Wednesday, November 3, 2010

Semua Universiti Terbaik Dunia Ada Jabatan Falsafah - Prof. Murad

A. Murad Merican.

PENSYARAH Kanan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican pernah menyentuh secara terperinci menerusi tulisannya dalam sebuah akhbar 4 Oktober lalu tentang bagaimana universiti-universiti terkemuka dunia membentuk portfolio sehingga tersenarai dalam ranking terbaik dunia.

Tulisan tersebut menyebut jika kita masih berhasrat menjadi universiti global, kita perlu belajar satu perkara daripada universiti terbaik dunia iaitu mempunyai Jabatan Falsafah yang mantap dan mampu melahirkan lebih ramai cendekiawan.

Beliau turut memberi pandangan universiti kita hari ini mengabaikan bidang tersebut sedangkan bidang tersebutlah yang menjadi tunjang kepada cabang-cabang ilmu lain.

Pandangan tersebut juga ada kaitannya dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Umno baru-baru ini yang menetapkan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2014 dalam usaha melahirkan graduan berkualiti sekali gus mampu berfikir setaraf dengan tamadun dunia.

Ikuti temuramah khas dengan beliau berhubung perkara ini.

Mingguan mStar: Pada pendapat Prof, mengapa kebanyakan universiti kita meninggalkan bidang-bidang seperti sejarah, sains sosial, ilmu kemanusiaan dan falsafah?

Ini ada kaitan dengan dasar pembangunan negara sejak 40 tahun lalu. Tapi kita tak boleh menyalahkannya. Negara perlu melonjak dan memerlukan asas kuat dalam ekonomi, sains dan teknologi. Dana dan pembiayaan untuk sains sosial dan ilmu kemanusiaan dikurangkan. Ini membabitkan kelengkapan, ruang dan tenaga pengajar. Apabila pengambilan tenaga pengajar dalam sains dan teknologi ditambah, pengambilan dan latihan tenaga pengajar dalam sains sosial dan kemanusiaan kurang. Ini soal keutamaan dan dasar negara. Pelajar dan ibu bapa pula anggap bidang ini tak berguna dan sukar dapat kerja. Masyarakat fikir tak guna belajar sejarah, sosiologi, falsafah dan kesusasteraan sebab anggap bidang itu tak menyumbang kepada pembangunan. Ini sindrom pemikiran tertawan dan perlu dibetulkan.

Bagaimana seseorang yang berlatar belakangkan sejarah dapat membantu negara?

Mereka dapat membantu dari segi keupayaan melihat secara total dan secara precise. Negara perlukan graduan dan masyarakat yang dapat berfikir secara kritis, kreatif dan seimbang. Kita perlukan mereka yang dapat menyoal dengan baik dan betul, bukan hanya yang pintar. Masyarakat yang mempunyai daya fikir jangka panjang (long-term thinking) dapat menggunakan konsep ruang dan masa untuk diterjemahkan kepada kehidupan seharian.

Apa yang boleh dilakukan universiti untuk melahirkan graduan seperti ini?Sekurang-kurangnya, universiti awam dan swasta harus mempunyai jabatan/fakulti sains sosial dan ilmu kemanusiaan yang kukuh tak kira apa penekanan mereka. Ini tak berlaku sekarang. Bidang sejarah, falsafah dan sosiologi hendaklah ditawarkan sebagai program major atau sebagai gugusan subjek. Kita mesti seimbang dan fikir untuk tawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang falsafah dan banyakkan penawaran ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah. Ini boleh dilakukan jika universiti, naib canselor, profesor, ibu bapa, pelajar dan majikan faham kegunaan sejarah dan falsafah di alam pekerjaan.

Apakah prasarana di universiti kita tidak membuka laluan untuk kita tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia?

Prasarana dari segi bangunan dan kelengkapan memang tak cukup. Ruang fizikal dan abstrak tak diambil kira. Kita ada makmal, bilik kuliah, bilik teater atau perisian komputer. Tapi persekitaran prasarana seperti bangunan - lihat bangunan dan seni bina kebanyakan universiti 10 terbaik, ruangnya berbeza. Bukan kita menyamai mereka dari segi seni bina kerana budaya dan iklim berbeza. Tapi, kita perlu fikir, seni bina dan alam bina mempengaruhi bagaimana kita melihat dunia. Cuba lihat koleksi perpustakaan di universiti Barat.Di manakah perpustakaan universiti kita? Umumnya, kecuali beberapa, koleksi dan perkhidmatan perpustakaan perlu diperkasa.

Prof pernah berkata sindrom pemikiran tertawan telah menguasai masyarakat universiti kita. Apa maksud sindrom pemikiran tertawan itu?

Pemikiran tertawan ialah konsep yang diutarakan Prof. Syed Hussein Alatas (1974). Minda kita adalah mangsa orientalisme dan pandangan alam eurosentrik. Ini dilihat sebagai sejenis pemikiran yang imitatif dan tidak kritikal, yang ditentukan sumber luaran iaitu Eropah dan Barat. Dalam ilmu sains sosial dan kemanusiaan, kesarjanaan di Malaysia didominasi sains sosial yang diimport dari tamadun Eropah. Kita mengkaji dan menggunakan tanpa kritik dan kreativiti. Kita tak berupaya menimbulkan masalah dan mencetuskan kaedah asli. Kita kaji masyarakat kita melalui lensa budaya lain. Ini masalah besar.

Memandangkan universiti terbaik dunia merupakan universiti berusia beratus-ratus tahun lamanya, adakah kita memerlukan jangkamasa panjang untuk mengukuhkan universiti kita berdasarkan portfolio tersebut bagi mengikut jejak langkah serupa?

Benar, universiti-universiti Barat dan yang tersenarai sebagai 100 universiti utama itu adalah universiti berusia beratus-ratus tahun. Jangka masa tak jadi masalah. Kita perlu ikut jejak mereka jika kita inginkan suasana atau iklim pemikiran bebas dan merentasi sempadan sempit. Kita tak semestinya ikut jangkamasa yang berlaku di universiti barat. Ini soal masyarakat dan tamadun yang akan mengukuhkan nilai dan cara fikiran kita.

Korpus ilmu yang dijana oleh universiti barat tiada tandingannya. Apakah kita masih berhasrat bersaing dalam penarafan Times Higher Education? Apakah alternatif yang disyorkan kerana ini telah menjadi amalan dunia. Jika kita tidak ambil bahagian pula, kita langsung tidak akan disenaraikan dan kita tidak akan tahu kedudukan kita.

Tak salah kita ambil bahagian. Tapi kenapa susah payah mematuhi kriteria yang ditetapkan sedangkan kriteria itu tak objektif dan hanya cenderung kepada nilai dan tamadun yang asing bagi kita? Yang penting kita sedar kedudukan kita antara universiti-universiti dunia. Kuasa besar sains sosial ialah Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat. Ini dapat dilihat dengan penjanaan ilmu dan sains melalui kertas kerja, jurnal, laporan dan buku. Jumlahnya terlalu banyak untuk kita tandingi. Kita mesti ubah sikap kita terhadap ilmu dan membentuk iklim sesuai bagi mencetuskan pemikiran dan penyelidikan. Kita mesti cipta ilmu, tangani idea-idea besar yang mempengaruhi dunia. Pembiayaan penyelidikan mesti ditambah, budaya penerbitan mesti ditransformasi. Ranking bukan segala-galanya dan bukan pengukuran mutlak kecemerlangan.

Universiti kita terlalu taksub dengan ilmu sains/teknologi dan pensyarah taksub mengejar KPI untuk kenaikan gaji dan pangkat. Benarkah begitu?

Ya, terutama universiti penyelidikan. Pensyarah, dalam memenuhi kehendak KPI dan kenaikan pangkat menumpukan kepada bentuk, menyalurkan ilmu mengikut buku teks, power point diutamakan serta memiliki sikap ‘asalkan dapat grant dan terbit dalam jurnal’ telah memadai. Mereka tak kisah apa yang dikaji. Kerja akademik adalah kerja kreativiti. Apakah kita boleh menjamin KPI pemikiran dan kreativiti?

Bagaimana sistem KPI dikatakan membunuh pemikiran dan kreativiti masyarakat universiti? Jika kita tak tetapkan KPI bagaimana mahu ukur keupayaan?Masalahnya bagaimana kita menanggapi KPI. Universiti berbeza dengan industri. Dalam industri, kita boleh tetapkan target. Di universiti penetapan target akan mengongkong kreativiti dan kesarjanaan.

Berbalik kepada tugas dan tanggungjawab pensyarah, ahli akademik dan sarjana, mereka mesti menulis. Apakah KPI ke atas aktiviti menentukan ‘kualiti’ hasil? KPI hanya melihat nombor, tak menilai kandungan dan pemikiran dalam kandungan. KPI mahu pensyarah menerbit jurnal berindeks dalam ISI atau Scopus dengan andaian menerbitkan kertas dalam jurnal maka ‘kualiti’ pun terjamin. Mungkin ini boleh diguna dalam ilmu sains dan teknologi tapi bukan dalam bidang sebaliknya yang perlukan pemikiran luas, analitikal, bersifat sarat nilai dan ideologikal. Jika KPI dikenakan, banyak pemikiran-pemikiran yang baik tak dapat diterbitkan kerana ia tak selari dengan jurnal-jurnal yang diindekskan di ISI atau Scopus.

Apa kayu ukur terbaik yang patut digunakan untuk mengukur kualiti seseorang mahasiswa atau ahli akademik?

Untuk mahasiswa, pemaparannya dari segi etika dan ilmu. Mahasiswa itu mesti dilihat sebagai manusia yang menggunakan ilmu dengan sewajarnya selepas mendapat ‘lesen’ (ijazah). Ahli akademik mesti jadi ilmuan, bukan hanya guru yang menyalurkan ilmu, tetapi mencipta ilmu itu sendiri, dari segi idea, tafsiran dan inovasi. Ahli akademik itu perlu dilihat dari jenis penulisan, bentuk jurnal atau buku yang diterbitkannya dan pengaruh ideanya kepada masyarakat dan tamadun.

Bukan pengaruh penulisannya kepada rakan sejawat. Idea yang didedahkan mesti mampu didebat dan dibincangkan. Malangnya budaya akademik kita menyimpan hasil kajian sehingga berhabuk atau menerbitkan dalam jurnal kerana ditetapkan KPI. Ini sebenarnya membunuh kesarjanaan kerana kehidupan ahli akademik ditentukan KPI, bukan ditentukan iltizam dan keikhlasan memajukan masyarakat, negara dan tamadun manusia.

Antara bidang falsafah/kemanusiaan dengan bidang bertentangan, ramai pelajar berminat menceburi bidang sains. Bagaimana mungkin kita mengimbangi trend sebegini kerana ia ada kaitan dengan permintaan dan penawaran. Ini soal bagaimana pemegang berkepentingan iaitu pembuat dasar, naib canselor, profesor, dekan, ibu bapa dan pelajar dididik dengan nilai kehidupan. Kita mesti bezakan apa yang praktikal dan apa yang employable. Kita belajar di universiti kerana universiti satu-satunya tempat berfikir.

Pasaran, profesion dan tempat kerja tak begitu. Malah universiti tunduk kepada kehendak pasaran. Mengapa begitu dan tak sebaliknya? Mengapa pasaran dan industri tak latih mahasiswa untuk kemahiran yang lebih tinggi?

Tanggungjawab universiti ialah untuk mendidik dan menjadikan seseorang itu lebih pandai dan beretika. Ilmu dan etika bukan penekanan industri dan pasaran. Universiti hari ini nampaknya terhimpit antara melahirkan graduan berfalsafah dengan kehendak pasaran. Komen Prof.Universiti kita perlu lari daripada paparan materialist dan menurut kehendak pasaran.

Universiti mesti tentukan pasaran dan nilai kemanusiaan bukan pasaran dan industri tentukan nilai universiti. Yang membina tamadun bukannya sains, teknologi, bidang pengurusan atau perakaunan. Semua bidang itu terhutang budi kepada sejarah dan falsafah.

Tanpa nilai kemanusiaan dan pemikiran halus dan mendalam, sains, teknologi dan pengurusan tak dapat digunakan dengan sewajarnya. Paksi kepada semua ini ialah sains sosial dan ilmu kemanusiaan.

Asasnya ialah sejarah dan falsafah. Kita mesti jadi pencipta ilmu tersebut dan bukan hanya penerima dan pengguna. Mengapa Barat dan universiti top 10 atau 100nya menguasai dunia dari segi ekonomi dan politik ialah kerana mereka mencipta ilmu - sejarah, falsafah serta sains. Inilah yang diperlukan pelajar dan mahasiswa Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: