Monday, November 15, 2010

Suu Kyi buat ucapan pertama


AUNG SAN SUU KYI berucap di depan penyokongnya.


YANGON - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menemui para penyokongnya semalam dan meminta mereka bersatu selepas dia dibebaskan dari tahanan rumah oleh junta tentera kelmarin.

"Tolong kekalkan tenaga anda untuk kami. Jika kita bekerjasama, kita akan mencapai matlamat," katanya kepada ribuan penyokongnya di luar ibu pejabat partinya.

Beliau berkata, pengasingannya daripada orang ramai dengan ditahan di rumah tidak melemahkan pendiriannya bagi menentang pemerintahan tentera.

"Saya mahu bekerja dengan semua pasukan demokrasi," katanya yang berumur 65 tahun dan pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

Beliau dipenjarakan oleh junta tentera selama 15 daripada 21 tahun kehidupannya di negara ini.

"Saya percaya hak asasi manusia dan saya percaya kedaulatan undang-undang," tambahnya.

Anak perempuan wira kemerdekaan Myanmar, mendiang Jeneral Aung San itu menjadi harapan besar dalam kalangan penyokongnya untuk membawa masa depan lebih baik di negara yang miskin itu. Negara itu sudah lebih separuh abad berada dalam pemerintahan junta tentera.

Menurut Suu Kyi, beliau mahu mendengar suara rakyat sebelum memutuskan tindakan yang selanjutnya selepas satu keputusan pilihan raya seminggu lalu menunjukkan proksi junta tentera menang besar.

Pejuang itu turut memberitahu pemberita dalam sidang akhbar bahawa beliau berminat untuk mengadakan dialog dan perdamaian kebangsaan.

Beliau dibebaskan kelmarin selepas tujuh tahun menjalani tahanan di rumah atas kesalahanmelanggar undang-undang keselamatan negara kerana membenarkan seorang penceroboh warga Amerika Syarikat (AS) tinggal di rumahnya selama dua malam.

Perjuangan Suu Kyi untuk negaranya telah menyebabkan beliau mengalami banyak kehilangan antaranya suaminya yang merupakan warga Britain, Michael Aris meninggal dunia pada 1999.

Suaminya yang merupakan seorang ahli akademik dan menghidap kanser tidak dibenarkan untuk memperoleh visa oleh junta tentera bagi melihat isterinya.

Suu Kyi juga tidak pernah melihat dua anak lelakinya selama sedekad dan tidak pernah menemui cucunya.

Menurut Kedutaan Britain, beliau dalam keadaan emosi semasa berbual dengan anak lelaki bongsunya, Kim Aris selepas dibebaskan.

Ketika mengulas mengenai pembebasan Suu Kyi, Presiden AS, Barack Obama memuji pembebsan wanita itu.

"Sama ada Aung San Suu Kyi tinggal di dalam penjara di rumahnya atau dipenjara di negaranya, fakta tidak berubah bahawa beliau dan penentang politik yang diwakilinya telah secara sistematiknya disenyapkan, dikurung dan dilucutkan peluang untuk terlibat dalam proses politik," kata Obama dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: