Sunday, November 7, 2010

Lawak tidak cukup buat Irma




MENDONGAK ke atas, adakalanya kita mempersoalkan rahsia di sebalik kepulan putih awanan yang mewarnai birunya hamparan langit. Dalam celik dek sinaran sang mentari, pasti terselit titis-titis jernih melimpahi lantai bumi yang menyegarkan kehijauan segenap tumbuhan.

Sesekali guruh berdentum mengejutkan denyut nadi untuk berlari lebih pantas daripada normal. Perumpamaan ideal itu ditujukan khas buat wanita yang kini bergelora jiwanya. Meski dipukul pelbagai persoalan yang menggigit emosi, wanita yang bernama Irma Hasmie teguh membanting tulang berlawan kekecewaan.

Semua itu lantaran buah kasih yang dibenihnya gagal berbunga mekar.

Ekoran perkhabaran duka perpisahannya dengan bekas kekasih, Nabil Ahmad, Irma tidak beralasan untuk menyalahkan takdir buatnya. Dia masih mampu ketawa sedangkan hatinya terpaut duka.

PUTUS KASIH DENGAN NABIL

Saya masih rasa bersyukur kepada Allah kerana sentiasa diberikan kekuatan. Jika ini sudah ketentuan Tuhan, saya reda dan menganggapnya sebagai satu dugaan yang sudah termaktub oleh Allah.

PENGGANTI NABIL

Masih terlalu awal untuk saya berbicara tentang pengganti. Biarlah saya tumpukan perhatian terhadap kerjaya. Sekiranya satu hari nanti ditemukan dengan seseorang, saya berharap biarlah lelaki itu boleh membimbing saya menjadi seorang hamba Allah yang sempurna.

SIAPA KAWAN SIAPA LAWAN

Saya tidak bersendirian melalui fasa yang menyedihkan ini. Keluarga dan teman-teman rapat banyak memberikan kekuatan dan nasihat untuk meneruskan kehidupan. Ketika inilah saya tahu siapa sebenarnya kawan dan siapa lawan.

RUTIN

Ketika ini saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri Awan Dania untuk musim kedua. Jadi buat masa ini jadual saya memang diperuntukkan untuk Awan Dania. Filem pula masih dalam proses perbincangan, mungkin akan diumumkan tahun hadapan.

TWITTER

Sekarang saya jarang buka akaun peminat di Facebook dan lebih gemar menggunakan Twitter. Saya memohon maaf kepada para peminat saya di Facebook. Bagaimanapun, saya dengan senang hati mengajak mereka untuk berkomunikasi menerusi Twitter.

FESYEN

Saya memang gemarkan rekaan-rekaan Hatta Dolmat. Boleh dikatakan hampir kesemua rekaannya menarik perhatian saya. Jadi, jika diberi peluang untuk menyarungkan busana rekaannya nanti, pasti saya akan sangat teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: