KONSERT Star Live 2010 anjuran ntv7 bakal diadakan pada Sabtu, 18 Disember, dari 8.30 malam hingga 11 malam di Stadium Bukit Jalil (Tempat Letak Kereta A).
Ia merupakan kali keempat konsert itu bakal dilangsungkan dan masuk adalah percuma.
Sepuluh artis Cina tempatan dan luar negara mengesahkan kehadiran mereka untuk merancakkan persembahan malam selama dua setengah jam itu yang bertemakan 'Crazy for music'.
Antara barisan bintang popular yang akan memberikan persembahan pada malam tersebut ialah JJ Lin dari Singapura, Landy Wen Lan (Taiwan), Della Ding Dang (China) selain penyanyi serta pelakon yang berbakat Peter Ho.
Lain-lain artis termasuk pasangan handalan, MC Lin dan Hanjin dari Hong Kong dan pasangan AK iaitu (Andy Chen dan Kris Chen) dari Taiwan.
Para penonton konsert itu juga akan dihiburkan oleh artis tempatan terkenal seperti pasangan Thomas dan Jack; penyanyi dan penulis lagu berbakat seperti VChuan, Will Ng dan Wu Jia Hui.
Berganding bahu dengan ntv7 menjayakan konsert ini bersama ntv7 ialah stesen radio oneFM dan 988FM, serta rakan dari Red Box dan Green Box Karaoke.
Penerbit konsert tersebut ialah Galaxy Group.
Pengurus Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee dalam sidang akhbar berkata, konsert tersebut merupakan tanda penghargaan kepada penonton ntv7 yang sentiasa memberikan sokongan.
"Konsert Star Live pada 2009 telah berjaya menarik sebanyak 600,000 penonton Cina berumur empat tahun dan ke atas, sekali gus menjadikan ia program yang paling ramai ditonton dalam slot masa itu.
"Tahun lalu seramai 60,000 orang mengunjungi tapak konsert dan kami mengharapkan respons yang sama ataupun lebih baik pada tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: