden Christopher Syre, 13 dan Willow Camille Reign, 11, yang tidak pernah mengecewakan. Acap kali menghadiri majlis hiburan anak kepada pasangan selebriti Jada Koren Pinkett Smith dan Will Smith, pantas menangkap perhatian tetamu dan lensa jurukamera.

Segelintir pemerhati fesyen menyifatkan Jada dan Smith merupakan ibu bapa yang perlu dicontohi kerana sentiasa memberi peluang kepada anak-anak mereka memilih fesyen yang diminati, asalkan tidak keterlaluan.

Menurut Jada, Willow seakan-akan mengikut jejaknya yang gemar berfesyen dari hujung rambut hingga hujung kaki.

"Saya amat menitikberatkan kecantikan wajah dan penampilan diri. Tidak kiralah sama ada keluar bersantai ataupun menghadiri majlis anugerah. Kami berdua juga gemar bereksperimen dengan stail rambut terbaru. Kadangkala terpaksa mengunjungi salun secara rahsia kerana Smith akan melarang sekiranya Willow memilih potongan rambut pendek," jelas Jada yang meminati solekan berasaskan warna tembaga.

Sementara itu, Willow yang digelar Paris Hilton junior oleh bapanya Smith memberitahu, usia bukan penghalang untuknya bergaya sakan. Lagipun dia hanya menyarungkan persalinan yang tampak muda, ceria dan funky.

Smith menyatakan antara Jaden dan Willow masing-masing mempunyai cita rasa yang berbeza dalam aspek fesyen dan tata rias diri. Jelas aktor kacak itu, biarpun Jaden baru saja menjengah usia remaja tetapi minatnya dalam dunia fesyen mula bercambah sewaktu kanak-kanak lagi.

Selain koleksi kasut, Jaden yang mencipta nama menerusi filem Karate Kid bersama pelakon Jackie Chan, turut menggemari jaket yang hadir dalam pelbagai potongan, perincian dan warna.

Fesyen Madonna


KATIE obses menata rias penampilan Suri.


Tahun lalu, nama Lourdes Maria Ciccone Leon, 15, cukup popular kerana imejnya yang funky dan ceria. Kerap tampil dalam persalinan berona hitam dan rona gelap, anak perempuan kepada penyanyi legenda Madonna, bagaimanapun bijak mengamalkan konsep suai dan padan.

Setiap item fesyen yang menjadi pilihannya berjaya menyerlahkan imej remaja rock dan ranggi. Menyedari minat anaknya yang mendalam dalam dunia fesyen, Madonna menyokong dan membantu Lourdes mengusahakan bisnes pakaian dan aksesori jenama Material Girl.

Persamaan Katie dan Suri

Amat memeranjatkan apabila pelakon Katie Holmes, bagaikan merestui anak perempuannya Suri menyarungkan kasut tumit tinggi dan pakaian berjenama pada usia empat tahun. Ada pihak yang memuji dan segelintir pihak juga membantah kerana kasut tumit tinggi akan menjejaskan postur dan pembentukan badan kanak-kanak.

Namun, situasi berkenaan tidak sedikit pun menghalang Katie dan suami, Tom Cruise untuk terus merias Suri sehinggakan kebanyakan penampilan Suri dilihat tidak ubah seperti gaya ibunya terutama potongan rambut ala boneka China yang pernah digayakan Katie pada satu masa dahulu.

Bagaikan adik-beradik

Mereka berdua kelihatan seperti kakak dan adik yang sama cantik dan sama padan. Sedangkan, Rumer Glenn Willis, 23, merupakan anak sulung Demi Moore, 49, hasil perkahwinannya dengan aktor Bruce Willis.

Rebutan kempen iklan

Model kaki panjang, Kimora Lee Simmons, yang mula menceburi bidang fesyen pada usia 11 tahun, mengakui dia gemar bergaya sakan dan glamor di mana-mana saja. Atas faktor itulah kedua-dua anak perempuannya, Ming Lee, 11, dan Aoka Lee, 9, juga terpengaruh dan gemar bergaya.

Malah, mereka sering mendapat tawaran sesi fotografi untuk kempen fesyen pelbagai jenama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: