Monday, January 24, 2011

Dilema rumah tikus di China


YOUHONG (kanan) dan isterinya, Li yang mendiami rumah bawah tanah mereka pada kadar sewa RM92 sebulan.


LI YOUHONG, pekerja migran yang dianggap paling miskin dalam masyarakat setempat di Beijing, China, kini terpaksa tinggal di bawah tanah ekoran harga tanah dan lain-lain kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dia tidur dalam sebuah bilik kecil paling bawah di sebuah bangunan tiga tingkat yang gelap yang kini kian popular ekoran inflasi di negara tersebut.

Sejak berdekad-dekad lamanya, pemerintah China membenarkan penyewaan kediaman kos rendah untuk kawasan bawah tanah di Beijing.

Media China sering melaporkan bahawa ruangan bawah tanah itu juga dikenali sebagai rumah tikus kepada mereka yang menetap di kawasan seperti ini.

Li dan isterinya, Qi Shulai, yang berasal dari wilayah timur Anhui, telah berpindah ke rumah tersebut sejak dua bulan lalu kerana kos sewa rumah lamanya yang mencecah 2,000 yuan (RM920) sebulan yang menyebabkan mereka jatuh miskin. Jika bernasib baik, mereka mungkin memperoleh wang sebanyak itu hasil jualan kuih-muih dalam sebulan.

Dengan sewa sebanyak 200 yuan (RM92) sebulan, pasangan suami isteri itu memperoleh kediaman tanpa tingkap berkeluasan empat meter persegi dengan cat yang terkopek dinding. Mereka juga terpaksa berkongsi tandas yang gelap yang terletak kira-kira 50 meter dari bilik tersebut.


SALAH satu papan iklan rumah tikus yang mendapat permintaan tinggi di Beijing.


Suhu di dalam bilik itu juga lebih panas berbanding suhu di luar yang sejuk. Begitu juga dengan harga sewanya mampu dibayar oleh Li.

"Keadaan rumah ini tidaklah begitu selesa tetapi rumah itu sepadan dengan harganya," kata Li, 41, dengan wajah yang penuh kebimbangan dan duduk di atas katil yang hampir memenuhi separuh daripada ruangan yang ada di dalam rumah itu.

Selama beberapa tahun, pihak operasi bangunan itu menjana pendapatan sampingan mereka dengan menyewakan ruang-ruang seperti itu melalui kontrak dengan pekerja-pekerja migran dari luar Beijing yang dianggarkan mencapai lima hingga tujuh juta orang di bandar raya tersebut. Beijing kini mempunyai lebih kurang 20 juta penduduk yang bekerja untuk menyara keluarga.

Kedai dan Internet

Sesetengah bilik itu mempunyai kondisi yang baik dengan mempunyai kedai bawah tanah sendiri dan boleh melayari Internet serta mempunyai rangkaian komunikasi menggunakan telefon.

Seorang lagi penghuni kawasan itu, Qin Qiming, 50, yang berasal dari timur Shandong, berpindah dari tenggara Beijing selepas kehilangan pekerjaan sebagai kerani di salah sebuah syarikat teknologi maklumat.

Kata Qin, dia banyak menghabiskan waktu mencari pekerjaan melalui Internet menggunakan komputernya yang berada di atas meja yang murah dan bersebelahan dengan sebuah bekas yang berisi serbuk cili dan mi segera. Dia berhubung menggunakan Internet melalui kabel yang melingkar dari siling biliknya.

Bagaimanapun, Qin mungkin terpaksa berpindah pada kadar segera apabila pihak pentadbir bandar mahu menghapuskan kediaman bawah tanah. Semuanya gara-gara kebakaran yang telah membunuh lebih 58 orang di Shanghai pada November lalu. Tragedi itu sekali gus mencatatkan rekod buruk pada keselamatan kebakaran China.

Kempen itu juga dianggap bukan masa yang sesuai ekoran inflasi yang tertinggi berlaku dalam masa dua tahun ini menyuramkan pasaran pemilikan.

Kos yang meningkat memberi tekanan kepada hidup telah meningkatkan tekanan ke atas anggaran 200 juta orang penghijrah di seluruh negara.

"Antaranya termasuklah para petani yang miskin yang berhijrah dari kampung dan mereka yang duduk jauh dari rumah berpindah ke bandar demi untuk meningkatkan kos sara hidup mereka," katanya.

Polis Beijing pada minggu lalu terpaksa meleraikan piket yang diadakan kira-kira 100 tuan tanah yang mengadu kehilangan punca pendapatan.

Seorang pegawai dari Biro Pertahanan Sivil yang mahu namanya dirahsiakan memberitahu, beliau juga enggan mengesahkan sama ada bilik-bilik kecil ini benar-benar akan dimusnahkan atau tidak. Beliau hanya menyatakan, satu peraturan baru akan diumumkan pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

"Ke mana kami hendak pergi lagi? Kerajaan juga seperti sudah tidak dapat mengawal keadaan ini," kata wanita yang hanya dikenali sebagai Liu yang membayar 320 yuan (RM147) sebulan untuk sebuah bilik kecil di kawasan berkenaan.


KOS sara hidup di Beijing juga meningkat akibat inflasi.


Tambahnya, walaupun kediaman itu kurang privasi dia terpaksa duduk di situ kerana tiada pilihan.

"Kediaman kami ini sebenarnya adalah tempat simpanan beras, minyak masak dan bahan makanan lain. Ada juga pihak pengurusan yang mempunyai inisiatif sendiri dengan memasang pewangi di bilik air dan sebagainya.

"Kerajaan sepatutnya datang dan berjumpa dengan kami dan membawa polisi agar membela nasib masyarakat seperti kami," katanya.

Bagi Liu Fuzhong, dia yang menguruskan sewa di kawasan itu selama enam tahun dan setakat ini berjaya mengutip sebanyak 20,000 yuan (RM9,200) sebulan.

Walaupun banyak tentangan, pihaknya masih membuka pengiklanan kepada mereka berminat untuk menetap di kawasan itu.

"Jika perkara itu selesai, kerajaan mungkin menganggap perkara ini kembali kepada normal. Selalunya ia terjadi begitu," kata Liu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: