“MARI beli. Papirus tulen. Sijil pengesahan turut disertakan. Gambar Ramses, sangat cantik. Lebih murah berbanding yang dijual di kedai-kedai,” laung penjaja di kaki lima di luar Muzium Mesir di tengah-tengah Kaherah itu. Ternyata, usahanya itu berjaya menarik perhatian pelancong yang lalu-lalang.
Apabila ditanya harga seni lukis yang didakwa tulen itu, jawapan mereka berbeza-beza.
Ia dijual pada harga pound Mesir, LE5 (RM3.75) sekeping dan LE10 (RM7.50) bagi empat keping. Bagaimanapun, poster papirus bersaiz kertas A4 itu merupakan antara cenderamata yang sesuai dibawa pulang.
Bagi penulis, lawatan pertama ke Mesir yang mempunyai populasi penduduk seramai 80 juta orang itu di samping melihat kesan peninggalan firaun dan mumia merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.
Lukisan papirus sangat popular di Kaherah, Aswan, Luxor dan Alexandria iaitu antara bandar utama Mesir yang sering menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
“Kami mempunyai beberapa orang artis yang bekerja di sini. Lukisan di atas papirus ini didatangkan dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.
“Harganya ditetapkan berdasarkan kepada lukisan. Lebih rumit lukisan yang dihasilkan, lebih tinggi harganya”, kata Ahmad seorang kakitangan di sebuah kedai kecil yang terletak bertentangan dengan Muzium Mesir.
Ahmad turut menunjukkan kaedah membuat kertas menggunakan papirus. Proses penghasilan lukisan yang agak rumit memerlukan masa yang lebih panjang.
Papirus diperbuat daripada tangkai bunga papirus yang bunganya lembut dan lebat. Keratan rentas tangkai itu berbentuk segi tiga dan ia mempunyai jalur hijau tua pada kulitnya.
“Segi tiga ini melambangkan bentuk piramid, ia adalah kebanggaan kami di Mesir. Inilah warisan kami dan kami mahu orang lain juga mengetahuinya,” sambung Ahmad.
Penulis turut menyertai kumpulan kecil pelancong ke kedai papirus dan minyak wangi itu.
Kehidupan Firaun
Kami diberi taklimat dan berpeluang melihat demonstrasi yang mengambil masa hampir 90 minit.
Seni atas kertas papirus lazimnya memaparkan sejarah Mesir dan kehidupan Firaun serta isteri-isterinya dengan menggunakan warna-warna asli.
Karya seni yang dihasilkan dengan tangan itu tidak dinafikan agak mahal harganya.
“Di sini, kami menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pelancong yang menunjukkan keratan tiket ke Muzium Mesir.
“Harga lukisan yang dijual dari LE320 hingga LE2,000 (RM240 hingga RM1,056) setiap satu selepas diskaun,” tambah Ahmad.
Salah sebuah kedai menjual lukisan papirus yang sempat kami kunjungi terletak di Nazlet el Simman, berhampiran Piramid di Giza, kira-kira 25 kilometer (km) dari pusat bandar.
Lukisan papirus yang berwarna-warni disusun dengan kemas dan disinari cahaya lampu dinding serta ditutup dengan skrin plastik lutsinar menyerlahkan suasana di sekelilingnya.
“Kami menawarkan pelbagai pilihan lukisan papirus kepada pelanggan, bentuk lukisan Mesir dan yang dihiasi ayat-ayat al-Quran.
“Semua barang yang dijual tidak mempunyai harga tetap, tetapi bergantung kepada proses tawar-menawar yang dilakukan oleh pelanggan,” jelas Ibrahim, 32, yang telah enam tahun bekerja di situ.
Salah satu warisan firaun yang masih kekal di Mesir ialah pembuatan minyak wangi.
Kami sempat melihat kesan khazanah kuno itu yang tersimpan di Muzium Mesir. Di dalamnya, dipamerkan pelbagai botol dalam bentuk balang besar yang digunakan untuk membuat dan menyimpan minyak wangi keluarga diraja.
Tradisi membuat minyak wangi dikatakan bermula sejak zaman firaun ketika pemerintahan Raja Tutankhamen atau lebih dikenali sebagai Raja Tut. Baginda dikatakan memiliki pelbagai jenis minyak wangi yang disimpan rapi di dalam balang marmar besar di istananya.
Difahamkan, ketika raja berkenaan mangkat, beratus-ratus balang minyak wangi dan minyak urut turut disemadikan.
Kini terdapat minyak wangi berjenama dari Mesir seperti Lotus, Queen of Egypt, Rose, Lily of the Valley dan Secret of the Desert bagi wanita. Sementara Ramses, King TutanKhamen dan Omar Khayyam popular di kalangan kaum lelaki dijual dalam botol pelbagai saiz pada harga sekitar dari LE300 (RM225) dan ke atas.
Bandar tumpuan
Rombongan dibawa melawat ke Aswan dan Luxor, dua buah bandar raya yang sering menjadi tumpuan pelancong ke Mesir.
“Aswan terletak 1,000 km dari Kaherah. Anda perlu menaiki kereta api atau kapal terbang ke Luxor dan kemudian sertai pelayaran selama lima hari empat malam di Sungai Nil untuk ke Aswan dan kembali ke Kaherah melalui perjalanan darat atau udara,” kata Dalia Khayrat, seorang kakitangan di sebuah agensi pelancongan.
Rombongan memilih untuk menaiki kereta api yang bertolak ke Aswan pada pukul 8 malam dan perjalanan mengambil selama kira-kira 13 jam. Sejurus tiba di bandar berkenaan, kami meneruskan perjalanan ke Aswan menaiki kapal pelayaran.
Pelayaran menaiki kapal yang dikenali sebagai Orchestra bertaraf tiga bintang menyusuri Sungai Nil merupakan pilihan terbaik untuk melihat warisan sejarah dan budaya masyarakat Mesir dengan lebih dekat.
Orchestra mempunyai lebih 60 bilik dan restorannya terletak di tingkat paling bawah, menawarkan pelbagai hidangan empat kali sehari. Pengalaman berada di atas kapal merupakan detik-detik yang begitu mengujakan terutama kepada mereka yang pertama kali menikmatinya.
“Anda bernasib baik kerana menjadi penumpang Orchestra, khususnya yang baru membuat tempahan. Lazimnya tempahan kapal ini sentiasa penuh setiap minggu,” kata Ahmed, pengurus Orchestra.
Para penumpang mendaftar masuk bagi pelayaran itu pada tengah hari Jumaat di Aswan tetapi kapal itu hanya memulakan pelayaran keesokan harinya pada pukul 1.20 petang.
Lantas, peluang itu digunakan sepenuhnya oleh penumpang kapal untuk bersiar-siar di sekitar Aswan. Antara destinasi yang sempat disinggahi ialah di empangan Aswan High, tasik Nasr, candi di atas Pulau Philea dan Obelisk yang masih dalam pembinaan.
Ada yang memilih berkunjung ke bazar-bazar, pasar Nubian untuk membeli cenderamata dan kain kapas Mesir.
Ada segelintir kumpulan sempat melihat keunikan dan keindahan candi-candi di Pulau Kom Ombo dan candi Tuhan Horus di Edfu.
“Terdapat begitu banyak candi di sini untuk dilawati. Kita melawatnya untuk memahami sejarah mereka, ia amat menarik dan merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan,” kata Siti Halija, seorang guru dari Kluang, Johor.
Pemandangan Kom Ombo pada waktu malam cukup mengagumkan. Kawasan sekitarnya dipenuhi pelawat dari 10 buah kapal yang singgah untuk lawatan selama dua jam.
Sekitar pukul 6 petang cuaca mulai gelap membolehkan peminat warisan sejarah menikmati pemandangan yang bermandikan cahaya lampu.
Panorama Sungai Nil
Candi-candi berkenaan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Memasuki laman terbuka membolehkan pelancong merasai pengalaman mengembara pada zaman silam. Di laman dalam I and II pula merupakan lokasi Firaun dan permaisurinya menyampaikan barangan pemujaan kepada tuhan.
Dindingnya dihiasi dengan hilografi yang cantik, menceritakan kisah Tuhan dan Firaun.
Laluan sepanjang 200 km di sepanjang Sungai Nil cukup menarik. Pelancong bukan sahaja dapat melihat peninggalan sejarah Firaun malah kehidupan masyarakatnya dengan lebih dekat.
Di sepanjang sungai itu, pelancong boleh melihat nelayan tempatan menangkap ikan menggunakan bot dan sampan. Air dari Sungai Nil pula digunakan untuk mengairi kawasan pertanian.
Kelihatan ladang-ladang tebu yang luas yang berselang dengan padang ragut lembu, kambing dan unta. Keldai juga kelihatan banyak kerana ia merupakan salah satu pengangkutan penting penduduk sekitar.
Dengan lambaian angin sejuk ketika kapal bergerak ke destinasi berikutnya, ruang terbuka di atas dek membolehkan penumpang duduk sambil melihat matahari di gurun yang kelihatan separuh terang.
Menikmati Nil dalam cahaya matahari samar-samar, tebing-tebing menghijau di sepanjang sungai dan udara sejuk menyegarkan, sementara menunggu senja pastinya pengalaman yang begitu indah.
Melihat panorama matahari terbenam sementara duduk santai dan menghirup kopi di dek paling atas begitu indah dan belayar di Nil sudah pasti saat mempersona yang pasti kekal di sanubari buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: