Saturday, January 15, 2011

Hitam putih kota Paris


MUZIUM Paris yang juga antara muzium terbesar dan paling ramai pengunjung di dunia.


LAGU An Evening In Paris bermain-main dalam kepala penulis sepanjang dua jam perjalanan dari King Cross Station di London, United Kingdom ke Paris, Perancis. Memulakan perjalanan dengan satu perasaan yang agak libang-libu. Maklumlah berasal dari Parit, Perak, nama Paris begitu sinonim dengan nama pekan Parit.

Sebaik sahaja sampai di Paris, penulis sudah mula meneka-neka di manakah Menara Eiffel yang sangat popular di seluruh dunia itu.

Kota yang dinamakan kota paling romantik di dunia. Bagaimana ia mendapat jolokan seperti itu? Bertalu-talu soalan bermain di fikiran penulis.

Paris yang sibuk

Sepanjang perjalanan terasa terlalu takjub dengan limpahan manusia berpakaian serba cantik. Penulis sangat kagum dengan bagaimana mereka berfesyen. Berpadanan sekali tempat itu dinobatkan kota fesyen dunia.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari stesen kereta api Grand de Nord, penulis agak terkejut dengan suasana di sekelilingnya.

Keadaan di sana terlalu kelam-kabut dengan kesibukan manusia dan kenderaan yang lalu-lalang di atas jalan raya. Situasi itu mengingatkan penulis tentang negara Vietnam yang pernah dilawati satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, stesen kereta api yang dibina antara tahun 1861 dan 1864 masih kelihatan utuh mengendalikan ribuan penumpang setiap hari. Keindahan seni binanya yang klasik membuatkan penulis berasa kagum.

Tidak hairanlah, lokasi itu pernah diabadikan dalam beberapa filem Hollywood terkenal seperti The Bourne Identity, The Bourne Ultimatum, Mr Bean's Holiday, The Da Vinci Code dan sebagainya.

Penulis meneruskan perjalanan ke hotel penginapan yang terletak tidak jauh dari stesen kereta api tersebut. Penulis sangat terkejut melihat ramai perempuan bertudung di kota Paris.

Namun, keadaan persekitaran mereka agak kotor dan itu sangat memalukan kerana Islam telah mengajar kita tentang kebersihan tetapi mungkin kerana kemiskinan mereka jadi begitu.

Sepanjang perjalanan, selain daripada keindahan bangunan-bangunan pencakar langitnya, di sisi lain penulis agak kecewa dengan kota Paris.

Mungkin terlalu singkat untuk menilai atau terlalu mengharapkan sesuatu yang terlalu gah, menjadikan segala yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Setelah berehat seketika, penulis berjalan kaki untuk menaiki perkhidmatan metro ke Arc de Tomb atau lebih dikenali sebagai Gerbang Keamanan yang cantik dan mempesona.

Terletak di pusat Place Charles de Gaulle, ia merupakan salah satu tugu termasyhur di Perancis.


STESEN kereta api Grand de Nord bukan sahaja menjadi pengangkutan penghubung warga Eropah tetapi juga sering menjadi lokasi penggambaran filem.


Ia bina pada tahun 1806 sebagai penghormatan kepada mereka yang berjuang untuk Perancis, khususnya sewaktu Perang Napoleon.

Reka bentuknya yang unik diilhamkan daripada Gerbang Titus di Rom. Di bahagian dalam dan atas gerbang terdapat senarai nama semua jeneral dan peperangan yang berlaku. Di bawahnya adalah Makam Askar Tidak Dikenali dari Perang Dunia Pertama.

Kota fesyen mesra

Jelas benar seperti yang dibayangkan, itulah kota Paris yang dicari-cari selama ini.

Seterusnya, penulis menyusuri sepanjang jalan Champs-Élysees, di mana terletaknya butik-butik mewah dan eksklusif. Sebut apa saja jenama, Louis Vuitton, Gucci, Donna Karan, Christian Dior, Viktor & Rolf, Rolex, Jimmy Choo semuanya terdapat di sini.

Satu perkara menarik yang begitu kagum sepanjang berada di sini adalah sikap jurujual yang sentiasa mesra dan ramah. Ketulusan membuatkan anda tidak segan untuk mengunjungi ke butik tersebut termasuk untuk bertanyakan harga bagi barangan yang dipamerkan. Mereka melayan sepenuh hati meskipun anda sekadar hanya mahu melihat barang-barang yang dijual.

Mereka sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda dengan senyuman manis sambil membuka pintu.

Benarlah kata orang, Paris adalah syurga fesyen. Trend fesyen yang terdapat di sini sentiasa segar dan terkini.

Bagaimanapun, keindahan landskapnya di sekitarnya dicemari dengan kehadiran pendatang-pendatang asing. Menurut penduduk tempatan kebanyakan mereka berasal dari Romania.

Dipukau Eiffel

Penulis meneruskan perjalanan di sekitar bandar raya itu dan tercari-cari di manakah Menara Eiffel. Selepas puas berjalan mercu tanda yang dicari-cari itu akhirnya berada di depan mata.

Struktur ikonik setinggi 324 meter itu dinamakan bersempena nama perekanya iaitu Gustave Eiffel. Ia mula dibina pada 26 Januari 1887 untuk dijadikan sebagai pintu gerbang Pameran Antarabangsa 1889 bagi meraikan 100 tahun Revolusi Perancis.


PENULIS menjadi mangsa penyeluk saku saat bersesak-sesak di stesen metro sehingga menyebabkan segala dokumen penting, wang dan kad kredit lesap.


Tersergam berdekatan dengan Sungai Seine, struktur itu juga berfungsi sebagai menara pemerhati dan turut dikenali dengan gelaran La Tour Eiffel oleh penduduk tempatan.

Ia dianggarkan telah menerima kunjungan daripada lebih 200 juta orang sejak dibuka.

Selesai melepaskan rindu dan bergambar sepuas-puasnya di menara itu penulis bertolak pulang.

Hampir mengemis

Ketika dalam perjalanan itu dengan keadaan agak kelam-kabut, orang ramai di stesen metro ditambah lagi mata asyik melihat peta, tanpa disedari, penulis menjadi mangsa penyeluk saku.

Penulis tidak tahu ke mana hendak dituju sama ada keluar atau masuk ke dalam kereta api yang mahu bergerak.

Pengalaman hitam di negara orang! Semua wang, kad bank dan bermacam-macam lagi dokumen penting lesap. Bermacam-macam perkara bermain di fikiran, adakah penulis akan menjadi peminta sedekah?

Nasib baik penulis tidak datang bersendirian kerana ada tiga orang lagi rakan yang turut serta dalam perjalanan ke Paris dan merekalah yang banyak membantu.

Setelah selesai segala kekusutan, penulis bertolak pulang ke London. Dalam kotak fikiran, jelaslah kota Paris adalah satu kota yang amat menarik walaupun terpalit rasa duka akibat menjadi mangsa si penyeluk saku. Namun, jika difikirkan kembali di mana-mana sekali pun pasti ada ancaman seumpama itu.

Apa yang penting kita perlu berwaspada selalu tambahan lagi apabila berada di negara orang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: