Thursday, November 25, 2010

Penantian Puvaneswaran berakhir


JADI KEBANGGAAN... Puvaneswaran (gambar kiri) dan Jin Keat menyumbang emas buat kontinjen Malaysia pada hari ke-12 Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China semalam.


KONTINJEN Malaysia kini hanya memerlukan satu lagi pingat emas untuk melengkapkan sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia 2010.

Tanpa diletakkan sebarang harapan, pingat emas kelapan Malaysia hadir menerusi sukan karate di Gimnasium Guangdong, Guangzhou petang semalam setelah R. Puvaneswaran mengungguli acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki.

Pada sebelah pagi, karate yang membuka tirai saingannya telah menghadirkan pingat emas ketujuh negara menerusi Ku Jin Keat dalam acara Kata individu lelaki.

Bagi Puvaneswaran, pingat emas yang dimenanginya itu berjaya memadam kekecewaan sekadar meraih pingat perak pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

"Inilah yang saya sasarkan selama empat tahun ini. Akhirnya penantian berbaloi. Saya berjaya menamatkan saingan kali ini dengan kegembiraan meraih emas," katanya ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat semalam.


Puvaneswaran


Pada aksi final, Puvaneswaran, 36, berjaya menewaskan Emad Mohammed Almaliki dari Arab Saudi pada pertarungan yang cukup sengit.

"Kami berdua sudah 20 tahun berkecimpung dalam karate dan saya pernah kalahkan dia sebelum ini tetapi saya tetap berhati-hati dengan tidak melakukan banyak serangan, lebih kepada strategi.

"Saya gunakan segala pengalaman yang ada untuk memenangi aksi final tadi (semalam) dan mujur nasib lebih berpihak kepada saya kali ini," jelasnya yang turut meraih pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan.

Puvaneswaran memulakan pusingan pertama semalam dengan menewaskan Nguyen Hoang Hiep dari Vietnam sebelum mengetepikan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) di suku akhir dan Mohammad Ghasemi Laskoukalayeh (Iran) pada saingan separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: