PETALING JAYA: Biarpun terlibat dengan kemalangan kecil pada 1 November lalu, ia tidak menghalang pelakon Nazim Othman (gambar), 26, untuk meneruskan penggambaran drama 7 Hari 7 Malam di Marang, Terengganu.
Nasib baik kemalangan tersebut tidak membawa apa-apa kecelakaan sama ada kepada dirinya mahu pun kereta.
“Saya sihat dan sekarang sedang menjalani penggambaran drama 7 Hari 7 Malam di Marang, Terengganu. Sebenarnya, saya tak rasa ‘malang’ sangat kerana kereta saya hanya terbabas masuk longkang.
“Nasib baik kereta saya tiada masalah apa-apa,” katanya kepada mStar Online.
Drama yang turut menggandingkan pelakon Atie AF1 itu diterbitkan oleh Radio Televisyen Malaysia dan Radio Televisyen Brunei untuk siaran kedua-dua televisyen tersebut.
“Drama 4 episod ini merupakan sekuel daripada sebuah telefilem pada dua tahun lalu. Saya menggantikan pelakon Remy Ishak yang tidak dapat mengikuti drama ini.
“Saya melakonkan watak Rudy yang berkawan baik dengan Jamil. Kami bercinta pada wanita yang sama bernama Intan semasa bercuti di Terengganu. Namun begitu Intan yang berperangai seperti tomboi ini akan berkahwin dengan Jamil. Biarpun begitu, Rudy masih lagi menyimpan perasaan kepada Intan.
“Pada suatu hari, tiba-tiba Rudy berubah hati kepada Diana yang sebelum itu pernah menjadi kekasih Jamil. Menariknya, drama ini turut menampilkan subplot-subplot yang menunjukkan budaya Brunei dan Malaysia,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, Nazim ada mengeluh tentang sikap pengarah yang belum memberikannya peluang untuk melakonkan watak penting.
Nazim akui dia banyak menerima tawaran lakonan yang tidak mencabar dan belum meninggalkan kesan di hati penonton.
“Saya memang sudah banyak berlakon drama dan telefilem tetapi watak yang betul-betul kuat tu belum rezeki lagi. Saya mengidam watak yang berat dari segi emosi dan jalan ceritanya.
“Misalnya seperti filem State Of Play lakonan Ben Affleck dan watak lakonan Liyana Jasmay dalam filem Histeria.
“Saya nak jalan cerita yang tidak terlalu straight forward dan ada twist yang lebih menarik,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: