HUBUNGAN persahabatan mereka berenam tidak tercetus di atas pentas peragaan yang sarat dengan elemen glamor dan mewah. Sebaliknya, kemesraan bak kekeluargaan itu terlebih dahulu terjalin sejak mereka menuntut di peringkat Ijazah Rekaan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Ketika itu mereka hanyalah penuntut yang sedang menumpukan sepenuh perhatian pada ilmu-ilmu fesyen. Jadual harian cukup padat dan memenatkan sehingga kadangkala tidak menang tangan untuk membahagikan masa antara kuliah dan tugasan yang menimbun.
Sebaik saja berjaya menerima segulung ijazah yang diusahakan mereka terus menyusuri laluan yang telah dirancang untuk mencari sinar dalam industri fesyen.
Peragaan fesyen 5 Star
Berbekalkan keazaman dan ilmu di dada mereka tampil dengan label fesyen masing-masing. Kreativiti dan kepakaran yang dimiliki digunakan sebaik mungkin agar pelanggan tampil dengan busana menawan.
Kini mereka mampu tersenyum kerana berjaya mencipta signatur fesyen tersendiri, malah nama mereka disebut-sebut antara pelapis pereka muda berbakat besar dan sentiasa menghasilkan produk yang memukau pandangan mata.
Inilah ceritera pereka Rizman Nordin, 27, Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 27, Hatta Dolmat, 28, Zery Zamry, 27, Hazwani Osman, 28, dan Nik Erwan Nik Roseli, 25. Jika Rizman dan Wan Ruzaini sepakat mewujudkan label Rizman Ruzaini Creation tetapi yang lain lebih selesa menjalankan bisnes fesyen sendiri.
"Walaupun kami bertapak dalam industri yang sama tetapi tiada sedikitpun perasaan hasad dengki atau saling bermasam muka antara satu sama lain. Malah, kami kerap bertemu dan makan bersama sambil membincangkan masalah dan cara untuk memartabatkan nama dalam industri fesyen tempatan.
"Atas faktor keakraban ini secara tidak sengaja tercetus idea untuk mewujudkan 5 Star yang terdiri daripada lima pereka fesyen yang bersahabat baik. Namun gabungan ini tidak melibatkan kerjasama gabungan bisnes label kami, sebaliknya lebih kepada aspek sokongan moral dan membantu antara satu sama lain," jelas pereka Rizman yang turut memberitahu 5 Star mula diperkenalkan pada pertunjukan fesyen Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) tahun lepas.
Tambah anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu, pada tahun ini 5 Star bakal menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara fesyen yang melibatkan kerjasama kelima-lima label fesyen tersebut.
"Terlalu banyak aktiviti yang disenaraikan. Salah satunya kami ingin mengadakan pertunjukan fesyen khas yang memperaga koleksi busana rekaan Rizman Ruzaini Creation, Hatta, Hazwani, Nik Erwan dan Zery. Pada acara itu nanti, para hadirin akan melihat keistimewaan dan signatur rekaan fesyen kami berlima," jelas Rizman yang mereka busana Datuk Siti Nurhaliza dan Ziana Zain pada acara Anugerah Juara Lagu ke-25 baru-baru ini.
Sementara itu, pereka Hatta yang gemar menyelitkan unsur couture pada gaun meleret dan kembang menjelaskan salah satu tujuan penubuhan 5 Star, adalah untuk memastikan agar label fesyen mereka terus kekal di hati masyarakat tempatan.
Saling menyokong
Pada masa yang sama, pemilik nama sebenar Muhammad Hatta Dolmat, turut meluahkan bahawa kewujudan 5 Star bukan untuk meraih populariti murahan. Sebaliknya, ingin membuktikan kepada umum bahawa pereka Melayu juga mampu menghasilkan produk bermutu setaraf pereka antarabangsa.
"Sehubungan itu, dengan adanya 5 Star kami dapat membantu rakan-rakan kumpulan memikirkan rekaan terbaru sekiranya rekaan kami mula ditiru pereka lain.
"Situasi ini pernah berlaku kepada Hazwani apabila saya menyedari stail busana jejakanya telah diciplak. Enggan membiarkan rekaan Hazwani tampak sama seperti pereka lain, maka 5 Star telah duduk semeja dan sama-sama berbincang agar Hazwani segera mencari kelainan," luah Hatta yang dilahirkan di Kuala Sungai Baru, Melaka.
Tetap dengan pendirian
Bicara Hazwani yang sinonim mereka pakaian penyanyi Faizal Tahir, biarpun segelintir pihak bagaikan tidak merestui penyertaannya dalam 5 Star, namun Hazwani tetap dengan pendirian itu.
"Saya melihat gabungan ini melahirkan persaingan yang sihat dan sentiasa mengingatkan saya supaya terus maju seperti rakan-rakan yang lain. Lagipun 5 Star langsung tidak menjejaskan bisnes saya sebaliknya membantu mengembangkan label Hazwani Osman.
"Misalnya, Hatta tidak berkesempatan mereka kemeja lelaki maka dia akan menyarankan kepada pelanggannya untuk menempah daripada saya. Ini disebabkan antara kami berlima, selain busana wanita saya juga cenderung menghasilkan pakaian untuk golongan lelaki," ujar Hazwani yang merupakan anak keenam daripada tujuh adik-beradik.
Dalam pada itu, pereka kegemaran penyanyi Elyana, Zery Zamry yang cukup dikenali dengan rekaan dramatik dan mewah memberitahu, dia bersyukur kerana tergolong dalam grup 5 Star tersebut.
Jelas Zery, yang lahir pada 31 Disember 1984, rakan-rakan 5 Star tidak pernah kedekut menyalurkan ilmu dan sentiasa di sisi memberi sokongan padu apabila dia berhadapan dengan masalah.
Pereka yang meminati rona hitam itu turut menjelaskan, selain mengadakan perbincangan mereka juga sering pergi bercuti bersama untuk merehatkan minda sambil mencari ilham dan material terbaru.
Bagi Nik Erwan yang bersifat pendiam dan pemalu pula walaupun paling muda dalam grup 5 Star tetapi potensinya dalam bidang rekaan fesyen tidak boleh dipandang enteng.
Jika rakan-rakan yang lain lebih selesa bermain dengan elemen couture, mewah dan glamor, Nik Erwan pula mengambil pendekatan menghasilkan busana yang ringkas, sedia pakai dan anggun. Dia pada masa yang sama menyelitkan sentuhan unik dengan konsep lipatan atau kedutan (pleatin).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: