![]() |
| CIF Inspektor Juvrinh Labungan dari UNMIT MAL-FPU Briged Sarawak yang baru pulang dari bertugas di Timor Leste memeluk anak dan isterinya sebaik tiba di Horbill, Kuching, semalam. |
KUCHING 10 Nov. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menyediakan pasukan yang dapat memberi perkhidmatan kepada misi pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai komitmen negara ini kepada kesejahteraan antarabangsa terutamanya di rantau Asia.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sejak 2006, Malaysia menerusi PDRM telah menghantar 10 pasukan Misi Bersepadu PBB di Timor Leste (UNMIT) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah yang berlepas malam tadi.
Menurutnya, kumpulan ke-10 itu berlepas bagi menggantikan kumpulan kesembilan dari PGA Briged Sarawak yang menamatkan tugas mereka di Timor Leste pada hari ini selepas berkhidmat sejak 1 Mei tahun ini.
''Jadi jelas trend yang berlaku ini, perkhidmatan PDRM sentiasa dialu-alukan dan mudah diterima di Timor Leste malah kita diminta sentiasa menyediakan pasukan untuk berkhidmat di bawah panji-panji PBB ini selagi khidmat pasukan kita diperlukan.
''Daripada laporan yang saya terima, masyarakat di Timor Leste amat menyenangi bahkan menanti-nanti perkhidmatan PDRM dan insya-Allah, apa yang kita amalkan di sini (Malaysia) akan kita laksanakan di sana dan begitu juga sebaliknya apa yang dipelajari di sana, maka akan dipraktikkan di negara ini," katanya pada sidang akhbarnya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyambut ketibaan pasukan UNMIT yang dianggotai 139 anggota Pasukan Formed Police Unit (Mal-FPU) Briged Sarawak yang diketuai oleh Komander UNMIT MAL - FPU Briged PGA Sarawak, Deputi Supritendan Indraraja S. Mootatamby di Hangar Unit Udara Polis Pangkalan Kuching di sini.
Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh; Timbalan Pengarah KDN/KA, Datuk Salleh Mat Rasid; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Hamza Taib serta Timbalan Komander Briged PGA Sarawak, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Manaf Abdul Razak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: