ENTAH dari mana harus dimulakan kisah gandingan B*POP kali ini, dramatis Rozita Che Wan dan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir.Bagaimanapun, umum sudah tahu mengenai gosip membabitkan si jelita berusia 37 tahun dan jejaka yang dilabelkan sebagai ‘pucuk muda’ yang baru saja genap 22 tahun pada 5 September lalu.
Keakraban mereka sangat ketara dalam sesi fotografi yang diadakan di Butik Calvin Thoo, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Cuma seperti biasa, masing-masing tersimpul malu saat awal disatukan buat kali pertamanya dalam sesi fotografi ini. Mujur ibu tunggal dua anak ini bijak mengawal situasi dan memainkan peranan untuk memastikan sesi fotografi berjalan lancar.
Riuh rendah juga jadinya apabila bekas ratu cantik dan pramugari ini dengan selamba menghangatkan suasana dengan lawak selambanya. Lebih-lebih lagi, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah ini menuturkan dialek utaranya. Sesekali terkeluar ketawa kecil Shahir sekali gus menampakkan pendakap gigi yang dipakainya sejak hampir dua tahun.
Ironinya, sebelum bergandingan dengan Rozita, wajah Ikon Belia Negeri Perak 2010 ini agak merah padam. Barangkali dia menjadi tidak keruan kerana berada rapat di samping Rozita. Dulu, penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini pernah berdebar digandingkan dengan pelajar wanita AF8, apatah kali ini bergandingan dengan si pemilik pinggang bak kerengga dan bertubuh seksi yang menjadi idaman ramai lelaki itu.
“Tak sangka bermula sebagai peminat, kami tiba-tiba boleh menjadi kawan rapat. Dia (Rozita) memang suka buat lawak dan menceriakan hati saya,” ungkap Shahir yang sudah merakamkan single kedua ciptaan Audi Mok tetapi masih belum berjudul.
Jawapan selamat bersandarkan kepada terma ‘kawan rapat’ yang digunakan Shahir itu belum mengiyakan apa diharapkan sebenarnya. Bagaimanapun, akuinya mengenai subjek cinta, dia tidak sesekali menolak andai benar perasaan itu mula bertamu di hatinya. Adat sebagai manusia, hidup ini perlu berpasangan.
Katanya lagi, dia tidak berdaya menolak andai suatu hari nanti takdir menyatukannya dengan mana-mana wanita termasuk Rozita.
“Sebelum digosipkan dengan Rozita, saya pernah dikaitkan dengan Heliza dan rakan seperjuangan saya sendiri iaitu Adira. Jadi tidak pelik, jika timbul pelbagai versi cerita yang belum pasti hujung pangkalnya. Nama pun gosip dan ia bukan satu kesalahan. Lainlah perkara yang negatif.
“Orang di luar sana bebas bercakap dan itu hak masing-masing. Saya OK... tiada tekanan dalam hal ini. Saya yakin Rozita juga bersetuju dengan pendapat saya.
“Yang tahu hal sebenar hanya kami yang mengalaminya. Kalau bercakap soal takdir, ia sesuatu yang ditentukan sejak azali. Jodoh, ajal dan maut semua di tangan Tuhan. Kalau ketentuan begitu dan begini, sebagai hambaNya, saya hanya mampu berserah dan menerimanya.
“Kita sekadar merancang. Sebaiknya, sekarang saya lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang baru berusia lima bulan,” katanya yang turut mengimpikan peluang muncul dengan album penuh.
'Selamat tinggal glamor'
BAGI Rozita, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini mengakui dia begitu selesa berkawan dengan Shahir. Duta Avon itu menyifatkan Shahir sebagai seorang yang pemalu dan dia sering mengusiknya. Sama seperti Shahir, Rozita juga terbuka jika jodoh dengan Shahir benar-benar terjadi seperti yang diperkatakan khalayak.
“Dia jenis lelaki yang tak cakap banyak. Agak sensitif dan manja. Memang kebelakangan ini kerap juga cerita mengenai kami. Terpulanglah kepada mereka nak cakap apa. Yang pasti, hati saya belum ada untuk sesiapa. Saya sendiri belum pasti siapa jodoh sebenar. Soal jodoh urusan Tuhan,” katanya yang mengenakan rambut palsu potongan pendek untuk fotografi ini.
Apabila kenyataan Rozita berbunyi hatinya sudah tiada kepada sesiapa, sedikit sebanyak menimbulkan persoalan apa pula yang terjadi dengan hubungannya dengan Shah. Diaju apa sudah terjadi dengan hubungan istimewanya dengan jejaka berasal dari Kuala Lumpur dan bertugas di Singapura itu, Rozita hanya mampu berdiam seribu bahasa.
“Biarlah kisah itu disimpan sendiri buat sementara waktu,” katanya ringkas.
Ironinya sebelum ini, timbul telahan kononnya keputusan nekad Rozita bersara selepas empat tahun berada di dalam industri seni ada kaitan dengan agenda berkahwin dengan Shah.
“Kisah kahwin itu hanya khabar angin. Lagipun saya sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Keputusan bersara itu berbalik kepada perancangan saya untuk menceburi bidang lain. Saya sudah penat berlakon. Saya sudah tidak sanggup bangun jam 6 pagi dan pulang ke rumah pada jam 3 pagi hari berikutnya.
“Saya tidak mahu hidup dalam dunia glamor lagi. Saya pun bukan makin muda lagi. Lalu, saya harus merancang sesuatu untuk masa depan yang lebih baik.
“Malah saya tidak anggap keputusan bersara sebagai sesuatu yang merugikan. Rezeki itu ada di mana-mana. Berlakon itu menyeronokkan tetapi saya sudah tidak mampu bertoleransi dengan tekanan, faktor masa dan cerita kontroversi yang tidak berkesudahan,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama 13 episod arahan Jet Li berjudul Kem Pink.
INFO: Shahir
INFO: Rozita Che Wan
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: