Thursday, November 18, 2010

Lumpuh tidak halang Hafiz berbakti


BERSAMA rakan karib, Azlan Lokman (kiri) dan rakan-rakan setugas lain.


RAMAI orang boleh menyanyi lagu patriotik, boleh berceramah, berdebat dan melaung-laungkan lafaz janji mahu berkorban apa saja harta atau pun jiwa demi agama, bangsa dan negara.

Namun, tidak ramai yang mampu melaksanakan apa yang dikata. Malah lebih ramai orang tidak sanggup dan menjadi seperti orang biasa yang pergi kerja, balik rumah dan bersama keluarga.

Dan semakin ramai orang lupa kenapa Allah jadikan kita di muka bumiNya? Apakah tanggungjawab kita di dunia sebelum kita menutup mata?

Sedangkan sudah dijelaskan dalam mukjizat teragung Allah kepada hambaNya iaitu al-Quran, ketika mati hanya dua perkara yang kita bawa iaitu doa anak yang soleh dan amal bakti kita di dunia.

Begitulah ungkapan awal Lans Koperal Abdul Hafiz Jamalul Ramli, 25, ketika memulakan pertemuan kami petang Rabu lalu di kediaman keluarganya, yang dibina khusus untuk kemudahannya bergerak dan bertugas setelah lumpuh tiga tahun lalu.

Melihat kedua-dua belah kaki anak muda berjiwa kental itu yang lumpuh hingga terpaksa berkerusi roda, ia menebak hati penulis dan rasa kagum terhadap keberaniannya demi mempertahankan keselamatan negara yang wajar menjadi contoh belia hari ini.

“Inilah bukti cinta saya kepada agama, bangsa dan negara lebih daripada nyawa sendiri.

“Orang mungkin sanggup mempertaruhkan harta benda untuk negara, tetapi tanya pada hati adakah sanggup nyawa dan masa depan jadi taruhan dan kesannya kekal hingga ke akhir hayat.

“Tanya pada hati, sejauh mana dan sebanyak mana sumbangan kita untuk agama dan negara. Saya harap sumbangan inilah yang menjadi fardu kifayah saya dan amalan selepas mati,” katanya lagi.

Tragedi Oktober 2007, masih segar dalam ingatan kita apabila dikejutkan dengan berita dua anggota polis berpangkat konstabel ditembak penjenayah di hadapan Syarikat Lee Motor, Jalan Rawang, Selangor.

Kisah kedua-dua anggota itu yang cedera ditembak tetapi tetap berjaya menghalang cubaan merompak dengan menembak mati penjenayah terbabit mendapat liputan meluas media.

Mengimbas kembali pada tarikh 22 Oktober tahun itu, kira-kira pukul 1.30 pagi, Hafiz bersama rakan setugas, Pemangku Koperal Mat Azri Awang Ngah melakukan rondaan biasa di Jalan Rawang.

Ketika meronda di hadapan sebuah syarikat kenderaan Auto City, muncul seorang lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan menahan kereta peronda mereka, memaklumkan ada dua lelaki yang mencurigakan memasuki syarikat Lee Motor terbabit.

Sejurus selepas mendapat aduan itu, Hafiz dan Mat Azri bergegas ke lokasi berkenaan dan ternampak seorang suspek berada di dalam premis manakala seorang rakan suspek menunggu di luar premis tersebut.

Beliau yang tidak menyangka suspek itu memiliki senjata kemudian meminta suspek mengeluarkan dokumen pengenalan diri.

Berlaku pergelutan selepas Hafiz menyedari suspek cuba mengeluarkan senjata sehingga bunyi tembakan yang mengenai kaki Azri dan menyebabkan dia rebah.

Hafiz yang tidak berputus asa cuba merampas pistol Revolver 3.8 milimeter daripada suspek, bagaimanapun dua das tembakan dilepaskan suspek yang mengenai tulang rusuk kanannya dan lutut kaki kirinya.

Dalam insiden yang hampir meragut nyawa kedua-dua anggota polis itu, Hafiz berjaya melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek rakyat tempatan yang akhirnya tersungkur mati.

Sehari selepas tragedi berdarah itu, Hafiz menerima kunjungan daripada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras.

“Musa ibarat meniup kembali semangat saya yang mula lemah selepas dimaklumkan kedua-dua kaki saya akan lumpuh bagi satu tempoh panjang.

“Amanat dan nasihat daripadanya tersemat di hati saya dan itulah yang sentiasa membakar jiwa saya untuk terus menabur bakti kepada tanah air tercinta,” jelasnya lagi.

Jelas terbukti walaupun sudah tiga tahun berkerusi roda namun tidak sesekali mematahkan semangat anak muda ini untuk berkhidmat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kediaman yang dibina khusus untuknya itu dihuni bersama kedua ibu bapa dan seorang adiknya, terletak berhampiran Pondok Polis Selayang Baru bagi memudahkan Hafiz bertugas di pondok itu.

Hafiz kini masih berkhidmat dalam PDRM dan bertugas di bahagian tugas am di pondok polis itu berikutan keadaannya yang lumpuh kedua-dua belah kaki.

“Saya tidak pernah mengambil cuti semata-mata untuk berehat. Saya hanya cuti kerana sakit atau terpaksa menjalani terapi di hospital.

“Rakan-rakan setugas juga sudah sedia maklum jika tidak temui saya di tempat kerja mesti boleh ditemui sama ada di rumah atau hospital,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: