Saturday, November 20, 2010

Lagenda Renault RS kembali!




MASIH ingat dengan model berkuasa tinggi Renault yang memiliki reka bentuk agak pelik sebelum ini? Ya, model Renault Megane F1 Team R26 yang memberi keterujaan kepada setiap pemiliknya sejak tahun 2008 itu kini sudah ada penggantinya.

Megane Renault Sport 250 Cup kini tampil dengan berpaksikan kepada reka bentuk coupe. Ia juga sarat dengan pelbagai ciri baru dan menarik. Tidak dapat dinafikan juga bahawa model ini mengukuhkan lagi reputasi Renault sebagai antara pembuat modelhot hatch yang terbaik di dunia.

Justeru, tiada tempat yang paling sesuai untuk memperkenalkan model Megane Renault Sport 250 Cup ini selain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Sebabnya, ia sebuah jentera yang dibangunkan untuk kecemerlangan di litar , tanpa menggadaikan aspek praktikaliti ketika berada di atas jalan raya.

Benar, model ini cukup niche pasarannya. Namun begitu, sehingga kini sebanyak 22,600 unit sudah berjaya dijual di seluruh dunia. Malah, Megane Renault Sport 250 Cup memang amat dinanti-nantikan oleh peminatnya di Malaysia.

Buktinya, pada hari yang sama, pemegang francais jenama Renault, TC Euro Cars Sdn. Bhd. memberi penghormatan kepada lapan orang pembeli terawal Megane Renault Sport 250 Cup untuk mencuba sendiri jentera itu di Litar Sepang.


TEAMPAT duduk kulit Recaro dan moonroof boleh anda perolehi dengan penambahan sebanyak RM10,000.


Banyak faktor yang membuatkannya sebuah model yang istimewa. Bukan sahaja ia sedikit murah berbanding R26, jentera ini mengangkat kehebatan kerangka yang lebih dikenali sebagai Cup Chassis.

Untuk makluman, Cup Chassis menawarkan aspek kawalan pengendalian yang sukar ditandingi. Ia meliputi komponen seperti gegelung, penyerap hentakan dan bar anti oleng. Cup Chassis juga dibina bagi meminimumkan situasi ketidak stabilan atau torque steer.

Tidak cukup? Megane Renault Sport 250 Cup turut hadir bersama Limited Slip Differential (LSD), multi mode ESP (Electronic Stability Control) Semua komponen itu akan memastikan jentera ini 'melekat' di atas jalan raya ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi.

Dibekalkan dengan enjin bersesaran 2.0 liter, enjin dengan pendesak turbo itu mampu menjana kuasa sehingga 250hp. Sementara tork maksimum yang mencecah 340 Nm itu pula dapat dicapai pada putaran enjin di bawah 3,000 rpm! Inilah hasilnya apabila 20 hingga 40 peratus komponen enjinnya sudah ditukar.

Enjin berkod F4RM874 itu dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan yang baru. Bagi menambahkan rasa seronok mengendalikannya, nisbah gear ini disusun pendek. Jadi, setiap kali gear ditukar tujahan kuasanya dapat dirasa dengan ketara.

Tugas memberhentikan jentera penuh kuasa ini terletak pada brek cakera Brembo. Bersaiz 340mm, ia merupakan yang paling besar dalam kelasnya. Prestasinya terbukti sewaktu sesi pandu uji di SIC. Walaupun digunakan secara ekstrem dalam beberapa pusingan tanpa henti, brek Brembo ini masih dapat berfungsi dengan baik.

Bahagian kokpitnya pula menawarkan ambien sebuah kereta berprestasi tinggi yang mewah. Tempat duduk Recaro, stereng dan tombol gear dibalut kulit. Di samping paparan meter dengan latar warna berwarna kuning dan putih. Tipikal sebuah kereta sebegini, posisi tempat duduknya agak terperosok ke bawah.


DARI kiri: Pengurus Besar TC Euro Cars, Reza Mutalib, Pengurus Operasi Wilayah, Arnaud Mourgue dan Pengarah/Pengurus Besar Kanan TC Euro Cars, Kuan Kim Luen melancarkan Megane Renault Sport 250 Cup di SIC.


Pada konsol tengah, pemandu boleh melihat sendiri data pemanduan pada masa sebenar pada paparan R.S. Monitor. Maklumat seperti waktu pecutan, stopwatch dengan fungsi memori, meter G-force, suhu minyak, tekanan turbo, angka kuasa enjin dan torque, selain pilihan lima talaan pemetaan pendikit (throttle map settings).

Jika di pasaran Eropah, Megane Renault Sport 250 Cup merupakan pesaing kepada model berkuasa tinggi seperti Ford Focus RS, Volkswagen Scirocco R atau Volkswagen Golf R. Di pasaran tempatan pula, tiada pesaing yang benar-benar setanding dengannya. Jadi, 'pesaing' paling dekat mungkin Volkswagen Scirocco atau VW Golf GTI.

Ini memang jentera untuk peminat tegar model RS daripada Renault. Atas alasan itu, TC Euro Cars tidak akan membawa masuk model bertransmisi automatik atau berspesifikasi lebih rendah.

Baiklah, model ini ditawarkan pada harga RM229,800 seunit di atas jalan tanpa insurans. Hanya tiga warna untuk dipilih iaitu kuning, putih dan kelabu.

Untuk ketenangan jiwa pemiliknya, Megane Renault Sport 250 Cup hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: