KABUL, Afghanistan - Pergerakan Taliban semalam menyatakan pelan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengeluarkan askar-askar asing dari medan perang Afghanistan pada sepenuhnya pada 2014 menunjukkan tanda-tanda kegagalan pemerintah Amerika Syarikat (AS).
Menurut Taliban, satu perjanjian yang ditandatangani di Lisbon, Portugal yang dihadiri Presiden AS, Barack Obama itu menunjukkan AS gagal untuk mendapatkan bantuan tentera asing menerusi negara-negara yang menyertai NATO atau memperoleh satu komitmen untuk meneruskan operasi ketenteraan bagi tempoh jangka panjang di Afghanistan.
Dalam Sidang Kemuncak di Portugal itu kelmarin, NATO akan menyerahkan semua bentuk kawalan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan Afghanistan menjelang 2014.
"Ia merupakan berita baik untuk penduduk Afghanistan dan bagi semua orang yang menyintai kebebasan di dunia dan ia menunjukkan kegagalan pemerintah Amerika," kata satu kenyataan Taliban menerusi e-mel.
"Sejak lapan tahun lalu, pihak penceroboh tidak dapat membentuk sebarang sistem pemerintahan di Kabul dan mereka tidak akan mampu melakukannya," tambah kenyataan tersebut.
Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pihaknya akan memerangi askar-askar asing walaupun pengumuman askar itu telah dibuat.
Pada tahun 2009, Presiden AS, Barack Obama menyatakan pentadbirannya akan mula mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan mula Julai 2011.
Dalam pertempuran di sekitar Afghanistan, NATO menyatakan pasukan tentera antarabangsa dan Afghanistan berjaya membunuh 20 orang pejuang Taliban dalam satu siri operasi sepanjang hujung minggu lalu.
Tentera AS dan sekutu-sekutunya menyerang Afghanistan sebulan selepas AS diserang pengganas pada 11 September 2001 yang menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk terbunuh di New York.
Seramai 100,000 askar AS ditempatkan di negara itu diikuti negara-negara lain dengan tujuan untuk memerangi pergerakan Taliban dan Al-Qaeda yang didakwa AS menjadi tempat persembunyian anggota-anggota pengganas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: