Thursday, November 4, 2010

Trend 96 Galli raikan Deepavali


SARI kain jarang dengan kerja manik ini dijual pada harga RM300 untuk empat meter.


KEINGINAN untuk tampil anggun pada sambutan Hari Deepavali menjadi impian setiap wanita.

Memenuhi permintaan dan cita rasa tempatan yang dipengaruhi fesyen Bollywood, Harekrishna Silk, di Jalan Dato Hamzah, Klang, Selangor hanya menjual koleksi butik dari Mumbai, India.

"Kami mengemaskini fesyen sari dan sut punjabi setiap bulan. Apabila Deepavali semakin hampir, kami lebih kerap melakukannya pada setiap minggu. Ini kerana Mumbai tidak pernah suram daripada menghasilkan fesyen baru menjelang perayaan besar ini," kata pemilik Harekrishna Silk, B. Harekrisshna.

Lelaki yang berumur 28 tahun ini mewarisi perniagaan bapanya, S. Batumalai di Banting, Selangor yang beroperasi sejak lebih 25 tahun lalu.

Baru setahun beroperasi di kawasan Little India Klang, Harekrishna yakin persaingan lebih 20 gergasi kedai tekstil tidak akan menjadi masalah apabila beliau sendiri yang memilih dan menjual pakaian.

"Semua pakaian, terutama pakaian wanita diimport dari butik-butik pereka fesyen di Mumbai.

"Kebanyakan pakaian tersebut adalah koleksi tunggal," tambah Harekrishna.

Sambil menunjukkan salah satu koleksi termahal Harekrishna Silk, sut punjabi atau Salwar Kameez yang mempunyai fesyen mirip pakaian yang dipakai Aishwarya Rai pada pelancaran audio Enthiran di Malaysia, Harekrishna memberi jaminan kedainya mungkin satu-satunya yang memiliki sut berkenaan.

Kerja tangan teliti


ARI yang dipenuhi manik ini harganya mencecah sehingga RM1,500.


"Sut ini harganya mencecah RM2,000 dan ia direka oleh pereka fesyen di India. Walaupun ia tidak 100 peratus sama tetapi konsepnya serupa. Selain itu, sut ini mempunyai kerja tangan yang teliti di samping manik yang mahal," kata Harekrishna bahawa sut pereka fesyen itu bukan satu tugas yang sukar untuk dijual.

Beliau mengakui, wanita yang gemar mengikuti perkembangan fesyen Bollywood tidak teragak-agak untuk memiliki koleksi tunggal seperti itu walaupun harganya mahal.

Selain itu, Harekrishna Silk umpama gudang yang menyimpan beratus fesyen pakaian sut Salwar Kameez.

"Kami bagaimanapun, tidak hanya fokus kepada sut Salwar Kameez dan sari mewah harganya mencecah beribu-ribu ringgit. Ini kerana sebahagian besar pelanggan mahu membeli-belah secara sederhana atau berjimat," katanya yang menawarkan pakaian kelas sederhana.

Meskipun harga yang ditawarkan berpatutan, Harekrisshna tidak berkompromi aspek kualiti.

Bercakap mengenai trend pakaian Salwar Kameez pada tahun ini, Harekrishna memberitahu, ia dinamakan fesyen 96 Galli iaitu trend menggunakan manik, berlengan panjang, material halus dan potongan Anarkali.

Anarkali merupakan fesyen pakaian tahun 80-an iaitu kerja tangan dan manik berat di bahagian dada dan kembang di bawah disesuaikan dengan seluar panjang yang ketat.

"Kami juga menjual sut fesyen akan datang (belum ada di pasaran) iaitu potongan yang sama seperti 96 Galli tetapi ia berlengan pendek," katanya merujuk kepada baju kombinasi warna merah jambu dan putih.

Sebagai seorang pereka fesyen, Harekrisshna tidak kekok bercerita tentang fesyen pakaian.


REKAAN pakaian ala Aisyawarya Rai yang menjadi tarikan pelanggan.


Selain sut Salwar Kameez, fesyen sari yang menjadi ikutan tahun ini ialah Sari Enthiran. Namun, oleh kerana sari dan sut Salwar Kameez mempunyai rekaan yang hampir seimbang, maka fesyen sari tahun pada masa kini juga banyak berdasar pada kerja manik dan batu-batu fesyen.

Harekrishna Silk menawarkan pakaian untuk lelaki dan wanita untuk semua peringkat umur. Harganya bermula serendah RM10 hingga mencecah ribuan ringgit.

Sari koleksi pereka dijual pada harga yang mencecah lebih empat digit.

Namun, tarikan jualan pada Deepavali di Harekrishna lebih tertumpu pada sut Salwar Kameez bagi wanita dan sut Kurtha untuk lelaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: