|
|
MABUK ESTROGEN, sebuah telefilem yang mengundang angin kontroversi dalam kehidupan seni Roslan Shah suatu ketika dulu. Babak Vee, lakonannya yang diberi bantuan kecemasan pernafasan mulut ke mulut (CPR) oleh Awang lakonan Fizz Fairuz di tepi kolam renang menjadi perbualan khalayak ketika itu.
Kemudian, dia muncul pula dengan watak Mami menerusi filem pendek, Chukang arahan Suhaimi Lua Abdullah. Lakonan serta jalan cerita filem tersebut, turut mengundang kontroversi di dada akhbar.
Mahu keluar dari kepompong watak stereotaip, Roslan Shah kali ini akan muncul dengan sesuatu yang berbeza. Menjalani penggambaran selama 40 hari, drama bersiri Sejambak Bukan Serumpun arahan Mat London memberi peluang Roslan Shah memainkan peranan maskulin.
“Saya dikenali dengan watak-watak gay dan lembut dan kali ini, watak Rahim memberi cabaran kepada saya dalam bidang lakonan.
“Kali ini saya membawa watak yang lebih serius tetapi masih lagi terdapat elemen komedi dalam drama ini.
“Suhaimi Lua Abdullah, pengurus produksi drama ini menawarkan saya untuk melakonkan watak Rahim.
“Selepas berbincang dan melihatkan komitmen saya dalam menghidupkan sesuatu watak melalui kajian, Mat London bersetuju mengambil saya,” ujar Roslan yang hadir ke studio Utusan baru-baru ini lengkap berpakaian pengawal keselamatan.
Bagi merealisasikan watak Rahim yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, Roslan meresap ke dalam perjalanan seorang lelaki yang mempunyai banyak sifat negatif.
Malas bekerja, gemar curi tulang, suka mengendap dan tidur ketika bertugas merupakan karakter yang dibawanya serta sebuah cerminan sikap segelintir rakyat Malaysia.
Demi menjayakan watak itu, Roslan mengambil alternatif dan membuat kajian mengenai kehidupan pengawal keselamatan selama dua minggu.
“Selepas semua aktiviti harian saya selesai, kira-kira pukul 2 pagi, saya akan luangkan masa sekurang-kurang setengah jam untuk duduk dan berbual dengan pengawal keselamatan di kediaman saya.
“Saya melihat bagaimana gaya percakapan, pergaulan, pemakaian dan cara mereka berkerja. Selain itu, saya juga melakukan pemerhatian dari jauh perihal gelagat pengawal keselamatan,” tambah Roslan yang sudah berlakon lebih 10 buah drama.
Dengan persediaan yang telah dibuat, Roslan yakin dia bersedia untuk membawakan sebuah karakter yang menuntut sebuah fokus yang mendalam.
Drama yang akan ditayangkan di RTM1 tahun hadapan turut dibintangi Azam Pitt, Nazim Othman, Meor Hashim Manap, Maimon Talib, Fimie Don dan ramai lagi.
Rita ganti Sosilawati
Memasuki usia 40 pada 17 November lalu, Roslan akan menyambut hari jadinya secara besar-besaran di Restoran Cerana, Cheras, Kuala Lumpur pada malam esok.
Bertema ‘glamor bling bling’, para tetamu yang tampil sesuai dengan tema majlis tersebut akan dipilih untuk memenangi empat bentuk cincin yang di taja oleh Ramli Lazim dari Reefa Gold (Di hatimu) yang baru sahaja membuka cawangan di Wangsa Walk Mall.
“Selain tajaan cincin, Reefa Gold juga menaja baucar RM100 bagi kira-kira 300 tetamu yang dijangka pada majlis hari jadi saya nanti, jadi jumlah tajaan daripada Reefa Gold (dihatimu) sahaja sudah mencecah RM50,000,” akui Roslan.
“Selain itu, tetamu yang hadir nanti berpeluang memenangi hadiah tiket penerbangan pergi balik ke destinasi terpilih iaitu Hong Kong, Shanghai dan China tajaan Jaza Global Sarang Burung serta penginapan dan makan minum oleh Ripple Mate Tea turut disediakan. Maka, jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM80,000,” katanya tanpa berselindung.
Ketika ditebak dengan isu penajaan artis yang kadangkala membawa masalah, Roslan menjawab dengan tenang dan menjelaskan bahawa dia tidak pernah berdepan dengan polemik melibatkan pihak penaja.
Malah, kebanyakan pihak penaja yang mahu menaja Roslan adalah atas permintaan pihak penaja sendiri.
“Cuma ada juga yang ingin potong jalan saya dengan menghubungi pihak yang pernah menaja saya dan minta mereka pula ditaja, tetapi saya tidak akan berbuat begitu kerana sifat cemburu dan dengki perlu disingkir,” tambah anak kelahiran Jurong, Singapura itu.
Walaupun majlis kali ini mendapat pelbagai tajaan, Roslan bagaimana masih berasa sedih dengan kehilangan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang pernah menjadi penaja hari jadinya sebelum ini selama empat tahun berturut-turut dari tahun 2006 hingga 2009.
“Saya berasa kekurangan dan sedikit kelainan kerana arwah seorang yang ceria dan dia seorang yang berfikiran terbuka. Dia merupakan salah seorang tetamu VVIP saya setiap tahun.
“Pada tahun ini, saya akan menjemput anak sulung arwah Sosilawati, Rita (Erni Dekritawati Yuliana) dan tempat duduk dia pada majlis itu nanti khusus disediakan di tempat yang sama arwah pernah duduk dulu,” katanya yang sudah 10 tahun terlibat dalam bidang seni di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: