
Tidak banyak kontroversi yang melibatkan anak bujang pelakon Khatijah Tan ini, namun paling memeritkan dirinya apabila dikaitkan bercinta dengan gadis dari alam maya. Lupakan kisah derita bagi Pierre.
Katanya segala ‘kesakitan’ itu mahu diluputkan daripada ingatannya.
Setelah hampir dua tahun mendiamkan diri, Pierre kembali ke pentas seni dengan penuh strategi. Terbaru, Pierre dikatakan menandatangani kontrak bersama pihak pengurusan lamanya, Metrowealth Movies Productions (MMP) milik David Teo. Bukan satu tetapi Pierre dikatakan telah menandatangani 10 buah filem bersama MMP.
“Memang betul, saya sudah menandatangani kontrak 10 buah filem bersama mereka. Saya amat berterima kasih kepada David Teo kerana masih memberi kepercayaan kepada saya.
“Walaupun saya mempunyai kisah silam bersama mereka, rupa-rupanya masih ada ruang untuk saya.
“Dibukakan ruang buat kali kedua, saya akan memberikan komitmen dan akan buat yang terbaik. Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini.
“Ruang ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk terus berkarya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Pierre yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbarunya Tiramisu bersama aktres Sharifah Amani memberitahu akan memulakan tugas bersama MMP bermula tahun 2011.
Katanya lagi, walaupun 10 buah filem, namun ia bukanlah bermakna perlu disiapkan dalam tempoh setahun.
“Kontak ini bergantung pada diri saya juga. Sekiranya saya boleh berkarya lebih daripada 4 buah filem setahun, mungkin kerjasama saya bersama MMP hanya memakan masa kurang tiga tahun.
“Bukan sahaja peluang 10 buah filem, tetapi saya juga gembira pihak pengurusan MMP tidak memberi had kepada saya untuk menyiapkannya.
“Saya diberi kelonggaran untuk mengambil masa bagi menyiapkan satu-satu projek. Tambahan saya perlu lebih memberi penelitian kepada setiap hasil kerja saya agar ia memberi kepuasan kepada semua,” kata penulis skrip filem Congkak ini.
Kurangkan berlakon
Jejaka yang pernah dikaitkan bercinta dengan aktres jelita, Julia Ziegler ini turut menambah akan mengurangkan aktiviti lakonan bermula tahun hadapan.
“Memandangkan saya akan sibuk di lokasi sebagai pengarah, jadi saya ambil keputusan untuk menyekat diri saya daripada terus mengambil sebarang tawaran berlakon. Saya akan memberi sepenuh perhatian terhadap pengarahan.
“Lagi pula, saya tidak boleh membuat kerja dalam satu masa. Tapi, kalau skrip dan arahan saya sendiri, tak jadi masalah. Takut nanti tak terbawa pula dan hasilnya tidak memuaskan.
“Jadi, untuk tidak memeningkan kepala, ada lebih elok saya tidak menerima apa-apa tawaran,” katanya lagi.
David Teo beri peluang Pierre betulkan kesilapan
Sementara itu penerbit MMP, David Teo ketika dihubungi berkata, kontrak 10 buah filem yang diberikan kepada Pierre merupakan pembuka ruang kepada pelakon itu.
Menurut David, walaupun ada sejarah hitam yang ditinggalkan oleh Pierre suatu ketika dahulu, ia sedikit pun tidak menakutkan David, malah percaya Pierre sudah berubah.
“Saya yakin dengan Pierre selepas dia datang dan mengakui kesilapannya sebelum ini. Jadi, saya berikan peluang ini untuknya. Tidak timbul soal jumlah filem kerana Pierre ada bakat.
“Sedangkan pengarah muda yang tidak ada pengalaman, saya beri mereka 5 buah filem. Manusia memang sentiasa berubah. Jangan kata kalau dah tandatangan kontrak, mereka tidak akan buat hal.
“Tapi bagi saya, Pierre sudah mengakui kesilapannya dan bersedia untuk berubah. Kalau tidak diberikan peluang kepada Pierre, bermakna industri perfileman tidak akan maju. Pierre ada bakat, jadi jangan kerana perkara lama, bakatnya disia-siakan,” katanya.
Tambah David lagi, dia percaya dengan kematangan Pierre itu, tidak akan berlaku lagi perkara seperti sebelum ini.
“Saya sudah anggap Pierre macam anak saya sendiri. Saya akan sentiasa menegur dan membimbing dia agar dia tidak lagi membuat kesilapan yang boleh memakan dirinya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: