Sunday, November 14, 2010

Suplemen disangka pil kurus


AIDA AZLINA mendapati kebanyakan pengguna suplemen berusia 20 tahun ke atas.


SUPLEMEN diet secara amnya merupakan makanan tambahan untuk tubuh. Ia mengandungi vitamin, garam mineral, serat, asid amino dan asid lemak.

Namun, pakar farmasi dari Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Aida Azlina Ali, mendakwa bukan semua orang perlu mengambilnya.

“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan makanan tambahan itu.

“Kecuali mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, nutrien yang ada dalam suplemen membantu menyerap ubat dengan lebih baik,” katanya.

Pemakanan

Suplemen juga baik untuk ibu mengandung kerana mereka memerlukan nutrien yang lebih disebabkan mereka perlu berkongsi makanan dengan janin.

“Suplemen kaya dengan vitamin dan mineral yang memberi makanan tambahan kepada ibu dan bayi,” terang beliau.

Kata Aida, vitamin dan mineral turut membantu pembentukan tiub neutral semasa tempoh mengandung.

Bagaimanapun, vitamin A harus diambil secara minimum bagi membantu mencegah teratologi atau berlaku kecacatan kekal pada fetus.

Bagi kanak-kanak dan ibu mengandung atau menyusukan bayi, mereka disarankan supaya tidak mengambil sebarang suplemen herba.

“Ibu bapa boleh memberikan multivitamin dalam bentuk cecair atau pil kepada anak yang tiada selera makan.

“Umumnya, orang yang sihat tidak perlu mengambil suplemen kerana amalan pemakanan dan senaman secara berkala sudah mencukupi,” katanya.

Aida menjelaskan, kebanyakan pengguna suplemen terdiri daripada golongan muda yang berusia 20 hingga 30 tahun ke atas.

“Hampir 80 peratus daripada mereka mengambilnya untuk kecantikan serta menguruskan badan.

“Namun, mereka perlu mengambilnya mengikut nasihat doktor kerana suplemen yang diambil secara berlebihan akan bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh.

Promosi

“Ini terutama vitamin yang larut lemak iaitu A,D,E dan K,” kata Aida.

Vitamin yang berlebihan juga boleh menyebabkan masalah perubatan seperti kerosakan hati.

“Sebagai contoh, vitamin A adalah baik untuk mata tetapi jika diambil dalam jumlah yang banyak mungkin merosakkan penglihatan.

“Begitu juga vitamin D yang dapat menguatkan tulang, ia akan mengakibatkan tulang rapuh jika diambil berlebihan.

“Vitamin E yang digunakan untuk membaiki sel-sel kulit pula boleh menjadi toksik andai pengambilannya tidak dikawal,” katanya.

Pada dasarnya, suplemen hanyalah makanan tambahan dan ia bukanlah sejenis ubat yang mampu menyembuhkan penyakit.

Malangnya, masih ada pengeluar produk suplemen yang mendakwa jenama mereka berupaya memulihkan seseorang.


DR. ZHARI ISMAIL


“Walaupun mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, promosi produk berkenaan janganlah keterlaluan hingga ia anggap sebagai ubat pula.

“Akibatnya ada pesakit diabetes, buah pinggang dan jantung yang tidak mengambil ubat yang disarankan doktor kerana terpengaruh dengan promosi melampau tadi,” katanya.

Aida memberitahu, suplemen hanya membantu mempercepatkan proses penyembuhan penyakit tetapi bukan menyembuhkannya secara total.

Pakar farmasi dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zhari Ismail pula memberitahu, pengambilan suplemen perlu untuk kesihatan seseorang.

“Faktor pencemaran alam, toksik dalam makanan dan kesibukan bekerja hingga tiada masa untuk bersenam memerlukan kita mengambil suplemen.

“Terdapat pelbagai produk suplemen di pasaran. Namun, rujuk pada pakar dahulu untuk mengetahui suplemen yang sesuai untuk anda,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: