PASTINYA ada yang setuju dan ada yang tidak dengan tajuk yang Bidai utarakan minggu ini. Bagi mereka yang merokok, kenyataan itu bagi mereka tidak membawa makna apa-apa.
Bagi mereka, merokok merupakan satu keperluan. Malah pernah ketika Bidai menulis isu yang sama satu ketika dulu, ada seorang perokok yang sanggup mereka-reka beberapa akaun e-mel untuk 'membantai' Bidai demi mengatakan merokok itu membuatkan dia muda.
Dia juga mengakui saudara-maranya dan mereka yang berjawatan tinggi di dalam kerajaan yang merokok semakin sihat dan mampu melakukan kerja dengan tepat dan betul. Itu kata dia.
Bagi Bidai, biarlah... Masing-masing ada pendapat sendiri.
Namun yang nyata bagi Bidai, perokok dan rokok memang membawa banyak masalah. Bunyinya mungkin remeh namun hakikatnya ia membawa masalah besar kepada orang ramai.
Walaupun ramai setuju penanaman tembakau berjaya menjadi mata pencarian sebilangan masyarakat di pantai timur Semenanjung, selepas ia dijadikan rokok dan ditambah dengan pelbagai racun yang mampu membunuh dengan senyap, ia boleh menyusahkan sebenarnya.
Realitinya, ia merupakan agen pembunuh. Selain itu, puntung rokok yang dibuang juga akan membawa mudarat kepada alam sekitar dan juga pelbagai spesies haiwan terutama haiwan marin.
Malah, puntung rokok yang dibuang merata-rata juga mencacatkan pemandangan dan mengotorkan alam sekitar.
Mungkin bagi perokok, mereka akan cuba membandingkan puntung rokok yang mereka jentik dari tingkap kenderaan mereka dengan sampah yang orang buang merata-rata. Mereka akan katakan orang yang buang sampah lebih keji daripada mereka.
Tapi bagi Bidai, itulah sebenarnya perangai buruk perokok. Jika mereka boleh menjentik puntung rokok keluar tingkap kereta, mereka juga pada pendapat peribadi Bidai boleh membuang sampah merata-rata.
Malah perbuatan mereka membuang puntung rokok yang dilihat kanak-kanak kecil akan jadi ikutan.
Selain puntung, rokok yang sedang membara jika dibuang di kawasan yang mudah terbakar mampu mendatangkan musibah lebih besar.
Kebakaran yang terjadi akibat pembuangan rokok ini agak ketara lebih-lebih lagi ketika musim panas.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika perokok membuang puntung rokok yang sedang membara di kawasan hutan kering ketika angin bertiup kencang?
Akhirnya, mereka akan menyebabkan bomba dan penyelamat terpaksa bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan.
Bukan hanya itu, jika kebakaran yang disebabkan puntung rokok terjadi di rumah, mungkin ia juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Bagi perokok pula, ketika menghisap rokok, mereka akan khayal dan merasai 'kesedapan' tersendiri rokok yang dihisap tanpa mempedulikan mereka yang ada di sekeliling.
Bidai pernah juga melihat seorang bapa menghisap rokok ketika mendokong anak kecil yang pasti tidak akan menegur tingkah laku bapanya.
Mungkin ada yang mengatakan bapanya akan menghembus ke tempat lain. Namun bagi Bidai, asap daripada rokok yang sedang dipegang bapanya itu juga sudah berjaya merosakkan paru-paru anak yang tidak berdosa itu.
Selain merokok tanpa mempedulikan sesiapa, perokok yang 'berjaya' dihinggapi penyakit barah saluran pernafasan dan tekanan darah tinggi juga akan menyusahkan ramai orang sehingga akhir hayat mereka.
Penyakit yang mereka hidapi akibat daripada menghisap rokok itu tidak akan sembuh dengan sempurna yang akan menyebabkan mereka terpaksa dilayan dan diubati sepanjang masa.
Itulah dia perokok dan rokok. Mereka tidak akan habis-habis menyusahkan orang ramai.
Untuk pengetahuan, Bidai merupakan perokok tegar selama 18 tahun namun berjaya berhenti akibat daripada keazaman sendiri.
Bidai juga berharap, kerajaan dapat memperbanyakkan lagi kawasan bebas merokok bagi meringankan azab mereka yang tidak merokok.
Tapi janganlah disebabkan ada satu acara yang dibanjiri orang ramai, pengharaman merokok di satu-satu kawasan itu ditarik balik.
Kerajaan perlu bertegas dan ketegasan itulah yang akan mengurangkan perokok.
Fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: