PADA awal pembabitannya dalam industri drama Tamil, Raja Ilya dapat berasakan dia berdepan cabaran yang bukan kecil. Dirinya bukan sekadar pelakon yang pada dasarnya berbangsa Melayu, malah penguasaannya terhadap bahasa Tamil itu sendiri membuatkan wanita cantik ini dikritik.
Namun, sudah menjadi sifat semula jadi Ilya untuk bingkas bangkit sebaik saja cabaran diterima, terutama dalam soal kerja. Menyedari kejanggalan yang dirasakan rakan seperjuangan dalam industri seni Tamil negara ini, dia cuba memperbaiki situasi terbabit dengan mendalami bahasa berkenaan, demi membolehkan dirinya diterima lebih baik lagi di kalangan penggiat seni India."Pada mulanya, tentulah agak janggal untuk mereka melihat seorang pelakon Melayu melakonkan watak gadis India. Kejanggalan itu sendiri dapat saya rasakan sama. Namun, syukurlah selepas beberapa ketika, mereka mula menerima saya seadanya.
Appalam ialah filem bahasa Tamil keluaran Tayangan Unggul yang dihasilkan berdasarkan filem Melayu popular arahan pengarah sama, Papadom (2009). Selain Ilya, turut menjayakan filem terbabit ialah Jaclyn Victor, Gana, Sharifah Amani dan Afdlin sendiri. Ia menemui penonton seluruh negara mulai hari ini.
Filem terbabit dikatakan filem bahasa Tamil pertama dihasilkan dalam bentuk 35 mm selepas 24 tahun, menggunakan belanja sekitar RM1.5 juta. Menurut bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini, dia dapat berasakan adanya peningkatan dalam penguasaan bahasa Tamilnya selepas mengikuti kelas terbabit.
"Paling tidak, kini saya lebih yakin untuk terus beraksi dalam drama mahupun filem bahasa Tamil," katanya yang tidak lekang dengan senyuman, sewaktu berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Mula berlakon sekitar 2005, namanya mula dikredit dalam drama bahasa Tamil hasil usaha pengarah Along Kamarudin. Sejak itu, satu demi persatu tawaran membabitkan diri dalam produk berbahasa itu diterima olehnya, termasuk Appalam, filem digital I Know What You Did Last Deepavali dan drama bersiri Anjali.
Wanita berdarah campuran Melayu-Malayalam ini mengaku, tekadnya untuk menguasai bahasa itu timbul setelah dirinya dikritik. Ilya nekad membuktikan, dirinya setanding pelakon India yang lain. Nyata sekali, sikap pantang dicabar memberikan impak positif pada pelakon berusia 25 tahun ini.
Berasa cukup bertuah apabila diterima beraksi dalam Appalam, bagaimanapun Ilya mendedahkan, seperti mana pelakon lain, dia juga menghadiri sesi uji bakat sebelum ditawarkan watak utama yang pernah dilakonkan Liyana Jasmay, dalam filem terbabit. Nyata, segala ciri yang diingini Afdlin untuk watak utama filem itu ada pada diri wanita ini.
"Walaupun saya melakonkan watak yang pernah dipegang oleh Liyana dalam versi Melayunya, namun saya tidak menjadikan watak lakonannya dulu sebagai rujukan untuk filem ini. Afdlin sendiri tidak mahu saya berbuat demikian, kerana Appalam ialah filem Tamil. Sebagai Shruti, saya ialah gadis India yang mempunyai perwatakannya sendiri. Kedua-duanya mempunyai budaya hidup yang berbeza.
"Untungnya, apabila saya mempunyai ramai kawan keturunan India. Justeru, saya banyak memerhati dan mempelajari cara dan gaya mereka, demi menjayakan watak Shruti," ujarnya yang mengaku seronok bekerja bersama Afdlin.
Kata pelakon yang tidak berniat untuk bersaing, sebaliknya ingin berkongsi bakat dimiliki, Appalam juga dianggap Afdlin sebagai produk yang lebih baik.
Pengarah itu, menurutnya, kini mampu memperbaiki kelemahan yang dirasakan wujud dalam filem Papadom menerusi filem bahasa Tamil ini. Penceritaan dan rakaman filem itu diperkemaskan lagi, yang membuatkan dirinya berasa cukup beruntung apabila sama-sama terbabit dalam projek ini.
Bakal gegar Bollywood
LANGKAH Raja Ilya dalam lakonan semakin panjang apabila dia menerima tawaran membintangi sebuah filem usaha sama Malaysia-India berjudul Love Is Blind. Ketika ini, projek yang bakal menggandingkannya dengan Ravi Kishen sebagai teraju utama itu hanya menunggu waktu untuk memulakan penggambaran.
"Antara lain, filem ini berkisar kepada pertemuan dua insan cacat penglihatan. Seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari India. Walaupun tidak mempunyai daya penglihatan, namun ia tidak menghalang kedua-dua insan istimewa ini untuk saling jatuh cinta," kata Ilya sememangnya menggemari filem dari Mumbai dan Kolkata.
Katanya, sebanyak 40 peratus daripada penggambaran filem itu akan dilakukan di negara ini, manakala selebihnya di India.
"Dengar khabar, babak nyanyian pula akan dilakukan Moscow, Russia," katanya sambil menghadiahkan senyuman penuh bermakna.
Pelakon yang terpilih sebagai penceramah pada sebuah simposium antarabangsa remaja anjuran United Nation Tedx Youth pada 20 November lalu di ibu kota turut mendedahkan, dia cukup mengagumi pelakon berasal dari Ipoh, Datuk Michelle Yeoh.
Jika rezeki menyebelahi dirinya, dia juga ingin muncul sebagai bintang antarabangsa disegani sebagaimana bekas ratu cantik terbabit. Baginya, Michelle mewakili wanita moden yang cekal, berbakat, serta mampu mengharumkan nama negara.
Begitupun, sebagai penggemar filem Hindi, dia juga mengaku amat menggemari pelakon India bernama Shriya Saran, yang bukan saja dikenali di India Utara, malah turut dihormati peminat di kawasan selatan negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: