Thursday, November 4, 2010

SM Mohsin pegang dua jawatan penting


Mohsin Kassim (paling hadapan) bergambar bersama anggota Unit Peronda Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MEMEGANG dua jawatan dalam satu masa adalah satu tugas dan amanah yang besar untuk dipikul oleh setiap individu. Apatah lagi jika tanggungjawab diberikan itu melibatkan perkara-perkara keselamatan dan ketenteraman awam serta membabitkan ramai pihak.

Namun, jika sesuatu amanah yang diberikan itu dipikul dengan penuh dedikasi, tolak ansur dan kerjasama, ia pasti tidak memeningkan pihak atasan.

Itulah berlaku terhadap Sarjan Mejar Mohsin Kassim yang memegang dua jawatan penting iaitu sebagai Ketua Polis Balai Danau Kota dan Ketua Unit Peronda Daerah Sentul.

Bagaimanapun, berkat kesabaran, pengalaman dan tunjuk ajar, Mohsin mampu menjadi 'nakhoda' yang baik dalam menjalankan tanggungjawab diberikan.

"Menjadi seorang ketua dalam dua tugas adalah sesuatu yang sukar pada mulanya. Namun, saya anggap ia sebahagian daripada pengalaman dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini," katanya memulakan bicara.

Tambah Mohsin, tiada apa pengalaman yang banyak untuk dibincangkan sekali gus dikongsikan bersama sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM.

Namun, selaku ketua dalam unit peronda daerah, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan semua anggota bawahannya bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas.

Jelasnya, anggota polis sering dipandang serong bila masyarakat mula berbicara tentang penerimaan rasuah.

Menjelaskan isu itu, sebagai ketua beliau sentiasa mengingatkan anggota yang melakukan rondaan agar tidak mengambil rasuah.

"Sebagai peronda polis, mereka banyak berdepan dengan risiko si pemberi rasuah. Jika mereka hanyut dengan wang sudah tentu akan menggadaikan imej serta integriti PDRM.

"Setiap kali taklimat sebelum memulakan tugas, saya memberikan panduan dan mengingatkan kesemua mereka akan tanggungjawab yang diberikan.

"Alhamdulillah seramai 129 anggota peronda daerah Sentul ini sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam penugasan masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Danau Kota di sini.

Anak kelahiran Muar, Johor itu turut memberitahu, sebelum ini beliau merupakan jurulatih undang-undang (Akademik) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Ayer Hitam, Melaka selama 13 tahun.

Jelasnya, selepas tamat latihan beliau terus diserap sebagai jurulatih di Pulapol berkenaan dengan fokus kursus undang-undang dan polis bantuan.

Katanya, tugas sebagai jurulatih adalah mengajar asas kepada anggota rekrut baru yang menyertai PDRM.

"Ia merupakan satu yang sukar dan sentiasa berdepan dengan emosi dan ketahanan mental pelatih-pelatih.

"Ada yang mahu pulang dan tidak sanggup dengan latihan yang diberikan. Di sini lah tugas jurulatih untuk memberikan kaunseling dan semangat kepada mereka agar terus bertahan bagi mencapai cita-cita sebagai anggota polis," jelasnya.

Setelah berhempas pulas selama 13 tahun menjadi jurulatih sehingga dinaikkan pangkat kepada Sarjan Mejar (SM), beliau kemudian ditukarkan ke Putrajaya pada 2000 sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Trafik.

Bukan mahu mendabik dada, namun jelasnya, tugas yang diberikan dapat diimplementasikan dengan jayanya.

Katanya, asas dalam menjalankan siasatan dan pengajaran selama tempoh sebagai jurulatih membantu beliau dalam jawatan yang disandang.

"Kita mempunyai asas cuma belum praktikal lagi pada tempat kejadian. Oleh itu, asas yang selama ini ada dalam kepala dapat saya praktik ketika mengendalikan kes kemalangan pertama.

"Ketika mendapat laporan mengenai kemalangan itu, saya diarahkan oleh pegawai penyiasat (IO) untuk pergi ke tempat kejadian.

"Bagi tujuan siasatan, setiap IO akan membuat lakaran kejadian itu berlaku. Walaupun saya hanya seorang penolong IO tetapi saya berjaya melakar kejadian dengan baik sekali," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: