Thursday, November 25, 2010

Tak merajuk hilangkan diri

BERBAKAT...Kat masih mahu beri keutamaan pada nyanyian.
BERBAKAT...Kat masih mahu beri keutamaan pada nyanyian.

BERALIH karier nyanyian kepada lakonan mahupun sebaliknya bukan senario baru berlaku pada kehidupan artis masa kini. Sama ada industri hiburan tempatan mahupun antarabangsa, artis yang melakukan dua kerja serentak menjadi trend dan kebiasaan.

Ini didorong faktor peluang mengasah bakat yang terbuka luas dan cabaran bergantung pada satu bidang belum tentu menjamin pendapatan lumayan.

Merasai pahit dan getir sebagai penyanyi, Siti Khatijah Hassan atau Kat, bertuah kerana bakatnya dicungkil menerusi program realiti, Mentor musim kedua.

  • Foto

    MENCUBA...Kat gembira dengan pengalaman membintangi filem pendek, Anak.

  • Foto

    KEMBALI...masih diingati peminat.

Ketika itu, kehadirannya menjadi tumpuan apatah lagi menjadi protege kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Namun, impak program realiti turut menimpa Kat apabila populariti yang dibina hanya sementara.

Selepas empat tahun program itu berlalu, namanya juga seakan tenggelam dan hilang entah ke mana.Status sebagai adik ipar penyanyi rock terkenal, Amy Search juga bukan jalan mudah untuknya.

Katanya, dia sebenarnya bukanlah merajuk mahupun menghilangkan diri seperti mana yang disangka peminat.


Sebaliknya, Kat masih aktif meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan memberi pengalaman baru, dia juga meluaskan pengalaman dalam bidang lakonan.

"Mungkin kelibat saya jarang nampak di TV membuatkan ada bertanya ke mana saya menghilang.

Sebenarnya, saya masih menyanyi cuma lebih kepada persembahan seperti majlis makan malam dan korporat.

"Walaupun perjalanan karier saya agak suram sejak Mentor 2 berakhir, saya tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk jadi penyanyi.

Saya menyanyi kerana minat sejak kecil.

Gagal ketika bersama Mentor 2 tidak bererti perjalanan karier saya juga berakhir.

"Apapun, saya masih bersyukur kerana sampai sekarang masih menerima jemputan mengadakan persembahan.

Ketika mula menyertai bidang ini, matlamat saya bukanlah mahu bergelar juara atau popular.

"Namun, saya mahu terus menyanyi kerana minat.

Jika menang dalam pertandingan nyanyian ia adalah rezeki masing-masing," katanya.

Kata Kat, dalam meneruskan kelangsungannya dalam dunia seni, dunia lakonan turut dicuba apabila dilamar pengarah Martias Mohd Ali untuk membintangi filem pendek, Anak yang selesai menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya, baru-baru ini.

Kata Kat, dia gembira dan tidak menyangka mendapat peluang keemasan ini yang dianggap satu kepercayaan pada bakat lakonannya selepas muncul menerusi drama Sayang Cendana di TV3 pada Mei lalu "Mulanya, saya juga tertanya sama ada saya boleh berlakon dalam filem pendek ini.

Memberi cabaran, lakonan saya memerlukan emosi tinggi walaupun tanpa dialog.

"Bayangkan pada hari pertama penggambaran, saya diminta menggambarkan emosi sedih hingga menitiskan air mata.

Menariknya, Martias berkata tidak perlu berlatih banyak kali dan terus berlakon.

"Selepas tiga hari penggambaran, saya berasakan berlakon bukan kerja mudah.

Lakonan memberi pengalaman baru pada diri saya.

"Namun, nyanyian masih menjadi keutamaan dan lakonan sekadar hobi.

Saya berminat terus berlakon dan jika ada tawaran lain, saya ingin mencuba," katanya.

Selepas berlakon filem pendek, Kat menyatakan dia mula rindu dengan suasana di set penggambaran.

Seperti Anak, dia juga terkenang arwah jurusolek Arman Simin yang meninggal dunia dua hari selepas penggambaran selesai akibat serangan jantung.

Katanya, hubungan yang baru terjalin itu cukup mesra apatah lagi dia mendapat sentuhan solekan arwah sepanjang penggambaran filem pendek itu.

"Saya seperti kaku bila mendengar berita sedih mengenainya.

Ketika penggambaran, dia banyak memuji saya dan meyakinkan saya boleh berlakon.

"Dia yang membahasakan diri sebagai mummy ada mengadu sakit dada ketika penggambaran dan saya tidak sangka filem ini adalah pertemuan terakhir kami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Mengenai nyanyian, kata Kat, undangan memenuhi persembahan pentas tetap diterima dan peminat masih ingat dengan kemunculannya ketika bersama Mentor 2 lalu.

Dalam mencuri semula perhatian peminat, Kat kembali dengan single kedua, Hilang, ciptaan Edrie Hashim.

Lagu ini sudah dirakam termasuk klip video yang turut memaparkan kisah perjalanan karier seninya selama ini.

"Selepas hampir empat tahun single pertama, Chiki dihasilkan selepas Mentor 2 berakhir, baru kini saya kembali dengan single kedua.

Saya menganggap apa yang berlaku untuk menunggu single kedua adalah masalah peribadi.

"Walaupun menunggu masa lama, saya tetap bersyukur dan lega dengan hasil lagu baru kali ini.

Lagu ini membawa kelainan dari aspek rentak yang lebih sentimental dan balada berbanding Chiki membawa pop dan berentak rancak.

"Respons awal yang saya terima, ramai yang suka dengan kelainan saya dalam lagu ini.

Ada antara mereka juga tidak percaya saya menyanyikan lagu rentak sebegini dan ada berpandangan suara saya bertambah matang.

"Lagu ini juga satu kejutan pada karya Edrie yang mendapat ilham spontan selepas saya meminta dia menghasilkan lagu baru untuk saya.

"Adanya lagu ini, saya berharap diri saya tidak lagi menghilang daripada peminat.

Buat masa ini, saya mencari lagu baru lain dan mini album ini dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini," katanya.




>PROFIL:
NAMA: Siti Khatijah Hassan
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1987
USIA: 23 tahun
ASAL: Pulau Pinang
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon.
STATUS: Bujang
FILEM: Anak
DRAMA: Sayang Cendana
SINGLE: Chiki dan Hilang
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Mentor 2

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: