Saturday, November 13, 2010

MAHA 2010 bakal jana keuntungan RM15 juta


Noh Omar menandantangani pelekat MAHA 2010 pada sebuah bas sempena mempromosi MAHA 2010 di pekarangan Wisma Tani di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Nov. - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 yang akan berlangsung pada 26 November hingga 5 Disember ini dijangka menjana keuntungan lebih RM15 juta.

Pameran dwitahunan itu juga akan menyaksikan termeterainya sejumlah besar Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian bersama bernilai RM150 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pameran tersebut menyasarkan sejumlah dua juta pengunjung dengan menampilkan lebih 2,000 gerai pameran melibatkan penyertaan 28 negara.

"MAHA 2010 kali ini lebih besar berbanding tahun 2008 kerana melibatkan 2,000 gerai dan kali ini kita guna perkataan antarabangsa sebab penyertaan syarikat dari negara luar bertambah. Kalau pada tahun 2008 ada 12 gerai sahaja tetapi kali ini ada 28 buah.

"Tahun ini, kita bukan sahaja mengadakan pameran tetapi juga melakukan pemadanan perniagaan antara usahawan dalam dan luar negara selain memeteraikan beberapa MoU dan perjanjian bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen MAHA 2010 untuk teksi dan bas awam di sini hari ini.

MAHA 2010 yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 26 November ini dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kempen tersebut melibatkan lebih 1,000 buah teksi dan 15 buah bas awam di seluruh negara.

Noh berkata, peserta antarabangsa yang akan menyertai pameran dua tahun sekali itu adalah melibatkan negara-negara Asia Barat, India, China, ASEAN, Eropah dan benua Amerika.

Harapan kita agar MAHA 2010 akan mendedahkan pencapaian sektor pertanian dan industri asas tani di dalam dan luar negara.

Pada masa yang sama, ia dapat mewujudkan pemadanan perniagaan antara usahawan tempatan dengan syarikat dari luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: