Sunday, November 21, 2010

Suu Kyi tak mahu AS hilang pertimbangan


PEMIMPIN prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi (kiri) memberikan cenderamata ketika melawat barisan ahli politik veteran di Yangon semalam.


WASHINGTON - Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi menyambut baik hubungan baru Amerika Syarikat (AS) dengan junta tentera Myanmar tetapi memberi amaran supaya Washington tidak bersikap ibarat semuanya nampak cantik di mata dalam hubungannya kerana Myanmar masih ketinggalan dari aspek hak asasi manusia dan kemajuan ekonomi.

"Ramai orang menyatakan AS kini meminggirkan kami selepas ia memutuskan untuk menjalin hubungan dengan junta tentera," kata Suu Kyi kepada wartawan saluran berita CNN selepas dibebaskan dari tahanan rumah.

"Saya tidak fikir ia begitu. Saya berpendapat hubungan kedua-dua belah pihak adalah sesuatu yang baik," tambahnya.

Komen Suu Kyi, 65, itu disiarkan oleh televisyen AS berkenaan kelmarin.

Namun, pada masa yang sama, Suu Kyi memberi amaran: "Saya tidak mahu AS bersikap semuanya nampak cantik di mata dalam hubungannya dengan junta tentera. Saya mahu mereka (AS) praktikal mengenainya".

Pentadbiran Presiden Barack Obama, memilih untuk berlembut dan memulakan dialog dengan Myanmar pada tahun lalu setelah memutuskan bahawa dasar memulaukan junta tentera yang diamalkan AS selama ini gagal membuahkan hasil.

Dalam wawancara sama, Suu Kyi juga menegaskan bahawa beliau akan terus memperjuangkan demokrasi di Myanmar walaupun berdepan risiko ditahan semula oleh junta tentera.

"Saya tidak bimbang mengenainya (ditangkap semula oleh junta tentera)," kata Suu kyi.

Suu Kyi yang pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan, dibebaskan daripada tahanan rumah oleh junta tentera di Yangon pada Sabtu lepas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: