
KEWUJUDAN sukan luncur air di Malaysia bermula sejak tahun 1970-an. Namun, disebabkan kurang pendedahan, perkembangan sukan itu ibarat ombak di lautan yang ada pasang dan surutnya.
Ditambah pula dengan kos perbelanjaan yang agak tinggi berbanding sukan yang lain, maka masyarakat menganggap luncur air sebagai sukan berkelas tinggi atau untuk golongan atasan.
Perkara ini diakui Setiausaha Kehormat Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Malaysia (MWSF), Phillipa Clare Yoong dalam satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini,
“Dahulu, sukan luncur air tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ia boleh dianggap sukan terpencil yang hanya disertai segelintir pihak.
“Bagaimanapun, sekitar tahun 1990-an, MWSF ada menganjurkan beberapa acara di samping banyak menyokong sesi latihan di Singapura.
“Malah, kami juga mempunyai ramai jurulatih bertaraf antarabangsa dalam usaha melahirkan lebih ramai peluncur berbakat,” kata Phillipa, 32, sambil menambah kegemilangan sukan ini kembali bertapak di Malaysia dua tahun lalu apabila MWSF membawa masuk acara berprestij, Piala Dunia Luncur Air & Wakeboard anjuran Persekutuan Luncur Air Antarabangsa (IWSF).
Kejohanan yang berlangsung pada 7 hingga 9 November 2008 di Putrajaya itu, disertai seramai 55 peluncur air dari 18 buah negara termasuk Australia, Argentina, Sepanyol, Itali dan Perancis dalam tiga acara iaitu Slalom, Tricks dan Jump.
Putrajaya merupakan lokasi kelima pada penganjuran tahun berkenaan selepas Dubna di Rusia, Hacienda Bay Beach, Mesir; Singapura dan Chandigargh, India. Lokasi terakhir adalah di Doha, Qatar.

Memetik kata-kata Presiden IWSF, Kuno Ritschard, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi kejohanan berprestij itu adalah kerana ia mempunyai kompleks air lengkap bertaraf dunia, pusat maritim dan hotel lima bintang yang memenuhi piawaian IWSF.
Peluncur berbakat
Phillipa yang kini bergelar Ketua Jurulatih MWWF memberitahu, sehingga kini pihaknya telah melatih kira-kira 50 peluncur berbakat yang berpotensi untuk diketengahkan.
“Terus-terang saya katakan, prestasi yang ditunjukkan pelatih sukan luncur air ini mampu membawa mereka bergelar juara dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Jika mereka gigih berusaha memperbaiki diri, tidak mustahil gelaran itu menjadi milik mereka,” tegas Phillipa, 32, masih yang merupakan pemegang rekod acara Slalom Wanita, Tricks dan Jump di peringkat Asia Tenggara.
Sementara itu, tiga pelatih cilik sukan luncur air yang ditemui berkata, mereka mempunyai azam untuk merangkul gelaran bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malahan di peringkat antarabangsa.
Bagi Hadi Irfan Mohamed Rahaizah, 10, minatnya dalam sukan itu mula berputik apabila menyaksikan Piala Dunia Luncur Air pada tahun 2008.
“Saya rasa sangat teruja apabila melihat setiap peserta menunjukkan kemahiran masing-masing dalam acara yang disertai.

“Justeru, perkara itu saya suarakan pada ayah yang kemudian terus memberi sokongan untuk saya menyertainya,” tutur pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) itu.
Tambah Hadi, biasanya dia datang berlatih selepas habis sekolah pada waktu petang dan waktu pagi pada hujung minggu.
Menjadikan peluncur Amerika Syarikat, Freddy Kruger sebagai idolanya, anak bongsu daripada empat adik beradik itu bertekad bergelar atlet luncur air negara yang berjaya.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya menyasarkan untuk bergelar peluncur bertaraf dunia yang mampu digeruni pihak lawan,” kata Hadi yang suka berenang dan melayari Internet pada waktu lapang.
Rakan seangkatannya, Hanis Azemi, 12, pula berkongsi pengalaman mengenai keseronokan menceburi sukan tersebut.
Ungkap Hanis, sebagai peluncur mereka perlu menguasai kemahiran berenang dengan baik selain membina kekuatan fizikal terutamanya tangan dan kaki.
“Saya sudah mula berenang pada usia dua tahun dan ternyata ia memberi kelebihan untuk saya bergelar peluncur air yang hebat.
“Oleh itu, saya langsung tidak rasa takut dengan air atau jika lemas sekali pun, saya percaya ia dapat diatasi dengan keyakinan saya untuk menyelamatkan diri,” terang pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (1) ini.
Bakat menyerlah
Selain Hadi dan Hanis, peluncur paling muda, Aaliyah Yoong Hanifah, 7, boleh dianggap sebagai salah seorang pelatih yang paling menyerlah dalam pasukan Malaysia.
Memulakan aktiviti sukan luncur pada usia lima tahun, Aaliyah bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang cintakan sukan tersebut.
Bergelar adik tiri kepada Phillipa dan abangnya, Alex, iaitu bekas pelumba kereta Formula Satu (F1) negara dan kini memegang jawatan Naib Presiden MWWF, Aaliyah membuktikan darah semangat kesukanan yang mengalir di badannya begitu bermakna.

“Papa dan mama mula mengajar saya ‘mengenal’ air sewaktu saya berusia enam bulan. Kini, pada usia tujuh tahun, air dan aktiviti berenang sudah terlalu sebati dalam diri.
“Apatah lagi selepas menjadi peluncur air negara, saya seronok menguasai acara dalam sukan ini. Saya harap saya boleh mengikuti jejak langkah peluncur dari China, Emin yang merupakan pemegang rekod dunia dalam acara Tricks,” kata Aaliyah yang bertubuh agak kecil berbanding rakan seusia.
Dalam pada itu, Jurulatih Pembangunan MWWF, Larry Gisler dari Chile berkata, sukan luncur air tergolong dalam sukan ekstrem yang mempunyai cabaran tersendiri.
“Walaupun sukan ini agak mahal dari aspek perbelanjaan, tetapi ia menyediakan manfaat yang besar berbanding sukan yang lain.
“Contoh terbaik adalah peluncur air diajar supaya lebih yakin apabila berada di kawasan air terbuka seperti lautan, tasik atau sungai. Mereka tidak perlukan gogal kerana mampu berenang tanpanya,” jelas Gisler yang sudah menyediakan rancangan latihan selama sepuluh tahun bagi semua peluncur muda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: