Monday, November 1, 2010

KRU Perjelas Status Tanah di Cyberjaya

Norman Abdul Halim

CYBERJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Norman Abdul Halim menjelaskan tapak pembinaan KRU Studios seluas 15.39 ekar di Cyberjaya adalah merupakan terma perjanjian perniagaan antara KRU dan pihak pemaju, Cyberview Sdn Bhd.

Justeru, menolak dakwaan tapak pembinaan ibu pejabat KRU yang menempatkan studio berteknologi tinggi dan tercanggih itu adalah merupakan geran dari kerajaan.

"Ia merupakan perjanjian antara KRU dan pemilik tanah Cyberjaya iaitu Cyberview dan kami hanya akan diberi hak untuk membeli tanah tersebut dalam tempoh masa 10 tahun.

"Setakat ini kami hanya menyewa dari mereka, namun begitu mereka memberi peluang kepada KRU untuk mereka bentuk semua bangunan yang akan dibangunkan mengikut citarasa kami," ujarnya ketika ditemui di Majlis Doa Selamat dan Sepetang Bersama KRU, di sini, Jumaat.

Menurut Norman, penubuhan KRU Studios ini bukan sahaja untuk produksi KRU tetapi terbuka kepada produksi-produksi lain yang mahu menggunakan studio berkenaan untuk pembikinan filem mereka.

KRU Studios ini dilengkapi dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas. Ia juga akan menyediakan dua pentas persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi.

KRU di hadapan KRU Studios di Cyberjaya yang baru beroperasi pertengahan tahun ini.

Bukan itu sahaja, melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan KRU Studios juga boleh dianggap sebagai pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti membabitkan penerbitan filem, program televisyen, iklan komersial, muzik, kesan khas serta animasi tiga dimensi.

"KRU Studios juga menawarkan sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak digunakan dalam industri penerbitan. Apa yang lebih penting kualiti filem kita diharap akan menyamai standard filem Hollywood melalui teknologi definisi tinggi (HD).

"Wujudnya KRU Studios ini bukan sahaja untuk kemudahan KRU malah kami membuka kemudahan yang disediakan ini kepada semua produksi filem tempatan dan luar negara. Matlamat utama KRU adalah untuk memajukan industri filem kita ke tahap antara bangsa.

Dalam pada itu, mengulas kejayaan Magika sebagai filem terbaik di Festival Filem Mlaysia ke 23 (FFM23), Norman memberitahu kejayaan tersebut membuka jalan kepada KRU menerbitkan lebih banyak lagi filem berkualiti.

"Kita sekarang sedang menuju ke peringkat antarabangsa, kejayaan Magika memberi insipari kepada KRU untuk terus memberikan karya-karya yang lebih baik dan bertaraf antarabangsa.

"Kita akan keluar sebuah filem berjudul Hikayat Merong Mahawangsa pada tahun hadapan dan dijangka akan menembusi sebanyak 50 buah negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: