![]() |
| Azlina Che Abdullah dan suami, Stapa Omar bersama Skuad Prihatin Pewanis dan wakil majalah Wanita bergambar dengan penduduk kampung ketika misi kasih sayang membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis. |
Tiada siapa dapat menilai erti kasih sayang secara keseluruhan kerana ia amat subjektif. Kasih sayang tidak boleh dipegang tetapi boleh dirasakan oleh mereka yang menghargai dan memberinya.
Pengorbanan juga termasuk dalam cantuman antara kasih dan sayang. Sesiapa sahaja sanggup berkorban kerana orang yang mereka hormat demi kasih dan sayang.
Namun tidak semudah itu menyalurkan kasih sayang kepada sesama insan bimbang disalah erti oleh orang yang empunya diri mahupun mereka yang memerhati.
Pun begitu, erti kasih sayang yang ingin saya luahkan adalah tentang kasih sayang berlandaskan rasa tanggungjawab sesama manusia, bukan kerana cinta mahupun taat setia.
Kasih sayang yang lahir atas kesedaran dan keinsafan menjadi hamba Allah SWT yang tidak sempurna tetapi diberi akal untuk menilai kebaikan dan keburukan sesama manusia.
Akal untuk saling menghulur dan memberi, bantu-membantu, bertanya khabar dan mengorbankan kudrat serta masa untuk memastikan mereka yang ditimpa musibah akan berkurangan rasa hiba dan sedih.
Itulah misi yang telah kami lakukan minggu lalu di negeri Perlis Indera Kayangan dan Kedah Darul Aman.
Perancangan yang diatur oleh Wanita Ikon 2008, Majalah Wanita, Datuk Azlina Che Abdullah dan suaminya Datuk Stapa Omar selaku Pengerusi Yayasan Kaseh DCL serta dibantu oleh Persatuan Wanita Islam Malaysia (Pewanis) nyata membuahkan hasil yang amat baik.
Bersama tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori kecil sarat dengan barang-barang makanan dan keperluan harian, rombongan misi kasih sayang dibawakan oleh Skuad Prihatin Pewanis dan majalah Wanita bergerak ke Perlis.
Seawal tujuh pagi 18 November 2010, rombongan menuju ke Kampung Panggas, Chuping, Perlis, kawasan paling teruk dilanda banjir. Masih berbekas sisa-sisa barang yang dibawa arus deras semasa banjir melanda. Sofa, peti sejuk, dapur, tilam, karpet, dan lain-lain tersadai di tepi jalan.
Saya perhatikan sebahagian penduduk giat membasuh peralatan yang rosak dengan harapan ia mungkin dapat digunakan lagi. Dalam hati timbul rasa sedih dan sayu bercampur belas kasihan. Terasa ingin membantu namun saya masih ada tanggungjawab yang menunggu.
Tiba di Surau Kampung Panggas, saya menyertai kaum wanitanya yang sibuk membuat persiapan memasak, mengupas bawang, halia, lengkuas sementara lelakinya pula dengan tugas masing-masing menaikkan khemah, menyusun kerusi meja, memasak nasi dan melapah empat ekor lembu yang telah disumbangkan oleh Azlina dan suami untuk ibadah korban penduduk setempat.
Dua ekor lembu dilapah dan dimasak. Dua ekor lagi diagih-agihkan kepada hampir 100 buah rumah sekitar kawasan tersebut.
Azlina dan suami serta rombongan Pewanis turut sama membantu apa yang patut. Dua jam kemudian kari daging, sup tulang, air asam dan daging rebus siap untuk dijamah. Bersama hampir 100 penduduk kampung kami menjamu selera dalam suasana yang amat sentimental. Saya tidak tahu bagaimana hendak bercerita, yang nyata air mata saya bergenang melihat mereka makan dengan begitu berselera sekali.
Banyak yang boleh dikongsi tentang musibah yang berlaku. Sedih hati saya apabila dihampiri seorang makcik warga emas berusia lewat 70-an. Mak Cik Ku Chah Ku Mat menceritakan tentang semua barang dalam rumahnya telah dihanyutkan air.
"Takdak apa yang boleh makcik pakai lagi dalam rumah. Semua rosak teruk. Nak mesyin cabai pun tak boleh dah... cerek kena ayak. Televisyen masuk ayak... macam mana nak buat nak?" soalnya sambil memegang tangan saya.
Saya hilang kata-kata. Memandang wajahnya saya teringatkan wajah mak di rumah yang baru juga ditimpa musibah. Saya katakan kepadanya supaya bersabar dan berdoa, insya-Allah Allah akan bagi balik apa yang dia telah hilang.
Sambil memeluknya dan bersalaman saya menghulurkan sumbangan ikhlas tidak seberapa sambil memberitahunya supaya menggunakan wang itu untuk membeli keperluan harian. Saya lihat air matanya bergenang.
Selesai makan Azlina menyerahkan sumbangan Yayasan Kaseh DCL berupa produk makanan dan minuman serta wang tunai kepada penduduk yang ditimba musibah sekitar kawasan tersebut.
Rombongan sempat juga melawat 10 buah rumah warga emas, Orang Kurang Upaya dan mereka yang sakit kronik di kampung berkenaan, antaranya rumah Zaleha Abdullah, 58, yang lumpuh sebelah badan sejak setahun yang lalu. Ketika berpelukan dengan Azlina, Zaleha menangis teresak-esak menyebabkan semua yang ada di situ turut mengalirkan air mata. Doa saya semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah dan cepat sembuh.
Esoknya, Jumaat, 19 November 2010, kira-kira pukul 9 pagi rombongan sudah berada di Surau Tengku Dakirah, Taman Sri Indah, Mergong Kedah untuk menyerahkan sumbangan kepada Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah, dan mengorbankan dua ekor lembu. Kami dijamu nasi lemak dan kuih tradisional Kedah serta kopi O.
Selesai urusan penyerahan sumbangan, rombongan bergegas pula ke Kampung Melele, Mukim Ah, Kodiang, Kedah. Perjalanan yang mengambil masa setengah jam dalam panas terik tidak terasa apabila disambut oleh penduduk kampung yang begitu teruja menunggu ketibaan kami.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Hamid menyambut rombongan dengan penuh mesra. Laksa Kedah, kuih muih, emping bercampur kelapa menjadi hidangan sebelum dijamu nasi berlauk daging korban.
Di hadapan rumah Che Lian, wakil penduduk kampung yang sudi menawar diri menjadi tuan rumah majlis tersebut, berlonggok-longgok barang bantuan disusun. Semuanya ada, daripada makanan, minuman, selimut, beg sekolah dan sebagainya hasil sumbangan pelbagai pihak. Ketika kami sampai, penduduk kampung sibuk memasak daging korban yang telah disumbangkan oleh Azlina dan Yayasan Kasih DCL.
Suasananya amat meriah dengan beberapa penduduk mengambil kesempatan berkongsi cerita sedih mereka ditimpa musibah. Ada yang menangis ada yang berhiba namun mereka masih mampu ketawa kala kami semua bersalaman semasa sumbangan diberikan kepada mereka.
Meninggalkan Kampung Melele, Azlina berjanji akan datang lagi untuk memberi sumbangan peralatan menulis sebelum musim persekolahan 2011 bermula.
Alhamdulillah, hajat tertunai sudah, mereka yang memerlukan sudah dibantu dan kami berdoa semoga kehidupan mereka akan kembali pulih seperti sebelumnya.
Satu perkara yang saya nampak, penduduk yang terlibat dengan banjir ini harus bangkit dan berusaha memulakan hidup baru dengan semangat dan kekuatan. Sumbangan dari pihak tertentu tidak dapat mengembalikan apa yang mereka telah hilang tetapi ia sekadar membantu meringankan beban mereka.
Selebihnya terletak kepada diri mereka sendiri - berusaha untuk menilai diri dan merenung kenapa musibah itu terjadi dan berazam untuk menjadi yang lebih baik.
Tuhan menguji hamba-Nya yang Dia tahu boleh menerima dan memikul dugaan tersebut bukan menangisi dan menyalahkan takdir.
Terima kasih kepada semua yang menyambut rombongan kami terutama YB Mansor Jusoh, Dun Chuping dan penduduk Kampung Panggas, Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah, dan Datuk Maznah Hamid.
Sekalung terima kasih daripada saya kepada Wanita Ikon 2008 dan suami serta Pewanis yang tidak jemu-jemu berbuat amal dan bekerjasama dengan Wanita. Kepada pertubuhan wanita lain yang teringin membantu, jemputlah ke negeri Kedah dan Perlis, kunjungan anda menggembirakan mereka.
Semoga usaha murni seperti ini akan diberkati Allah SWT dan dilimpahkan hidayah-Nya di dunia dan akhirat. Amin!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: