Saturday, November 6, 2010

Khazanah tak ternilai

ANGGUN...Syarifah Kirana (tengah) bersama model yang memakai 10 persalinan peribadi rekaannya yang mempunyai nilai tradisi yang sangat tinggi.
ANGGUN...Syarifah Kirana (tengah) bersama model yang memakai 10 persalinan peribadi rekaannya yang mempunyai nilai tradisi yang sangat tinggi.

JIKA dulu songket tenun diraja Pahang hanya terhad untuk golongan bangsawan atau kerabat diraja dan menjadi pakaian untuk majlis rasmi, kini penggunaan fabrik ini sudah semakin meluas.

Malah dengan corak kontemporari, kain tenun Pahang mampu diangkat menjadi fabrik yang boleh digayakan untuk pelbagai acara.

  • Foto

    CANTIK...potongan moden, namun mengekalkan ciri baju kurung dan diperindahkan menerusi jahitan manik pada leher.

  • Foto

    BAJU KURUNG...keindahan baju kurung Pahang tidak lapuk ditelan zaman. Perincian manik di bahagian depan baju memberi seri tidak ternilai.

  • Foto

    MODEN...ciri moden terserlah menerusi potongan gaun beropol bertingkat.

  • Foto

    KOMBINASI...gabungan kain tenun Pahang pada baju serta songket pada kain menyerlahkan nilai estetika tinggi.

  • Foto

    KONTEMPORARI...Sharifah Kirana mengekalkan konsep Melayu kontemporari menerusi potongan baju pendek manakala kain berpotongan serong cetus ilham segar si pemakai.

Walaupun terdapat pelbagai jenis fabrik moden di pasaran, kain tenun diraja Pahang masih kekal dalam kedudukan tersendiri. Ini kerana selain fabrik songket dan batik, kain tenun adalah khazanah negara yang tidak ternilai kerana menjadi lambang keagungan budaya Melayu yang penuh dengan ciri kesopanan dan kesantunannya.

Bagi pereka tersohor Sharifah Kirana Syed Ghazali, walaupun melalui pelbagai zaman, peredaran fesyen silih berganti namun dia masih mengekalkan ciri kemelayuan menerusi kerja tangannya.Setiap rekaan masih mengekalkan konsep Melayu kontemporari namun dipermodenkan sesuai kehendak pelanggan dan peredaran semasa.Menurut Sharifah Kirana, dia tidak mahu terus menghilangkan identiti Melayu pada setiap ciptaannya. Justeru, dia mengekalkan motif pada fabrik tenun namun diperindahkan dan diperbaharui menerusi potongan moden supaya nampak lebih versatil dan anggun kala disarungkan ke tubuh wanita.

“Saya percaya kecantikan serta keaslian budaya Melayu tidak akan terlerai sekiranya kita masih menjaga apa yang menjadi tunjang kepada budaya itu sendiri.

“Dengan mengekalkan ciri ini, budaya akan terus terpelihara selain mampu memartabatkan industri ini ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Ketika mempersembahkan 10 persalinan di pentas terbuka di Hotel Royale Chulan pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010, Kirana mengagumkan tetamu yang hadir dengan hasil ciptaannya yang penuh berseni.

Berkonsepkan Melayu kontemporari, kebanyakan pakaian diadaptasi daripada baju kurung dan kebaya tetapi dipermodenkan menerusi potongan yang lebih pendek dan mengikut bentuk tubuh.

Penggunaan warna pastel tentunya menjadikan himpunan peribadi Sharifah Kirana ini menjadi lebih eksklusif.

“Kesemua busana yang dipersembahkan ini saya hasilkan istimewa untuk majlis ini. Namun jika ada yang berminat mendapatkannya saya akan reka yang baru mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan hasil rekaannya sesuai untuk semua golongan serta warna kulit. Padanan disediakan boleh dipakai untuk acara rasmi serta kasual yang diperhalusi menerusi jahitan manik pada bahagian tertentu seperti leher, tangan dan dada baju.

Ini kerana kain tenun itu sendiri sudah unik dan cukup cantik, tidak perlu perhiasan terlalu sarat sehingga menenggelamkan ketulenannya.

Selain terdapat di KLCC dan Putrajaya, koleksi sedia dipakai Sharifah Kirana kini boleh didapati di Karyaneka, Kompleks Kraftangan.

Rekaan sedia dipakai bermotifkan batik ini sesuai untuk semua acara sama ada kasual atau rasmi. Antaranya baju kurung, skirt labuh, blaus, gaun dan kebaya. Selain Sharifah Kirana, turut dipersembahkan ialah pertunjukan fesyen pereka tempatan seperti Calvin Thoo, Tom Abang Saufi, Nazari, Khadani dan Roziah Yusuf.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: