Friday, November 5, 2010

Peniaga ular ditambah hukuman


ANSON dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun.


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan ahli perniagaan hidupan liar, Anson Wong dipenjara lima tahun kerana mengeksport 95 ekor ular berbahaya tanpa permit dua bulan lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman yang dijatuhi ke atas Anson atau nama sebenarnya Wong Keng Liang, 52, oleh Mahkamah Sesyen Sepang sebelum ini.

Mohtarudin berkata, Anson bagaimanapun tidak perlu membayar denda sebanyak RM190,000 dan sekiranya denda telah dijelaskan sebelum ini, ia perlu dipulangkan semula kepada tertuduh.

Pada 6 September lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000 selepas Anson, 52, mengaku bersalah mengeksport ular jenis Boa Constrictor iaitu spesies berjadual dalam Lampiran Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Akta itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi eksport setiap ekor binatang yang disenaraikan dalam jadual itu atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Anson didakwa melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.50 malam, 26 Ogos lepas.

Ular-ular tersebut dijumpai dalam beg pakaian Anson ketika tertuduh transit dari Pulau Pinang ke Jakarta.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, tertuduh hanya memikirkan keuntungan wang ringgit tetapi tidak mengambil berat terhadap kebajikan haiwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: