KETIKA artikel ini anda baca, saya sedang membuat liputan Tokyo Auto Salon (TAS). TAS dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah pameran industri automotif dan aftermarket terbesar di dunia. Ia berbeza sama sekali dengan pameran motor Tokyo atau mana-mana pameran motor kerana industri berbilion yen Jepun itu mengkhusus kepada industri hiliran automotif.
Di sinilah berkumpulnya syarikat pembangun produk, penala (tuner), pembuat perkakasan elektronik, mekanikal dan bodykit untuk pasaran Jepun dan antarabangsa.
Produk automotif tidak terhad kepada industri berkepentingan pengeluar sahaja. Sebab itu juga selain Jepun, pameran untuk kereta salon berkembang dengan pantas di serata Asia. Sebagai contoh, Indonesia yang telah melalui pelbagai fasa pembangunan industri automotif yang berkaitan dengan modifikasi.
Djarum Autoblackthrough (ABT) adalah pameran modifikasi automotif terbesar di Indonesia. Ia ditaja sepenuhnya oleh syarikat rokok tempatan Djarum.
Di Indonesia, pemain besar industri rokok seperti Djarum, Gudang Garam dan Sampoerna bersaing hebat dalam menaja acara besar di sana. Djarum bukan sahaja menaja acara elit Autoblack through, tetapi mereka turut memonopoli kebanyakan aktiviti automotif seperti pameran motor dan sukan motor.
Berbeza dengan Tokyo yang menampilkan industri domestik, ABT adalah pentas anak-anak Indonesia mempamerkan kreativiti masing-masing.
Jelajah lima kota
Sebanyak lima pusingan diadakan iaitu di Jogjakarta, Surabaya, Bandung, Medan dan Jakarta sebagai pusingan akhir. Jakarta merupakan pentas paling sengit yang mempamerkan kerja modifikasi serius, sehebat Australia dan Amerika Syarikat.
Hampir lima tahun dalam industri, ABT mengenengahkan daya kreativiti anak tempatan menerusi acara yang dianggap paling berprestij dalam kalendar automotif Indonesia. Tidak hairanlah, pertandingan itu disertai ramai pengusaha premis tempatan, individu hartawan dan juga tuner terkenal.
Menang di ABT bermaksud pengiktirafan terhadap hasil kerja dan memungkinkan masa depan yang positif dalam perniagaan masing-masing.
Berbeza dengan Malaysia, trend modifikasi Indonesia lebih terarah pada kerja-kerja modifikasi kosmetik yang kreatif. Di Malaysia, kreativiti lebih kepada sukan motor, tetapi di Indonesia, halangan import yang ketat terhadap peralatan gantian terpakai memaksa mereka mencari alternatif lain. Justeru ABT adalah jawapan yang paling tepat.
Konsep pertandingan automotif Autoblackthrough itu hampir sama dengan tema yang diketengahkan oleh Auto Salon di Australia.
Namun, apa yang lebih membanggakan, kualiti kemajuan modifikasi di Indonesia sukar untuk dibayangkan terutama sekali jika kita melihat infrastruktur jalan rayanya yang kucar-kacir.
Kategori modifikasi
Kenderaan SUV dengan roda 22 inci bukanlah perkara yang asing. Di sebuah negara yang mana MPV lebih banyak daripada kereta penumpang, modifikasi kelihatan sesuatu yang mustahil pada dasarnya.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Too Damn Low, iaitu kenderaan yang mempunyai kerendahan maksimum, tanpa badan menyentuh bumi.
Road Scrapper, juga kenderaan yang cukup rendah tetapi penggunaan suspensi hidraulik adalah dilarang. Kereta mestilah rendah sebagaimana ia bergerak di jalan raya.
Build To Perfection pula adalah pengubahsuaian kenderaan yang teliti tetapi tidak ekstrem. Ia membayangkan sebuah kereta pemanduan jalanan dan bukan semata-mata untuk pameran dan pertandingan. Dari satu sudut lain terdapat kategori Bachelor of Babes iaitu kenderaan yang dijangka menjadi penarik perhatian golongan wanita (dipilih secara rawak oleh juri wanita yang dilantik)
Kategori lain The Monochromatic Stick on Graphics iaitu penggunaan pelekat dengan efek krom yang mana dinilai daripada kesesuaian konsep dan jumlah pelekat yang digunakan. The Best Stick-on Graphics pula adalah kenderaan dengan pelekat paling terkini dengan pemasangan yang sempurna.
Antara kategori yang mendapat sambutan hangat ialah The Coolest Rim iaitu kenderaan yang dipamerkan dengan rim terbaru atau terkini mengikut musim.
Saingannya ialah The Gigantic Rim iaitu jentera yang menggunakan rim paling besar atau lebar atau paling dalam. Ia dinilai dari saiz asal rim sesebuah kereta itu juga.
Aspek kosmetik turut mengenengahkan kategori Glow in The Dark iaitu kereta berwarna hitam dengan rim paling sesuai. Best 2nd Bodykit pula akan menyaksikan kereta dengan bodykit asli bukan tempahan.
Bodykit itu biasanya adalah peralatan aftermarket daripada pengeluar terkenal sedia ada. Markah bonus diberi kepada penggunaan bodykit paling baru dan terkini.
Untuk mereka yang menumpukan pada warna, kategori Killer Colour memberi peluang kepada kenderaan yang menggunakan warna-warna eksotik dan unik dengan kemasan kerja diambil kira. Ia turut menampilkan kualiti keraja grafik air-brush menerusi kategori Best Air-brushed Graphic.
Aspek bodykit dan kosmetik mempunyai paling banyak kategori. Antara lain ialah The Monochromatic (modifikasi satu warna di semua bahagian), Dare to be Different (modifikasi paling berani dan berbeza) dan Best Body Conversion (ubah suai paling ekstrem dan sempurna.
Bagi mendapatkan keputusan yang adil, ABT mengambil tiga orang hakim dari Amerika Syarikat yang berpengalaman dalam acara besar seperti SEMA International.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: