
PERTEMBUNGAN falsafah membabitkan Datin Seri Fatini Yaacob yang menghasilkan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata dengan Erma Fatima di garisan akhir sebelum bermulanya pementasan pusingan kedua teater Natrah di Istana Budaya (IB) tidak ubah seperti buku bertemu ruas.
Fatini menyelar pelakon dan pengarah terkenal itu sebagai tidak menghormati nilai sejarah dan Islam serta dangkal ilmu untuk mementaskan kisah Natrah.
Bingkas mempertahankan diri, Erma dengan prinsip kepengarahannya mendakwa dia menilai Natrah sebagai pembikin teater bukannya penulis buku.
Kecewa dan terguris dengan kecaman tanpa henti oleh Fatini, Selasa lalu, Erma membuat pengumuman.
Seolah-olah dalam nada merajuk, Erma tiba-tiba enggan terlibat sebagai pengarah teater yang dijadualkan menemui penonton pada 25 November hingga 5 Disember ini.
Bukan sekadar peminat yang terkejut malah para pelakon teater berkenaan termasuk Umie Aida, Maya Karin, Remy Ishak serta ramai lagi menyifatkan keputusan drastik Erma itu satu kemenangan kepada Fatini.
Selama tiga hari pelakon berlatih tanpa kehadiran pengarah, Erma mula merasa 'dayus'.
Khamis lalu, Erma hadir lagi dengan satu pengakuan. Dia bangkit daripada kebingungan, kembali gagah untuk menghabiskan teater Natrah.
'Drama' luar pentas Natrah itu memperlihatkan satu obsesi Fatini dan sifat cengeng Erma, 40, yang seakan-akan melatah dengan selaran orang terhadap karyanya.
Sensasi Bintang: Adakah anda seorang yang cengeng dan mudah melatah dengan kritikan?
ERMA FATIMA: Lebih 13 tahun dalam industri, saya pernah kena hentam lebih teruk daripada ini. Masa menerbitkan filem Embun pun saya kena hentam.
Tapi yang buat saya tak suka, cara Fatini hentam saya itu seolah-olah saya ini bukan Islam, ini soal mengaibkan saya.
Masa teater Natrah yang pertama, ramai orang besar dalam industri yang kritik cara saya tapi saya okey. Mereka kritik depan-depan, bukan panggil media dan buat sidang akhbar untuk hentam saya.
Saya bukannya sengaja cari malapetaka, lebih baik saya kerja dengan jiwa yang tenang.
Dia yang sengaja jolok saya dan dapat nama busuk adalah saya, orang kata saya cengeng, pengarah kontroversilah, bukannya dia (dapat publisiti negatif).
Pernah anda bersemuka atau bercakap dengan Fatini berhubung isu yang diperkatakannya?
Dia sendiri tidak pernah bercakap dengan saya walaupun sekali.
Jadi macam mana pula dia dakwa itu teguran daripada seorang kakak kepada adik. Saya anggap dia ambil kesempatan untuk raih publisiti.
Apa agaknya yang menimbulkan kemarahan Fatini terhadap anda?
Saya bukan buat filem sejarah. Teater Natrah adalah kisah cinta, macam cerita (filem) Titanic, ia berdasarkan sejarah tetapi cinta yang diangkat sebagai subjek utama, sejarah kapal itu hanya latar.
Saya tak lacurkan apa-apa pun dalam Natrah dan Fatini tidak boleh paksa saya mengikut kehendaknya dalam karya saya. Saya yang tulis skrip, bukan dia.
Fatini mungkin tidak faham apa itu adaptasi?
Ini bukan soal adaptasi. Penulis sejarah tidak sama dengan penulis skrip dan saya bukan buat dokumentari (sejarah).
Khabarnya Fatini marah kerana anda tidak menggunakan skrip Natrah seperti yang ditulis dan dibetulkannya.
Dia ada tulis satu monolog serta minta dimasukkan dua babak iaitu babak Natrah memanjat pokok jambu dan babak wartawan yang tidak dibenarkan oleh paderi menemu ramah Natrah di gereja.
Tentang monolog, bukan setakat saya sahaja yang tidak berkenan dengan penulisannya, bahkan pelakon saya, Sofea Jane sendiri tidak mahu membaca monolog yang ditulis itu.
![]() |
| FATINI |
Bahasanya terlalu berterus-terang seperti bahasa buku, tiada keindahan untuk pementasan.
Babak Natrah mengajak kawan-kawannya memanjat pokok jambu pula tidak penting begitu juga dengan wartawan di gereja.
Anda masih marahkan Fatini?
Industri ini kecil, buat apa kita mahu bermusuhan tetapi saya benar-benar tidak berkenan dengan cara Fatini yang kononnya bercakap tentang perjuangan dan Islam tetapi tindakan yang dilakukannya, dia mengaibkan saya, menuduhkan saya tidak ada ilmu dan tak faham sejarah, adakah itu sifat orang Islam yang berilmu.
Tahun lepas dia mengata saya, tahun ini, bila saya nak buat teater sama, dia mengata lagi. Ini sudah melampau.
Fatini mahu bikin teater dan filem Natrah versinya, apa komen anda?
Buatlah, lebih banyak karya lebih bagus, lebih senang orang mahu membuat perbandingan. Macam dokumentari Tan Sri P. Ramlee versi Datuk Shuhaimi Baba dan Muzikal P. Ramlee versi Datin Tiara Jacquelina. Kedua-duanya ada beza.
Masihkah ada ruang untuk anda dan Fatini berdamai?
Cukuplah saya sudah memaafkan dia. Lebih elok jika saya elakkan diri daripada berdekatan dengan dia. Saya bukan orang berilmu yang ada (ijazah) sarjana sepertinya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: