Monday, January 17, 2011

Warna baru Rhema Home


PENGHUNI Rhema Home menerima cenderamata daripada Nippon Paint dan LiteFM.


SYARIKAT pengeluar cat terkenal, Nippon Paint bergabung tenaga bersama stesen radio LiteFM untuk memberi warna dan kesegaran dengan mengecat rumah anak yatim Rhema Home di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Selain salah satu cara LiteFM menunaikan permintaan pendengarnya, dengan warna baru itu diharap ia membawakan keriangan kepada penghuni di rumah kebajikan tersebut.

Menurut Ketua Pemasaran Nippon Paint Malaysia, Jason Thong, pihaknya berganding bahu bersama krew dan para pendengar LiteFM untuk mengecat semula Rhema Home agar memberikan wajah baru dan menjadikannya syurga kediaman penghuninya.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada projek Gift of Hope LiteFM yang memberi peluang kepada pendengar untuk menunaikan permintaan seorang kanak-kanak sempena perayaan Hari Natal baru-baru ini.

“Pendengar tersebut juga berpeluang menyampaikan hadiah kepada setiap kanak-kanak itu dan pada masa yang sama meluangkan masa sebagai sukarelawan.

“Usaha ini adalah bertepatan dengan hasrat Nippon Paint untuk menceriakan hidup rakyat negara ini dengan membawakan sinar harapan dan kegembiraan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, rumah tersebut telah dicat dengan warna cerah untuk mempamerkan inspirasi dan keceriaan.

“Bersama dengan pasukan LiteFM, kami berharap untuk menyampaikan mesej kepada mereka bahawa dunia kita penuh dengan warna dan menerusi kerjasama berpasukan dan kerja keras mereka juga boleh mengubah nasib.

“Kami berasa bertuah kerana dapat menyertai acara ini khususnya menceriakan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti sepanjang hari,” ujarnya.

Kira-kira 20 sukarelawan dari Nippon Paint, krew dan pendengar LiteFM terpilih meluangkan masa mereka dengan mengecat Rhema Home.

Selain itu, Nippon Paint juga melukis gambar BlobbiesTM di dalam rumah itu dengan menggunakan aneka warna ceria dengan bantuan penghuninya.

Menurut Jason lagi, ternyata kanak-kanak itu gembira setelah melihat bagaimana orang asing bertungkus-lumus untuk mencantikkan rumah mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: